Tuesday, May 8, 2012

Muhasabah Diri Kita Semua Yang Sudah Grad



Assalamualaikum w.b.t

Aku sudah lebih setahun menamatkan pengajian. Begitu juga ramai daripada rakan-rakan aku. Aku sudah mula bekerja, begitu juga ramai rakan-rakan aku.

Normalnya, aku sewajarnya meninggalkan kehidupan yang aku lalui di zaman universiti dan membuka kamus kehidupan yang baru. Apa yang aku maksudkan dengan kehidupan zaman universiti aku?

Kehidupan aku ialah menghadiri kuliah-kuliah agama di waktu malam, bergerak dalam jemaah dakwah, program ke sana sini, lakukan apa sahaja yang termampu untuk dakwah.


Kini aku sudah menamatkan pengajian, sudah lebih setahun, tetapi aku memilih untuk terus hidup begini. Kenapa?

Aku lakukan semua uni bukan untuk orang lain, bukan untuk umat, bukan untuk jemaah. Tetapi untuk diri aku sendiri.

Aku tahu tahap mana keimanan aku, aku tahu tahap mana istiqamah aku. Jadi aku tahu, aku memerlukan sesuatu untuk mengikat diri aku. Ya, aku memerlukan sesuatu untuk mengikat aku agar tidak jauh daripada hidup sebagai seorang Muslim.

Aku perlukan kuliah agama, agar hati aku tidak kering daripada nasihat-nasihat ustaz.

Aku perlukan kerja-kerja dakwah, agar hidup aku diisi dengan perkara yang bermanfaat.

Aku perlukan rakan-rakan jemaah, agar hidup aku diisi dengan rakan-rakan yang akan mengingatkan aku kepada Allah.

Aku tahu apa yang akan berlaku kepada aku jika aku tidak mengambil langkah di atas:

Aku akan pergi kerja, balik kerja, kemudian habiskan masa aku menonton televisyen, tengok movie, dengar lagu-lagu, baca novel, lepas tu tidur.

Lama-lama aku akan ketagih dengan televisyen, movie, tengok perkara yang tidak baik sudah menjadi amalan harian. Iman akan semakin terbang, hatta selemah-lemah iman akan makin hilang daripada hati aku kerana ketika melihat maksiat dalam televisyen, aku tidak berasa sedikit bencipun.

Lama-lama, aku akan hilang rasa malu, aku akan bercerita apa yang aku tonton, tanpa aku rasa segan silu. Bercerita tentang itu dan ini, siapakah heroin yang paling cun dalam movie tadi, geram tengok 'ending' movie tidak seperti yang dimahukan dan sebagainya.

Amar Ma'ruf Nahi Munkar dengan tangan dan lidah mula hilang, masakan tidak, di hati jua semakin terbang, kerana aku makin hilang malu, aku sudah tidak segan bercerita bahkan mempromosi maksiat di khalayak ramai, tidak kira ketika berbual dengan rakan, mahupun menulis status aku di FB.

Oleh kerana itu, aku memilih jalan ini. Biarlah letih badan menyiapkan kerja, menghadap komputer riba, jika aku tidak mampu mempertahankan diri aku, sekurang-kurangnya aku cuba untuk mengurangkan risiko tersesat jalan daripada jalan yang Tuhan mahu.

Aku tahu tahap keimanan aku. Jika aku biarkan hidup aku kosong, aku akan tersesat jalan. Jika aku biarkan keletihan bekerja membawa kepada berehat-rehat di waktu malam, aku tahu aku akan menuju jalan kesesatan.

Biarlah tertidur ketika kuliah Riadussolihin yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim Nuh, asalkan diri aku selamat daripada menuju kehancuran.

Aku tidak rela menempuh jalan menjadi manusia yang di zaman belajarnya, kental bergerak atas nama dakwah, tatkala menempuh masuk alam pekerjaan aku akhirnya semakin jauh daripada Tuhan.

Sahabat-sahabat yang aku amat sayangi,

Aku tahu ramai daripada kita mengimpikan agar kita semua istiqamah seperti mana kita di zaman belajar dahulu. Keadaan semasa mengubah kita, persekitaran kita bekerja mula mengubah satu persatu sifat-sifat kita.

Oleh kerana itu, aku sangat menasihatkan diri aku dan kalian, lakukan sesuatu, agar kita tidak terjerumus ke lembah kesesatan. Selamatkan diri kita daripada semakin jauh dari Tuhan.

Aku mengetahui dan memahami keletihan seorang pekerja, malam selepas Maghrib adalah waktu rehatnya.

Aku hanya mampu memberi cadangkan ini kepada sahabat-sahabat yang sudah bekerja:

- Jika mampu, hadirilah majlis ilmu sekerap yang mungkin (jangan sehingga mengganggu prestasi kerja). Di majlis ilmu kita akan mendengar ayat al-Quran, hadis Nabi, melihat akhlak ustaz, mendengar nasihat ustaz, duduk dikelilingi insan-insan yang mahu memahami agamanya.

- Jika tidak, tutupkan suis televisyen, mahupun mp3 yang mengandungi lagu-lagu, tidak kira nasyid mahupun K-Pop. Pergi ke youtube atau mana-mana laman-laman web, download kuliah-kuliah yang banyak ; Nouman Ali Khan, Bilal Phillips, Dr. Salah dan sebagainya.

- Aktifkan diri dengan dakwah. Mohon kerja-kerja dakwah daripada jemaah dakwah yang pernah disertai ketika zaman mahasiswa. Apa-apa sahaja kerja, buat poster, menulis, membuat modul, update blog, menulis.

- Membaca bahan-bahan ilmiah. Penuhi hidup dengan membaca buku-buku yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah.

- Bertemu dengan rakan-rakan dakwah sekurang-kurangnya sekali seminggu. Berbual-bual dengan mereka, atau sekurang-kurangnya bertadarus dengan mereka.

Perkara yang perlu dijauhi dan sangat dijauhi:

- Televisyen dan hiburan
- Teman yang mengajak kepada maksiat, atau yang mempunyai potensi menyebabkan kita berasa tidak apa-apa dengan maksiat.
(Jika tidak mampu tinggalkan secara drastik, lakukan perlahan-lahan, yang penting usaha)

----------------

Masa masih ada. Kita yang sedang memilih jalan, untuk semakin beriman, atau tersungkur di tengah jalan.

Moga Allah lindungi kita semua.

No comments:

Post a Comment