Sunday, April 14, 2013

Dunia Baru




Disebabkan sudah jatuh cinta dengan dunia perguruan ini, tahun lalu aku memohon untuk menjadi guru J-Qaf. Alhamdulillah, aku diterima. Tetapi, aku terpaksa akur, emak aku tidak membenarkan aku pergi. Kenapa? Kerana aku dihantar mengajar di Sabah. Selepas dinasihati akak aku, dan aku sendiri rasa tidak sedap hati apabila emak aku menangis mendapat berita itu, aku terus memutuskan untuk tidak pergi ke Sabah.


Assalamualaikum w.b.t

Sudah seminggu aku melangkah ke dunia baru. Kerjaya baru. Hampir dua tahun aku di dalam dunia perguruan walau sekadar menjadi guru KAFA yang dipandang sebelah mata. Walau gajinya kecil, orang sering bertanya kenapa dulu memilih menjadi guru KAFA, aku hanya mampu menjawab aku suka. Mula-mula sekadar mencuba, lalu akhirnya aku tahu, mengajar itu dunia aku.



Lalu aku terus mengajar di KAFA Ibtidaiyyah. Aku cinta dengan kerjaya ini. Aku rindukan suasana di sekolah. Setiap hari sebelum loceng berbunyi, aku akan bergerak dari satu kelas ke satu kelas yang lain. Bertanya kepada pelajar: Sudah solat kah belum? Ketika waktu rehat aku akan duduk di kantin, menjaga pelajar, dan mengulangi skrip-skrip yang sama: Makan tangan kanan, minum tangan kanan, baca bismillah. Sebelum pulang, amali solat di masjid, aku akan menyuruh mereka membaca doa masuk masjid, doa selepas wudhu, doa selepas azan. Selesai solat aku akan membacakan zikir-zikir selepas solat yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w, dan mereka akan mengikuti bacaan aku. Aku membacakan doa, dan mereka akan mengikuti bacaan doa aku.

Sesekali aku akan menasihati anak-anak murid aku, khususnya pelajar perempuan tahun enam. 'Jangan bermain cinta, ustaz tak suka kamu ada boyfriend'

Sekarang semuanya tiada. Kerjaya baru aku. Okey apa kerjaya baru aku?

Al Ikhsan Village yang dalam pembinaan

Syarikat: Al Ikhsan Sdn Bhd.
Jawatan: Pegawai Perhubungan Korporat, Unit Corporate Social Responsibility (CSR), di bawah Jabatan Sumber Manusia (HRD).

Tugasan aku:

- Menguruskan aktiviti tarbiah@dakwah dalam kalangan pekerja-pekerja Al Ikhsan.
- Melawat outlet-outlet Al Ikhsan dan memantau perkembangan pekerja-pekerja outlet.
- Menjawab persoalan-persoalan agama staff-staff Al Ikhsan.
- Menjadi imam solat dan aktiviti keagamaan dalam Al Ikhsan.
- Merangka modul bina insan untuk pekerja-pekerja Al Ikhsan.
- Menguruskan dana-dana kebajikan daripada Al Ikhsan kepada fakir-fakir miskin.

Surau di HQ Al Ikhsan

Sepanjang seminggu aku di sini, apa yang telah aku lakukan?

- Menjadi imam solat berjemaah
- Memberi slot Tanyalah Ustaz selepas solat Asar.
- Memeriksa kertas survey asas kefahaman Akidah dan Feqah pekerja Al Ikhsan.
- Membuat data berdasarkan hasil survey.
- Menyampaikan kuliah Feqh Jenazah.
- Menyampaikan kuliah Feqh Wudhu dan Solat.

mengisi slot Feqh Jenazah

Apa perasaan aku di sini?

-Gembira:
#Solat jemaah aku terjaga. Semua pekerja Al Ikhsan diwajibkan solat berjemaah. Mereka yang tidak hadir solat berjemaah Maghrib dan Asar akan diberikan kaunseling dan surat amaran, selepas beberapa bulan, diisi dengan kaunseling, tetapi masih mengulangi ponteng solat jemaah, maka pekerja itu akan ditamatkan perkhidmatan.

Inilah satu perkara yang sangat aku cintai dalam Al Ikhsan. Setiap hari, jam 1.30 petang dan 4.30 petang, kita akan melihat pekerja-pekerja Al Ikhsan yang bertudung atau tidak, yang memakai jeans dan baju ketat dan sebagainya, beramai-ramai bergerak ke surau.


Aku baru pulang daripada hari keluarga HRD di Tanjung Sedili. Aku tidak risau akan isu solat, kerana ia persoalan wajib, bos kami peka hal ini. Solat memang ada dalam tentatif. Kami akan berjemaah sentiasa, selesai solat ada tazkirah ringkas disampaikan oleh teman-teman dalam unit CSR.

