Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.
Saya terbaca satu tulisan seorang Muslimah yang sangat kental dakwahnya, sangat berani menzahirkan pembelaan ke atas isu-isu Islam bila ada yang menyerangnya, terutama apabila melibatkan isu-isu wanita Islam.
Cuma saya sedikit kurang setuju tatkala dia memberi komen tentang segelintir manusia yang menulis tentang isu cukur bulu kening, isu sanggul perempuan dan sebagainya. Katanya itu isu-isu kecil, banyak lagi benda besar yang perlu dibincangkan.
Saya hanya terfikir, apakah kita perlu menunggu semua isu 'besar' selesai, baru kita mahu bercakap tentang isu-isu 'kecil'. Oh, jadi tidak mengapa seorang itu merokok asalkan dia rajin membantu orang lain, berakhlak mulia. Oh, tidak mengapa seorang wanita Muslimah mencukur keningnya, asalkan dia menjaga mulutnya daripada mengumpat. Ini semua bagi saya celaru.
Saya setuju, jika kita tidak memulakan dakwah dengan isu-isu ini. Saya setuju menegur perlu tempatnya, dan caranya. Saya setuju jika ada seorang gadis tidak bertudung datang ke majlis ilmu, usah ditegur-tegur ketika itu, biarkan dia selesa menghadiri majlis ilmu membincangkan isu Islam. Saya juga setuju agar kita tidak memerli lelaki-lelaki yang merokok apabila mereka hadir ke majlis-majlis Islam.
Tetapi, bukanlah juga satu kesalahan seseorang menulis tentang haramnya rokok, haramnya mencukur kening. Begitu juga sebagaimana tidak salah seseorang menumpukan menulis menjawab kekeliruan tentang Islam.
Apakah kita mahu melahirkan umat yang adil, baik akhlaknya, tetapi berpakaian tidak mengikut Islam, dan apakah kita mahu melahirkan umat yang elok pakaiannya tapi buruk budinya. Itu juga sudah pasti tidak. Bukankah kita semua saling lengkap melengkapi, umpama satu organisasi yang mempunyai sayap-sayap dengan tugasan masing-masing.
Kadang-kadang kita sangat berlembut dengan orang yang di hadapan kita melakukan maksiat dan bid'ah (ia satu method yang baik), tetapi hairannya kita bersikap keras kepada teman-teman yang juga mahu berdakwah seperti kita. [Aku juga tak terlepas daripada sifat ini :( ]
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment