Sunday, January 9, 2011

7 Bab Kehidupan Di Dalam Surah al-Fatihah

[Ini adalah ringkasan nota daripada kuliah Ustaz Hasyimi bertajuk "Semester Baru, Azam Baru"]

Berkata Imam Hasan al-Basri rahimahullah:


إن الله أودع علوم الكتب السابقة في القرآن ثم أودع علوم القرآن في المفصل ثم أودع علوم المفصل في الفاتحة فمن علم تفسيرها كان كمن علم تفسير جميع الكتب المنزلة" 
Sesungguhnya Allah menyimpan ilmu-ilmu kitab terdahulu di dalam al-Quran, kemudian Ia menyimpan ilmu-ilmu al-Quran di dalam al-Mufassal/surah-surah yang pendek, kemudian ia menyimpan ilmu-ilmu di dalam surah-surah yang pendek di dalam surah al-Fatihah. Sesiapa yang mengetahui tafsirnya (tafsir surah al-Fatihah), seolah-olah dia mengetahui tafsir kesemua kitab-kitab yang diturunkan.

7 Bab di dalam surah al-Fatihah

a) Bab mengenal tuhan - Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

-> Lafaz basmalah mengajar kita untuk mengenal Allah melalui Nama dan Sifat-SifatNya.
-> Ia bertujuan agar kita dapat bertawassul dengan nama-nama dan sifat Allah tersebut. Ia bermaksud kita menjadikan ia wasilah untuk menyampaikan diri kita kepada Allah.

Analogi:

Tatkala kita meminta kepada seseorang yang berpangkat Tan Sri, lalu kita menyebut pangkatnya. Maka bagi Allah lebih layak hal yang sedemikian rupa. Hendaklah kita banyakkan berdoa dengan bertawassul dengan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah. Contohnya: "Ya Allah Yang Maha Pengampun, ampunilah dosa-dosaku" dan sebagainya. Di dalam doa ini kita bertawassul dengan Sifat Pengampun Allah.

2) Mensyukuri nikmat Allah- Segala puji bagi Allah Pentadbir seluruh alam.

-> Ayat ini mengajar kita untuk bersyukur kepada Allah yang mentadbir seluruh alam.
-> Jika diamati setiap ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan ilmu-ilmu sains, ia semua bertujuan untuk membesarkan Allah.
-> Hakikatnya, wahyu bukanlah diturunkan untuk membenarkan fakta-fakta sains.
-> Sebaliknya sains hanyalah salah satu ilmu untuk membantu kita mengenal Allah dengan melihat kepada ciptaanNya.
-> Hendaklah kita mempelajari ilmu sains untuk melahirkan rasa syukur kepada Allah.

3) Percaya, yakin dan berserah kepada Allah- Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
-> Ayat ini menerangkan bahawa kita hendaklah percaya, yakin dan berserah kepada Allah.
-> Allah Mentadbir alam ini dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.
-> Tidak kira musibah atau nikmat yang diberikan, ia semua di bawah sifat Pemurah dan Penyayangnya.

Analogi: Seorang ibu yang menyayangi anak kecilnya, akan memaksa anak kecilnya meminum ubat untuk mengubati sakitnya. Walaupun ketika itu si anak boleh jadi terfikir 'musibah apakah ini!' lantaran pahitnya ubat yang dipaksa untuk ditelan, lantaran kerasnya desakan si ibu. Tetapi si ibu melakukannya atas dasar kasih sayang kepada si anak. Lalu, Allah lebih daripada itu. Pemurah dan Penyayang Allah melebihi sayang dan pemurahnya makhluk. Lalu musibah atau nikmat, kesemuanya adalah untuk kebaikan makhluk-makhluknya.

4) Kehidupan dunia hanya sementara, hidup di akhirat kekal abadi - Yang Menguasai hari pembalasan.
-> Manusia ramai menyangka mereka memiliki kehidupan di dunia, sedangkan ia sementara sahaja.
-> Allah menyebutkan Ia memiliki hari akhirat kerana ia sesuatu yang selama-lamanya. Hakikatnya Allah memiliki kesemua dunia mahupun akhirat.
-> Ia mengajar kita untuk mengejar akhirat yang kekal abadi, bukan dunia yang sementara.

5) Bab memilih jalan yang selamat- Hanya Engkau yang kami sembah, dan hanya Engkau kami pohon pertolongan.
-> Inilah jalan yang sejahtera, iaitu dengan hanya menyembah Allah semata-mata dan hanya meminta pertolongan kepadaNya.

6) Hidup kita ini dipandu oleh Allah, hendaklah kita mengikuti panduan- Tunjukkanlah kami jalan yang lurus
-> Kita semua memerlukan hidayah Allah kerana di dalam hidup ini kita memerlukan petunjuk daripada Allah dalam segala hal.
-> Berkata seorang ulama' tidak ada permohonan yang lebih besar daripada permohonan memohon hidayah.
-> Hendaklah di dalam hidup kita sesntiasa memohon hidayah Allah.

7) 3 Kategori kehidupan manusia
a) Mendapat nikmat
b) Dimurkai Allah
c) Sesat

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment