Monday, November 14, 2011

Macam Mana Nabi Berwudhu'?



Tatacara Wudhu’ Nabi saw
(Tulisan di bawah hanya merupakan ringkasan, khilaf-khilaf ulama' tidak disentuh dalam tulisan ini)


1.     Berniat di dalam hati untuk mengambil wudhu’ tanpa diucapkan dengan lisan. Sabda Nabi saw:

إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ
"Sesungguhnya setiap perbuatan itu mestilah dengan niat."
[Sahih al-Bukhari:1 dan Muslim: 1907]
2.      Membaca bismilah.

لاَ وُضُوْءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ
"Tidak sempurna wudhu’ seseorang yang tidak membaca Bismillah."
[Sunan Ibn Majah: 326]


3.     Membasuh kedua-dua tapak tangan dan meratakan pada celah-celah jari:

أَوْس بْنِ أَوْس الثَّقَفِي  قَالَ: رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللّهِ ص تَوَضَّأَ فَاسْتَوْكَفَ ثَلاَثاً
Aus bin Aus al-Thaqafi ra berkata: "Aku melihat Rasulullah saw membasuh kedua-dua tapak tangannya tiga kali ketika berwudhu."
[Al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra: 1/46]


وَإِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ فَلْيَغْسِلْ يَدَهُ قَبْلَ أَنْ يُدْخِلَهَا فِي وَضُوئِهِ ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ
"Apabila seseorang bangun daripada tidurnya, janganlah dia terus memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam bekas air sehingga dia membasuhnya, kerana dia tidak mengetahui di mana tangannya berada sewaktu dia tidur."
[Sahih al-Bukhari: 159]
إِذَا تَوَضَّأتَ فَخَلِّلْ أَصَابِعَ يَدَيْكَ وَرِجْلَيْكَ
"Apabila engkau berwudhu gosoklah celah-celah jari-jemari tanganmu dan kakimu"
[Sunan at-Tirmizi: 39]

Berkumur-kumur, menyedut air ke dalam hidung dan  mengeluarkan/menyemburkan air keluar dari hidung

§  Menggabungkan berkumur dan menyedut air ke dalam hidung dengan satu tapak tangan kanan:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ أَنَّهُ غَسَلَ أَوْ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ مِنْ كَفَّةٍ وَاحِدَةٍ فَفَعَلَ ذَلِكَ ثَلاَثاً، ثُمَّ قَالَ: هَكَذَا وُضُوْءُ رَسُوْلِ اللهِ ص.
Abdullah bin Zaid ra membasuh mulut atau berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung dengan menggunakan satu tapak tangan sebanyak tiga kali, kemudian beliau berkata: Beginilah wudhu’ Rasulullah saw.
 [Sahih al-Bukhari: 191]

§  Bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kecuali dalam keadaan berpuasa.

وَبَالِغْ فِيْ الإسْتِنْشَاقِ إِلاَّ أَنْ تَكُوْنَ صَائِماً
"Bersungguh-sungguhlah kamu melakukan istinsyaq kecuali jika sedang berpuasa."
[Sunan Abu Daud: 142 dan Sunan at-Tirmizi: 788]

§  Menyedut air ke dalam hidung dengan tangan kanan, dan menyemburnya keluar dengan tangan kiri.

 ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى فِي الْإِنَاءِ ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَنَثَرَ بِيَدِهِ الْيُسْرَى ، فَعَلَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ
“Kemudian Nabi saw memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas air, kemudian berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung, seterusnya baginda saw menyemburkan air keluar dari hidungnya dengan tangan kiri. Baginda saw melakukannya sebanyak tiga kali.”
[Musnad Ahmad: 1098, Sunan ad-Daraquthni: 260]



Perbuatan membasuh muka, tangan, menyapu kepala dan membasuh kaki diterangkan dalam hadis di bawah:

عَنْ حُمْرَانَ مَوْلىَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ t أَنَّهُ رَأَىْ عُثْمَانَ دَعَا بِوَضُوْءٍ فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِنْ إِنَائِهِ فَغَسَلَهُمَا ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِيْنَهُ فِيْ الوَضُوْءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثاً، وَيَدَيْهِ إِلَى المِرْفَقَيْنِ ثَلاَثاً، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كُلَّ رِجْلٍ ثَلاَثاً، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ النَبِيَّ ص يَتَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوْئِيْ هَذاَ وَقَالَ: مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوْئِيْ هَذَا، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيْهِمَا نَفْسَهُ، غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ماَ تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. 
Daripada Humran pelayan Uthman ibn Affan ra bahawasanya dia melihat Uthman meminta sebekas air lalu dibasuhnya kedua-dua tangannya (sehingga pergelangan tangan) tiga kali, kemudian dimasukkannya tangan kanannya ke dalam bekas untuk berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung kemudian menghembuskan air dari hidung, kemudian membasuh mukanya tiga kali, dan kedua-dua tangannya hingga ke siku tiga kali, kemudian mengusap kepalanya, kemudian membasuh kedua-dua kakinya tiga kali hingga ke buku lali, kemudian beliau berkata: Aku melihat Rasulullah saw berwudhu’ seperti wudhu’ ku ini, kemudian baginda saw bersabda: Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ ku ini, kemudian dia solat dua rakaat, sedangkan dia tidak melakukan perkara yang tidak berkaitan solat, nescaya Allah ampuni segala dosanya yang telah lalu.    [Sahih al-Bukhari: 164]

4.     Membasuh muka.
§  Membasuh muka dengan mengalirkan air ke seluruh kawasan muka.
§  Kawasan muka ialah dari pangkal rambut di ubun-ubun sehingga ke hujung dagu dan dari telinga kanan sehingga telinga kiri.
§  Sekiranya memiliki janggut, hendaklah diratakan air dengan jari-jemari.

وَعَنْ أَنَسٍ: أَنَّ النَّبِيَّ ص كَانَ إِذَا تَوَضَّأَ أَخَذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَأَدْخَلَهُ تَحْتَ حَنَكِهِ فَخَلَّلَ بِهِ وَقَالَ: هَكَذَا أَمَرَنِيْ رَبِّيْ عَزَّ وَجَلَّ
Daripada Anas ra bahawa Nabi saw ketika berwudhu’ baginda akan menceduk air dengan tapak tangannya lalu dimasukkan ke bawah dagunya lalu disela-sela (janggutnya), lalu baginda bersabda: "Beginilah aku diperintahkan oleh Tuhanku."
[Sunan Abu Daud: 145]


5.     Membasuh kedua-dua tangan sehingga ke siku
§  Batasan siku ialah sendi penyambung antara lengan atas dan lengan bawah
§  Membasuh bermula dari hujung jari-jemari sehingga ke siku.
§  Boleh juga membasuh bermula dari siku sehingga ke hujung jari-jemari.



6.     Mengusap kepala dan kedua-dua telinga
§  Mengusap kepala menggunakan kedua-dua tapak tangan, bermula dari bahagian depan, digerakkan ke belakang sehingga ke tengkuk, kemudian digerakkan kembali ke hadapan kepala.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ زَيْدٍ t: أَنَّ النَّبِيَّ ص مَسَحَ رَأْسَهُ بِيَدَيْهِ فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ، بَدَأَ بِمُقَدَّمِ رَاْسِهِ ثُمَّ ذَهَبَ بِهِمَا إِلَى قَفَاهُ ثُمَّ رَدَّهُمَا إِلَى الْمَكَانِ الَّذِي بَدَأَ مِنْهُ
Daripada Abdullah ibn Zaid ra bahawa Nabi saw mengusap kepalanya dengan kedua-dua tangannya, bermula dari bahagian hadapan kepala digerakkan ke belakang kepala, kemudian digerakkan kembali ke hadapan.
[Sahih al-Bukhari:185]
§  Terus mengusap kedua-dua telinga tanpa perlu mengambil air lagi.
§  Mengusap kedua-dua telinga kanan dan kiri dengan cara memasukkan jari telunjuk ke dalam telinga dan ibu jari mengusap bahagian luar telinga.
§  Boleh dilakukan sekali mahupun tiga kali sebagaimana anggota-anggota yang lain.
عن شقيق بن سلمة قال رأيت عثمان بن عفان ..ومسح رأسه ثلاثا
Syaqiq bin Salamah berkata: Aku melihat Usman Bin Affan …menyapu kepalanya tiga kali [Sunan Abu Daud: 110]

عَنْ الْمِقْدَمِ بْنِ مَعْدِيْكَرِبْ أُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِوَضُوءٍ ، فَتَوَضَّأَ….. وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ وَأُذُنَيْهِ ظَاهِرِهِمَا وَبَاطِنِهِمَا
 Daripada al-Miqdam ibn Ma'dikarib ra bahawa Nabi saw diberi bekas air untuk berwudhu, lalu baginda saw berwudhu’, baginda saw mengusap kepalanya dan kedua-dua telinganya termasuk bahagian dalam dan luar telinga."
[Musnad Ahmad: 16857, Sunan Ibn Majah: 436, dan Sunan at-Tirmizi: 34]


Jika memakai serban, disunnahkan mengusap di atas serban tanpa perlu menanggalkannya:

عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " تَوَضَّأَ وَمَسَحَ بِنَاصِيَتِهِ وَعَلَى عِمَامَتِهِ وَخُفَّيْهِ "
Daripada Al-Mughirah bin Syu’bah ra katanya: " Rasulullah saw berwudhu, menyapu ubun-ubunnya, menyapu serbannya dan kedua-dua khufnya."
[Imam asy-Syafie dalam Al-Umm: 48]

Bagi wanita yang bertudung, dibolehkan mengusap di atas tudung.
عَنْ بِلَالٍ ، " أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، مَسَحَ عَلَى الْخُفَّيْنِ ، وَالْخِمَارِ "
Daripada Bilal ra bahawa Nabi saw menyapu di atas kedua-dua khuf dan penutup kepala."
[Sahih Muslim: 418 ]

7.     Membasuh kedua-dua kaki sehingga ke buku lali
§  Mulakan dengan kaki kanan.
§  Gunakan jari-jemari tangan untuk menyelat di celah jari-jemari kaki




2.     Tertib Wudhu’
1.     Berturut-turut dari anggota wudhu’ yang pertama sehingga yang akhir.

3.     Sunnah-sunnah dalam Wudhu’


1.     Menggosok gigi
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي ، لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ "
Nabi saw bersabda: Kalau tidak kerana takut membebankan umatku, nescaya aku suruh menggosok gigi pada setiap kali bersolat. [Sahih al-Bukhari: 887 dan Sahih Muslim: 375]

2.     Menggosok anggota wudhu dengan tangan
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " أُتِيَ بِثُلُثَيْ مُدٍّ مِنْ مَاءٍ فَتَوَضَّأَ فَجَعَلَ يَدْلُكُ ذِرَاعَيْهِ "
Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam diberikan air sebanyak dua per tiga mud, lalu baginda, baginda saw berwudhu’ lalu menggosok kedua lengannya [al-Hakim dalam al-Mustadrak: 462 dan Sahih Ibn Hibban: 1096].

3. Berjimat dalam penggunaan air
" إِنَّهُ سَيَكُونُ فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ
Nabi saw bersabda: Sesungguhnya akan ada pada umat ini suatu kaum yang melampaui batas dalam bersuci dan berdo'a. [Sunan Abu Daud: 88].

4. Membasuh kedua telapak tangan sebelum berwudhu sebanyak tiga kali.

5. Mendahulukan anggota kanan daripada kiri
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِذَا تَوَضَّأْتُمْ فَابْدَءُوا بِمَيَامِنِكُمْ "
Nabi saw bersabda: Jika kalian berwudhu’, mulailah dengan anggota kanan kalian. [Sunan Ibnu Majah: 396]

6. Membaca doa selepas berwudhu.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ مِنَ التَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ
“Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku termasuk golongan orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang mensucikan diri.”

