Thursday, May 10, 2012

Sederhanalah Dalam Memuji



Assalamualaikum w.b.t

Kebelakangan ini, saya menerima komen-komen yang saya sifatkan sebagai komen-komen yang melampau. Sebelum ini juga saya sering menerima emel-emel yang berbentuk pujian, dan kandungan pujiannya jua melampau-lampau.

Hinggakan kadangkala saya terfikir, apakah mereka benar-benar mahu memuji, atau sebenarnya memerli, atau sebenarnya pujian sebegitu rupa datang daripada mereka yang mempunyai kecelaruan minda (mental disorder), atau saya terfikir aku kah yang sebenarnya terlalu paranoid.

Saya tidak pernah mahu memarahi orang yang ikhlas memuji saya. Tetapi jika ikhlas sekalipun, pujian itu hendaklah sederhana, jika tidak memuji pun tidak mengapa, cukup dengan ucapan terima kasih.


Pujian yang berlebihan itu merosakkan jiwa. Komen-komen yang melampau itu telah saya padam daripada ruangan komen blog saya. Masalahnya, sebelum saya memadamnya, saya terpaksa membacanya. Pujian-pujian itu benar-benar mengganggu ketenangan jiwa saya. Saya yakin jika dibenarkan ia wujud dalam ruangan komen saya, fitnah yang besar boleh berlaku. Paling penting, pujian itu boleh merosakkan jiwa saya.

Saya kenal diri saya, saya tahu tahap mana iman saya, saya tahu bagaimana rapuhnya jiwa saya.

Kini saya faham kenapa Rasulullah s.a.w memberikan amaran yang sangat keras dalam bab pujian.
Abu Bakrah r.a menceritakan:

 أَنَّ رَجُلًا ذُكِرَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَأَثْنَى عَلَيْهِ رَجُلٌ خَيْرًا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ " يَقُولُهُ مِرَارًا " إِنْ كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا لَا مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ : أَحْسِبُ كَذَا وَكَذَا ، إِنْ كَانَ يُرَى أَنَّهُ كَذَلِكَ وَحَسِيبُهُ اللَّهُ وَلَا يُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا "

Perihal seorang lelaki telah disebutkan dan ketika itu Rasulullah s.a.w turut berada disitu. Lalu seorang sahabat pun memuji lelaki tersebut. Nabi s.a.w lalu bersabda:

Celaka engkau! Engkau telah memenggal tengkuk sahabatmu (Nabi s.a.w menyebut perkataan tersebut berulang kali). Seandainya seseorang perlu untuk memuji seseorang yang lain, maka sebutlah: Saya berpendapat si fulan ini begini dan begitu, seandainya dia memang melihat keadaan saudaranya begitu. Allah lah yang lebih tahu keadaannya. Jadi janganlah menyucikan seorang pun di hadapan Allah.

[Sahih al-Bukhari, Kitab Adab, Bab perkara yang dibenci ketika memuji: 5630]

عَنْ أَبِي مَعْمَرٍ ، قَالَ : قَامَ رَجُلٌ يُثْنِي عَلَى أَمِيرٍ مِنَ الْأُمَرَاءِ ، فَجَعَلَ الْمِقْدَادُ يَحْثِي عَلَيْهِ التُّرَابَ ، وَقَالَ : " أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَحْثِيَ فِي وُجُوهِ الْمَدَّاحِينَ التُّرَابَ "

Abi Ma’mar berkata: Seorang lelaki memuji-muji salah seorang pemimpin. Al-Miqdad terus menabur pasir kepada lelaki tersebut sambil berkata: Rasulullah s.a.w mengarahkan kami untuk menabur pasir ke wajah mereka yang melampau-lampau dalam memuji.

[Sahih Muslim, Kitab Zuhud Dan Ar-Raqaiq, Bab larangan melampau-lampau dalam memuji, hadis no: 5327]

Bukanlah saya mahu melarang sebarang pujian. Adakalanya pujian itu memotivasikan saya untuk membuat sesuatu. Tetapi adakalanya pujian itu sangat merimaskan.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani memetik perkataan al-Imam Ibn Batthal:

حاصل النهي أن من أفرط في مدح آخر بما ليس فيه لم يأمن على الممدوح العجب لظنه أنه بتلك المنزلة ، فربما ضيع العمل والازدياد من الخير اتكالا على ما وصف به ، ولذلك تأول العلماء في الحديث الآخر احثوا في وجوه المداحين التراب أن المراد من يمدح الناس في وجوههم بالباطل ، وقال عمر : المدح هو الذبح . قال : وأما من مدح بما فيه فلا يدخل في النهي ، فقد مدح - صلى الله عليه وسلم - في الشعر والخطب والمخاطبة ولم يحث في وجه مادحه ترابا

Larangan ini terjadi kepada sesiapa yang melampau memuji orang lain, sedangkan apa yang dipuji itu tidak wujud pada orang yang dipuji, begitu juga apabila pujian itu menyebabkan orang yang dipuji tidak selamat daripada perasaan ‘ujub walaupun boleh jadi keadaan orang itu memang seperti apa yang dipuji. Boleh jadi pujian ini hanya akan mensia-siakan amalan yang telah dilakukan dan ia akan membebani orang yang dipuji dengan apa yang dipuji kepadanya.

Oleh kerana itu, ilmuan Islam mentakwilkan hadis lain yang menyuruh menabur pasir ke wajah orang yang memuji dengan menyatakan maksud hadis tersebut adalah untuk orang-orang yang memuji dengan kebathilan (memuji untuk sesuatu yang tidak layak).

'Umar r.a berkata, "Pujian adalah sembelihan". Adapun jika memuji orang yang benar-benar layak, maka pujian seperti itu tidak dilarang. Rasulullah s.a.w sendiri pernah dipuji dalam sya'ir, khutbah, mahupun perbualan.  Namun baginda s.a.w tidak menyiram pasir kepada orang yang memujinya."


Saya tidak mampu memaksa, tetapi hanya mengingatkan agar berhati-hatilah ketika menulis komen di blog saya. Saya tidak tahu apa niat si fulan yang menulis komen-komen tersebut.

Jika benar ia pujian, semoga saya dapat membaca doa yang dibaca oleh sahabat nabi r.a ketika dipuji:

عَنْ عَدِيِّ بْنِ أَرْطَأَةَ ، قَالَ : " كَانَ الرَّجُلُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا زُكِّيَ ، قَالَ :
اللَّهُمَّ لا تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ ، وَاغْفِرْ لِي مَا لا يَعْلَمُونَ
’Adi bin Arthah berkata: Seorang daripada sahabat nabi s.a.w apabila dipuji, beliau akan membaca: Ya Allah, janganlah engkau hukumi aku untuk apa yang mereka perkatakan. Ampunilah aku untuk apa yang mereka tidak ketahui. [Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam al-Adab al-Mufrad : 759. Sheikh al-Albani 
menyatakan isnadnya sahih. Lihat Sahih al-Adab al-Mufrad : 585]

Pujian itu satu ubat yang sangat menyejukkan jiwa selepas keletihan, tetapi ia jua umpama racun yang membunuh secara perlahan-lahan apabila diberikan secara berlebihan.

No comments:

Post a Comment