Tuesday, May 29, 2012

Undi PAS: Pahala Atau Dosa


[BETUL DAN SALAH. UNDI ADA PAHALA DAN DOSA].

1) Seseorang yang mengundi PAS dengan ikhlas, selepas menimbang antara manfaat dan keburukan kepada umat, dan mendapati PAS adalah calon paling sesuai mewakili umat, Insya-allah dia akan mendapat pahala. Begitu juga, seseorang yang mengundi UMNO dengan ikhlas, selepas meneliti manfaat dan kesan buruk, lalu dia memilih UMNO, maka dia Insya-allah mendapat pahala.

2) Jika hasil 'ijtihad' dia itu benar, dan PAS memerintah dengan baik, dia akan mendapat pahala yang berterusan lagi. Begitu juga, jika hasil 'ijtihad' seseorang yang mengundi UMNO itu tepat, dan UMNO membuat kebaikan, dia akan berterusan lagi mendapat pahala.


3) Jika seorang yang menyokong PAS dengan ikhlas, dan setelah melakukan kajian dengan adil dan insaf. Tiba-tiba selepas PAS perintah, PAS buat perangai hodoh, zalimi rakyat. Seseorang itu tidak berdosa Insya-allah, dia sudah berusaha memilih yang terbaik setakat yang dia tahu. Begitu juga, jika seseorang memilih UMNO dengan ikhlas, dan selepas mengkaji dengan adil dan insaf, selepas UMNO menang, rupanya ijtihad politiknya silap, sebab UMNO melakukan kezaliman. Insya-allah dia tetap tidak akan berdosa.

4) Jika seseorang menyokong PAS hanya kerana nama PAS ada perkataan Islam, tetapi hasil kajian dia menunjukkan bahawa PAS akan membawa kemusnahan kepada umat, tetapi dia tetap sokong PAS, Insya-allah dia berdosa. Begitu juga seseorang yang menyokong UMNO kerana ada perkataan Melayu yang berkait pula dengan Islam di Malaysia, tetapi hasil kajian dia menunjukkan UMNO akan membawa kemusnahan kepada umat, dia Insya-allah berdosa.

5) Seseorang menyokong PAS, niatnya bukan ikhlas kerana Allah, tetapi kerana kepentingan lain, kerana boleh jadi yang bertanding itu bapak mertua dia. Dan PAS menang, PAS memerintah dengan adil. Apakah dia layak mendapat pahala? Atau dosa lebih layak untuknya?

Begitu juga seseorang yang menyokong UMNO, bukan ikhlas kerana Allah, tetapi kerana mahu mendapatkan projek-projek. UMNO menang, dan UMNO memerintah dengan adil. Apakah dia layak mendapat pahala? Atau dosa lebih layak untuknya.

No comments:

Post a Comment