“Sesiapa yang berwudhu’ dan melakukan wudhu’ dengan cara yang terbaik, kemudian membaca (doa di atas), nescaya akan dibuka baginya lapan pintu syurga di mana dia boleh masuk dari pintu mana sahaja yang dia kehendaki.” [Sunan at-Tirmizi: 55]




4.     Perkara-perkara yang membatalkan Wudhu’
1.     Keluar sesuatu dari dua kemaluan, sama ada buang air besar dan kecil mahupun kentut.
Firman Allah ta'ala:

أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ
Atau salah seorang diantara kalian buang air besar [Surah al-Nisaa': 43]

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam:

وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ "
Tetapi kerana buang air besar dan buang air kecil dan tidur [Sunan at-Tirmizi: 3486]

-    Kentut :

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

لاَ يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيْحًا
Janganlah dia berpaling (keluar dari solatnya) hingga dia mendengar bunyi (kentut)nya atau dia mencium baunya [Sahih al-Bukhari: 137 dan Sahih Muslim: 361]

2.     Tidur nyenyak
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " الْعَيْنُ وِكَاءُ السَّهِ ، فَمَنْ نَامَ فَلْيَتَوَضَّأْ
Daripada Ali ra: Rsulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda ;"Mata adalah pengikat lingkaran dubur, maka barang siapa yang tidur hendaklah dia berwudhu" [Sunan Ibnu Majah: 470]

Tidur yang tidak nyenyak tidak membatalkan wudhu’.
 عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : "كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْتَظِرُونَ الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ حَتَّى تَخْفِقَ رُءُوسُهُمْ ثُمَّ يُصَلُّونَ وَلَا يَتَوَضَّئُونَ "
Anas ra berkata: Para sahabat nabi saw menunggu solat Isya’ yang dilaksanakan lewat malam, sehingga kepada mereka terangguk-angguk (kerana mengantuk), kemudian mereka solat, dan mereka tidak mengambil wudhu’ [Sunan Abi Daud: 172]

3.     Menyentuh kemaluan tanpa berlapik.
عَنْ بُسْرَةَ بِنْتِ صَفْوَانَ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلَا يُصَلِّي حَتَّى يَتَوَضَّأَ
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, hendaklah dia berwudhu’ [Sunan an-Nasaie as-Sughra: 443]

4.     Memakan daging unta.  
عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ ، " أَنَّ رَجُلًا ، سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَأَتَوَضَّأُ مِنْ لُحُومِ الْغَنَمِ ؟ قَالَ : إِنْ شِئْتَ فَتَوَضَّأْ ، وَإِنْ شِئْتَ فَلَا تَوَضَّأْ ، قَالَ : أَتَوَضَّأُ مِنْ لُحُومِ الإِبِلِ ؟ قَالَ : نَعَمْ ، فَتَوَضَّأْ مِنْ لُحُومِ الإِبِلِ ، قَالَ : أُصَلِّي فِي مَرَابِضِ الْغَنَمِ ؟ قَالَ : نَعَمْ ، قَالَ : أُصَلِّي فِي مَبَارِكِ الإِبِلِ ؟ قَالَ : لَا "
Dari Jabir bin Samurah bahawas seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam: “Apakah saya berwudhu kerana (memakan) daging kambing?” Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab :”Kalau kamu mahu maka berwudhulah dan kalau tidak mahu, tidak perlu berwudhu”. Dia berkata :”Apakah saya perlu berwudhu kerana (makan) daging unta?”, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab : “Ya, berwudhulah kerana (makan) daging unta!”. Dia berkata : ”Apakah saya (boleh) solat di kandang kambing? Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab :”Ya”. Dia bertanya : “Apakah saya (boleh) solat di kandang unta?”, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab : Tidak”. [Sahih Muslim: 544]

No comments:

Post a Comment