Thursday, October 13, 2011

Ibrahim: Ummah Dalam Jasad Seorang Insan


Menggali Faedah Kehidupan Nabi Ibrahim

Jika kita membaca kisah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dalam al-Quran, terdapat banyak perkara yang berfaedah untuk kita ambil daripadanya. Di sini dikongsikan beberapa faedah tersebut:

a) Menjadikan tauhid sebagai keutamaan dakwah.
Firman Allah: Ingatlah ketika beliau berkata kepada ayahnya: "Wahai Ayahku, mengapa engkau menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong engkau sedikit pun?”(Maryam 19:42)


Shaikh as-Sa'di rahimahullah berkata: "Ibrahim 'alaihissalam adalah sebaik-baik para nabi setelah Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, yang telah Allâh Taala jadikan kenabian pada anak keturunannya. Dan kepada mereka diturunkan kitab-kitab suci. Dia telah mengajak manusia menuju Allah Taala, bersabar terhadap seksa yang dia dapati (dalam perjalanan dakwahnya), dia mengajak orang-orang yang dekat (dengannya) dan orang-orang yang jauh, dia bersungguh-sungguh dalam berdakwah terhadap ayahnya bagaimanapun caranya".[Tafsir as-Sa‘di, hlm. 443]

b) Berlemah-lembut dalam mendakwahi ayahnya. Ini dapat dilihat pada penggunaan perkataan ‘Wahai ayahku…..

c) Tabah menghadapi seksaan- Al-Quran merekodkan seribu satu kisah seksaan yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam.  Musyrikin mahu membakar beliau kerana merosakkan berhala-berhala sembahan. Firman Allah:

[91]Lalu dia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta ia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): "Mengapa kamu tidak makan? [92]"Mengapa kamu tidak menjawab?" 
[93]Lalu dia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul). [94](Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya. [95](Bagi menjawab bantahan mereka), dia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? [96]"Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!" [97](Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu". [98]Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya). [Surah as-Shaffat:91-98]

Ath-Thabari rahimahullahh membawakan riwayat: "Mereka menahannya dalam sebuah rumah. Mereka mengumpulkan kayu aou, bahkan hingga seorang wanita yang sedang sakit bernazar dengan mengatakan 'sungguh jika Allâh telah menyembuhkan aku, maka aku akan mengumpulkan kayu api untuk membakar Ibraham'. Setelah kayu api terkumpul menjulang tinggi, mereka mulai membakar setiap hujung tepian longgokan kayu api itu, sehingga apabila ada seekor burung yang terbang di atasnya nescaya ia akan hangus terbakar. Mereka mendatangi Nabi Ibraham 'alaihissalam kemudian mengusungnya sampai di puncak longgokan  kayu api tersebut"

Lalu Nabi Ibrahim berkata: "Ya, Allah, Engkau Maha Esa di atas langit, dan aku sendiri di bumi ini. Tiada seorang pun yang menyembah-Mu di atas muka bumi ini selainku. Cukuplah bagiku Engkau sebaik-baik Penolong".[Fathul Bari, Juz 6, hlm. 483]

Mereka lantas melemparkan Nabi Ibraham 'alaihissalam ke dalam longgokan kayu api yang tinggi, kemudian Allah berseru

"Wahai api, jadilah dingin dan selamat bagi Ibrahim".[Tafsir at-Thabari, Juz 9, hlm. 43.]

d) Kekuatan Iman Ibrahim dan isterinya Hajar-

Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata: “Kemudian Ibrahim membawa Hajar dan si putera Ismail –di dalam usia susuan– menuju ke Makkah dan ditempatkan pada pohon besar, di atas (tempat yang bakal menjadi) telaga Zamzam di lokasi (yang kemudiannya menjadi) Masjidil Haram. Ketika itu Makkah belum berpenghuni dan tidak memiliki sumber air. Maka Ibrahim menyiapkan satu bungkus kurma dan satu bekas air, kemudian ditinggallah keduanya oleh Ibrahim di tempat tersebut. Hajar, ibu Ismail pun mengikutinya seraya mengatakan: 

‘Wahai Ibrahim, hendak pergi kemana engkau, apakah engkau akan meninggalkan kami di lembah yang tidak berpenghuni ini?’ Dia mengulangi kata-kata tersebut, namun Ibrahim tidak menoleh kepadanya. Hingga berkatalah Hajar:

‘Apakah Allah yang memerintahkanmu berbuat seperti ini?’ 

Ibrahim menjawab: ‘Ya.’ Maka (dengan serta-merta) Hajar mengatakan: ‘Kalau begitu Dia (Allah) tidak akan menyeksa kami.’ Kemudian Hajar kembali ke tempatnya semula.” (Lihat Shahih Al-Bukhari, no. 3364)

e) Ketaatan Mutlak Kepada Allah-Nabi Ibrahim Alaihissalam mentaati secara mutlak perintah Allah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

“Maka tatkala anak itu (Ismail) telah sampai (pada umur sanggup) untuk berusaha bersama-sama Ibrahim, berkatalah Ibrahim: ‘Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu!’ Dia menjawab: ‘Hai bapaku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaallah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.’ Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim telah membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia: ‘Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu,’ sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (iaitu) ‘Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim’.” (Ash-Shaffat: 102-109)

f) Pentingnya Keluarga Yang Soleh-
Berdasar ‘point’ D dan E. Kita memahami betapa pentingnya mempunyai isteri-isteri yang mentaati Allah, dan anak-anak yang soleh, supaya ia membantu istiqamah dalam melakukan arahan Allah seperti berdakwah dan sebagainya. Wajar untuk seorang yang beriman mencari calon pasangan yang memahami tanggungjawab seorang Muslim, dan sanggup berkorban untuk agama Allah. Wajib jua mendidik ahli keluarga untuk mentaati Allah sebagaimana Nabi Ibrahim berjaya mendidik anak dan isterinya.

g) Berdakwah Dengan Hujah dan Ilmu-Nabi Ibrahim berdakwah kepada umatnya dengan ilmu dan menyampaikan hujah-hujah yang kuat. Ini dapat dilihat pada banyak argumen beliau dengan kaum musyrikin.

h) Sentiasa Mendoakan Kebaikan Untuk Ahli Keluarga-
“Wahai Rabbku, jadikanlah aku beserta anak cucuku orang-orang yang selalu mendirikan solat. Wahai Rabb kami, kabulkanlah doaku.” (Ibrahim: 40)

“Wahai Rabb-ku, jadikanlah negeri ini (Makkah) negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku dari perbuatan menyembah berhala.” (Ibrahim: 35)

No comments:

Post a Comment