#Majlis ilmu hidup. Al Ikhsan bukan sekadar memberikan gaji kepada pekerja, bahkan memberikan ilmu, tarbiah dan dakwah. Syarikat manakah yang setiap malam selepas Maghrib ada kuliah mingguan untuk staff-staff daripada department yang berbeza? Syarikat manakah yang memberikan ruang seluas-luasnya untuk solat di awal waktu. Al Ikhsan bukan sekadar memberikan ruang, bahkan mewajibkan hal tersebut kepada pekerjanya. Bukan itu sahaja, setiap Jumaat akan ada majlis ilmu yang diwajibkan hadir kepada semua staff.

#Tekanan kerja. Aku masuk ke dunia korporat. Budaya kerja yang berbeza. Produktiviti memerlukan disiplin. Walau unit aku kelihatan kecil, tetapi kerja memeriksa data survey, menjawab soalan, melakukan homework untuk sesi slot selepas Asar benar-benar menjadikan masa di ofis memang untuk kerja. Aku melihat sekeliling aku, memang begini budaya kerja korporat; disiplin, serius, produktiviti, berkorban. Ya, tertekan. Tetapi aku yakin semua ini akan memberikan nilai tambah kepada hidup aku.

Sedih
#Aku rindukan anak-anak murid aku. Aku sayangkan mereka. Iqbal, Izzati, Eliana dan ramai lagi. Murid-murid 4 Muawiah yang lebih menyentuh hati aku. Hari terakhir di sekolah mereka menarik-narik aku, mereka membuat majlis untuk aku. Dan majlis itu diisi dengan air mata aku. Ada yang beberapa hari sebelum aku pergi sudah merajuk, enggan masuk ke kelas sehingga aku terpaksa memujuk.


#Aku rindukan dunia perguruan. Selepas dua tahun, aku tahu itulah jalan yang sesuai untuk aku. Tetapi, akhirnya aku memilih jalan lain. Jika boleh, aku mahu pilih jalan yang aku sukai. Tetapi selepas tawaran J-Qaf di Sabah aku tolak, aku sedar, sampai bila aku mahu di KAFA. Aku perlukan kerjaya yang menjamin masa depan aku. Aku terpaksa memilih antara kehendak dan keperluan. Aku mahu jua berumah tangga, aku mahu jua berkeluarga. Tatkala menerima tawaran bekerja di Al Ikhsan, aku terus sms sahabat-sahabat aku. Salah seorang menjawab: "Pandangan saya untuk masa depan anta, lebih baik terima tawaran itu. Ia masih dalam ruang lingkup dakwah yang anta minati....Fikirkan masa depan..." Ayat penutup berkaitan fikirkan masa depan membuatkan aku benar-benar terkesan. Ya, aku akui kata-katanya, sampai bila mahu begini.

#Aku rindukan majlis ilmu. Kehidupan aku di UIA diisi dengan majlis ilmu, tetapi semuanya seakan-akan hilang. Atau boleh dikatakan buat seketika ini aku tidak dapat hadir majlis-majlis ilmu lagi kerana mahu mengatur gerak kerja yang baru.

#Aku rindukan teman-teman khususnya Al Kahfi. Aku rindukan teman-teman yang tatkala duduk dengan mereka, ada nasihat yang akan membekas di jiwa. Aku rindukan teman-teman yang kami bergerak berdakwah di bawah panji-panji Al Kahfi. Aku rindukan teman-teman yang menjaga akhlak mereka, ikhwah yang sangat cinta kepada sunnah, rajin ke masjid, akhwat yang setiasa dihiasi dengan sifat pemalu dan tidak bercakap dengan lelaki sesuka hati. Aku rindukan semua itu.

~~~~
Apa-apa pun, aku yakin keputusan memilih Al Ikhsan adalah keputusan yang tepat. Ia dilakukan selepas proses istisyarah dengan memeriksa latar belakang syarikat, berdiskusi dengan rakan-rakan tentang pro dan cons keputusan aku, dan selepas itu melakukan solat istikharah kepada Allah beberapa kali. Aku yakin ini yang terbaik, Insya-Allah.

Aku mohon sahabat-sahabat yang membaca, doakan aku istiqamah dan tidak menjual agama aku demi kepentingan dunia mahupun kerjaya. Ada prinsip yang perlu dipegang walau terpaksa melepaskan kesenangan duniawi. Doakan aku tidak tumbang, doakan aku kekal berprinsip, doakan aku diberikan kesabaran dalam menempuh persekitaran yang baru. Amin...

________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

No comments:

Post a Comment