Sunday, April 24, 2011

Intisari Tazkirah Shaikh Sudais



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan saya untuk bertemu Shaikh Sudais, duduk di hadapan beliau, menjadi makmum solat Maghrib dan Isya' yang diimami beliau.

Sungguh! Saya memang tertunggu saat itu. Allah jua memudahkan saya dapat duduk di sisi kanan shaikh sambil merekod tazkirahnya dengan menggunakan camcorder saya. Itulah yang saya sering lakukan, ini peluang kali kedua selepas bersama Dr. Bilal Philips. Cumanya, saya tidak berpeluang bersalaman apatah lagi memeluk Shaikh Sudais. Apakah ia sesuatu yang perlu disedihkan? Alhamdulillah, saya bersyukur pada Allah, kerana mengurniakan para asatizah seperti Dr. Mohd Asri, Dr. Arif Nazri, Ust. Subhan Khadafy, Ustaz Hasyimi, dan ramai lagi. Kerana mereka telah mendidik saya bahawa bukan begitu cara hormat dan menghargai orang alim. Hakikat hormat kita ialah dengan menyebarkan dan mengamalkan ilmu yang mereka ajar. Saya memang mahu bersalaman, tetapi keadaan sekitar yang terlalu 'bahaya', saya memendamkan hasrat tersebut.



Cuma, saya sedikit terkilan. Kesal melihat tingkah laku saudara seIslam di dalam masjid. Boleh jadi kerana terlalu cintakan shaikh Sudais, terlalu merindui kemerduan suaranya, kita lupa kita sedang berada di masjid. Melihat munculnya wajah Shaikh Sudais, ada yang berlari membawa kamera, berlari melintasi orang yang solat. Walau yang bersolat sudah menghadang tangan menghalang, tetap jua dilintasi. Apakah ada qarin syaitan menemani peminat shaikh Sudais tadi?

Ketika orang sedang berpusu untuk mengangkat takbiratul Ihram, masih ada yang leka menangkap gambar, sedangkan sepatutnya ketika itu menyibukkan diri membetulkan saf, dan mengosongkan fikiran agar mendapat khusyuk di dalam solat.

Ada pula yang melangkah bahu-bahu orang yang sedang duduk hanya kerana mahu ke saf hadapan agar dekat dengan Shaikh Sudais.

Dan, paling menyedihkan, di sebalik rebutan dan rempuhan untuk bersalaman dan memeluk shaikh, tersimpan satu rahsia kenapa ia berlaku? Hasil perbualan dengan beberapa orang, terdengarlah perkataan mengambil berkat. Rupanya mereka menganggap itu satu perbuatan bertabarruk, mengambil berkat. Menyentuh tubuh shaikh, bersalaman dengan shaikh untuk mendapatkan berkat. Nauzubillah. Mungkin bukan semua tetapi kepercayaan itu wujud di dalam sebahagian yang menyerbu shaikh.

Insya-allah saya akan postkan tulisan berkaitan tabarruk:)

Di sini saya kongsikan ringkasan khutbah shaikh di Masjid Wilayah. Isinya hampir sama dengan tazkirah di masjid UIA, jadi tak perlulah saya menulisnya ;)


Inti Khutbah Sheikh as-Sudais

Sheikh as-Sudais telah menyampaikan khutbah beliau di dalam bahasa Arab dan apabila beliau memulakan khutbahnya, tiba-tiba saya terkenang nostalgia ketika berpeluang mengerjakan umrah dan mendengar khutbah di BaituLLAH al-Haram.  Sangat menyentuh perasaan ketika di sana.
Antara mesej utama yang disentuh beliau di dalam khutbah di Masjid Wilayah Persekutuan ialah:
  1. Kepentingan meluruskan aqidah di atas aqidah yang betul
  2. Mengambil ISLAM sebagai cara hidup secara keseluruhannya.  ALLAH telah menyempurnakan ajaran ISLAM dan DIA telah redha ISLAM sebagai cara hidup untuk diamalkan.
  3. Sheikh di dalam khutbah beliau sangat menitik beratkan soal ukhuwwah Islamiyyah di antara penganutnya.  Berkali-kali Sheikh menekankan bahawa kita adalah ummah yang satu.
  4. Ummat ISLAM mesti mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan menjadikan ia sebagai contoh tauladan yang mesti dijadikan rujukan.  Tidak ada cara lain lagi hendak berjaya, melainkan ikut (ittiba’) sunnah.  Sheikh menekankan bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda bahawa semua muslim akan masuk syurga, kecuali yang enggan.  Yang dimaksudkan enggan ialah mereka yang derhaka kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dengan tidak mengikuti semua suruhan dan tidak menghiraukan larangannya.
  5. Ummat ISLAM mestilah menjadi ummat yang berilmu.  Betapa ISLAM sangat menitik beratkan ilmu.  Justeru, tuntutlah ilmu dan fahamilah ilmu.
  6. Bukan setakat menuntut ilmu dan faham, tapi mesti amal.  Menjadi tuntutan buat kita yang sudah menuntut ilmu, yang ada ilmu untuk mengamalkan ilmu tersebut.
  7. Sheikh as-Sudais mengingatkan tentang kesederhanaan di dalam ISLAM dan betapa pentingnya sifat ini diambil dalam membawa agama ISLAM ke dalam kehidupan.
  8. Sheikh juga menyentuh perihal akhlaq muslimin.  Amat menyedihkan sekiranya akhlaq tidak dijadikan tumpuan ummat ISLAM.  Kerana antara tujuan penting diutuskan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ialah untuk menyempurnakan akhlaq.
  9. Sayang-menyayangi sesama muslim juga disentuh oleh Sheikh as-Sudais di dalam khutbahnya. 
  10. Setiap muslim mestilah mempunyai adab dalam perbezaan pendapat.  Perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan ummat ISLAM mestilah ditangani dengan ilmu dan diserahkan kepada ahli ilmu.  Janganlah disebabkan oleh perkara-perkara furu`, feqah, ijtihadiah dan lain-lain seumpamanya menyebabkan ummat ISLAM berpecah.
  11. Sheikh mengingatkan juga akan ancaman kepada ummat ISLAM tentang syahwat (perkara-perkara maksiat dan berkaitan nafsu) dan syubuhat (perkara-perkara yang samar-samar dalam kehidupan moden).
  12. Ummat ISLAM mestilah menjadi ummat yang memberikan kebaikan.

Untuk melihat rakaman-rakaman shaikh Sudais, sila ke TV Sunnah http://www.youtube.com/user/TVSUNNAH

No comments:

Post a Comment