Saturday, January 15, 2011

Ilmu Cahaya Yang Memberi Manfaat, Jahil Kegelapan Yang Membawa Mudharat

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Kita sering tertanya, kenapa aku seorang pelajar ekonomi, pelajar perubatan, pelajar Sastera Inggeris, perlu mempelajari, mentelaah ilmu-ilmu yang ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah, dengan bantuan huraian para ilmuan Islam.

Untuk apa aku belajar semua ini? Tidak cukupkah dengan aku mengamalkan apa yang aku belajar sejak di zaman sekolah dahulu? Aku hanya orang awam, buat apa aku bersusah payah membuka Riadussolihin, menghadam hadis-hadis baginda Sallallahu 'alaihi wassalam yang melebihi seribu. Aku bukan ulama' tafsir, lalu untuk apa aku membuka kitab terjemahan Tafsir al-Quran al-Azhim yang lebih dikenali sebagai Tafsir Ibnu Kasir?

Cukuplah aku tuliskan di sini bahawa ilmu itu cahaya yang memberi manfaat kepada diri kita, dan membantu kita memberi manfaat kepada orang lain. Sedangkan kejahilan adalah kegelapan yang menyesatkan kita, dan ia menjerumuskan kita menjadi manusia yang menyesatkan sekaligus memudharatkan insan di sekeliling kita.

Lupakah kita kepada kisah pembunuh sembilan puluh sembilan nyawa, yang datang kepada seorang ahli ibadah, lalu bertanyakan pandangan si 'abid. Si 'abid menjawab seolah-olah tiada lagi keampunan Allah untuknya. Si pembunuh yang sudah mula berputik perasaan taubat merasa putus asa, lalu dibunuh si 'abid tadi, menggenapkan ia menjadi mangsa keseratus. Si pembunuh masih tidak hilang rasa naluri untuk kembali kepada Tuhan, lalu dia menemui seorang ilmuan. Ilmuan itu menjawab dengan jawapan penuh seribu harapan, si pembunuh merasakan masih ada pintu keampunan buatnya daripada Allah. Lalu dia melangkah pergi memburu keampunan Allah. Dia mati, lalu akhirnya berebut para malaikat yang setia melaksanakan tugas. Mahu dibawa lelaki ini menujuk seksaan Allah, atau menuju keampunan Allah. Ternyata Allah menerima taubatnya. [1]

Jelas bukan, kejahilan itu satu kegelapan. Ia memudharatkan diri, bahkan menyebabkan kita memudharatkan insan lain. Si 'abid yang jahil telah menjerumuskan dirinya ke dalam kebinasaan, di bunuh oleh si pembunuh lantaran jawapannya yang tidak berlandaskan ilmu. Dia juga telah menjerumuskan si pembunuh untuk menambah satu lagi dosa besar membunuh nyawa tidak berdosa. Sungguh kejahilan itu memudharatkan diri dan insan lain.

Si ilmuan tadi, jawapan berlandaskan keilmuan, lalu dia membuka sinar harapan taubat buat si pembunuh. Sungguh ilmu itu telah memberi manfaat kepada dirinya, dan memberi manfaat kepada orang lain. Si pembunuh yang mahu bertaubat, mendapat manfaat lantaran ilmu si 'alim.

Jelas bukan, ilmu itu cahaya, jahil itu kegelapan. Ilmu itu membawa kepada petunjuk, jahil itu mampu menyesatkan.

Kejahilan kepada Islam yang dianuti, yang tertulis di dalam IC, menjerumuskan manusia yang cerdik pandai ke dalam kesesatan ketika mana mereka mahu kembali kepada Tuhan. Kerana jahil, jihad menjadi jahat. Kerana jahil, si doktor mahupun jurutera boleh berzikir dengan melompat-lompat dan menjerit-jerit. Inilah bahana kejahilan.

Nota kaki:

[1] "Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., bahawasanya Nabi SAW bersabda "Zaman dahulu ada seorang pembunuh yang telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, "Siapa ulama yang paling alim di negeri ini?" maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta). Lalu di datangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Kemudian dia bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? jawab Rahib: "Tidak!" maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah pembunuhannya seratus orang.

Kemudian dia bertanya pula penduduk; "siapa ulama di negeri ini?" maka ditunjukkan orang kepadanya seorang ulama yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh seratus orang. kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, "Ya, selalu terbuka! Pintu taubat selamanya tidak pernah tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat bagi kamu? pergilah kamu ke negeri begini begini, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri kamu, kerana negeri kamu telah rosak." Maka pergilah orang itu ke negeri yang ditunjuk ulama.

Setengah perjalanan tiba-tiba orang itu meninggal. maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat 'Azab. Kata malaikat rahmat, "orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah Ta'ala" Kata malaikat Azab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun." Tiba-tiba datang seorang malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang ditujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat."[Sahih Muslim]- terjemahan oleh Ustaz Izrail al-Ahkam.net

No comments:

Post a Comment