Tuesday, August 13, 2013

The Road Less Travelled (1)



Oleh Umm Hajar
Demi menyahut seruan Ustaz Masri, saya rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman hidup saya tentang bagaimana dan kenapa saya memilih untuk menceburi dimensi hidup yang dinamakan poligami sebagai isteri kedua.

Setelah saya berjaya mendapatkan talak fasakh untuk bercerai dengan suami pertama, sejujurnya saya tidak memikirkan sangat untuk menikah lagi. Ketika itu, saya sangat bersemangat untuk fokuskan masa dan tenaga membantu kaum isteri yang dianiaya oleh suami-suami dan tidak mendapat bantuan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa agama. Walaupun begitu, perancangan Allah adalah yang terbaik.

Seorang lelaki yang soleh dan berakhlak mulia datang meminang, dan lelaki ini sudah mempunyai seorang isteri bersama tiga orang anak. Kehidupan rumahtangga pertama saya sudah traumatik maka ramai yang tak setuju jika saya menerima lamaran ini. Ini kerana persepsi umum tentang poligami adalah ianya satu kehidupan yang tidak membahagiakan dan penuh dengan drama duka lara. Saya menghargai niat mereka yang inginkan saya hidup bahagia setelah beberapa tahun melalui kehidupan dalam trauma.

Untuk memendekkan cerita, saya ingin berkongsi kenapa akhirnya saya memilih untuk menikahi lelaki tersebut. Saya bukan sahaja perlu meyakinkan orang lain bahawa ini adalah pilihan terbaik. Bahkan dalam masa yang sama, saya juga berjuang untuk meyakinkan diri sendiri.

Yang pertama, saya sentiasa berusaha untuk memastikan keputusan saya ini nanti adalah berdasarkan manhaj ilmu dan bukan emosi. Apa sahaja keputusan saya nanti, saya harus pastikan bahawa jalan itulah yang lebih utama untuk mendapat keredhaan Allah, dan bukan redha manusia. Jika saya menolak beliau hanya kerana beliau sudah beristeri, itu adalah kerana dorongan emosi dan bukan atas landasan ilmu!

Kemudian saya katakan kepada mereka yang kurang bersetuju dengan saya; Datangkan kepada saya satu hadith.. Satu hadith sahaja yang mana ada disebut menikah dengan suami orang itu makruh atau tidak digalakkan. (Dalil yg berkaitan anak Abu Lahab telah saya tolak sejak awal kerana saya sudah mengkaji perinciannya.) Yang nyata, mereka tidak dapat mendatangkan hadithnya dan hasil carian saya juga tidak menjumpainya.

Kemudian, saya juga mengkaji apakah garis panduan yang telah Islam berikan untuk seseorang menentukan calon terbaik untuk dijadikan pasangan hidup. Tidak pula saya temui satu kriteria yang mengatakan bahawa lelaki itu mestilah bujang. Kriteria yang ada disebutkan oleh Nabi صل الله عليه وسلم , Alhamdulillah, dipunyai oleh calon suami yang datang melamar saya.

Akhirnya, saya juga membuat penilaian terhadap pilihan yang saya ada, pilihan yang manakah lebih baik untuk agama saya dan akan membawa saya lebih dekat ke arah menjadi hamba Allah yang terbaik. Ternyata antara hidup sendiri dan menikah dengan beliau, pernikahan itu akan lebih membawa saya dekat kepada-Nya.

Disertakan dengan Istikharah yang berpanjangan, segala penilaian dan kajian ini mendatangkan satu tekad yang kuat untuk saya menerima lamaran beliau dan Alhamdulillah, kami sah sebagai suami isteri akhirnya.

Saya tekankan di sini bahawa proses yang saya lalui ini adalah sangat berharga dan menyumbang kepada peningkatan jati diri saya sebagai seorang hamba Allah. Segala-galanya yang saya hanya tahu secara teori berkaitan konsep sabar dan tawakal, saya terpaksa menterjemahkannya di dalam perlakuan dan kehidupan saya. Saya tidak pasti apakah ada kem motivasi yang lebih berkesan daripada kem pengalaman hidup yang seperti ini.

Paling penting, dalam hidup ini, kita perlu sentiasa sedar apakah paksi hidup kita. Paksi hidup kita adalah untuk mendapatkan redha Allah, secara sedar dan separa sedar. Bukannya secara sedar sahaja redha Allah tetapi secara separa sedar, paksi kita adalah redha manusia.

Sepanjang hidup, saya sentiasa mencari-cari apakah itu bahagia, apakah definisi bahagia. Setelah jatuh dan bangun beberapa kali dalam mencari, akhirnya saya jumpa makna hakiki apakah itu kebahagiaan. Bahagia adalah apabila kita hidup di atas jalan yang diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya صلى الله عليه وسلم walaupun dunia di sekeliling tidak bersama dengan kita. Sebaliknya sengsara itu adalah apabila kita hidup di jalan yang diredhai oleh dunia di sekeliling kita tetapi jauh daripada redha Allah dan Rasul-Nya صلى الله عليه وسلم.

A lot of my friends say that they're not against polygamy but polygamy is not for them. And I'm totally cool with that :-).. I just wish that people would give polygamy the perception that it deserves.. It definitely doesn't deserve prejudices..

Mungkin ada yang kata, mudah untuk saya menghadapi semua ini kerana saya isteri kedua. Bagaimana kalau saya ini isteri pertama? ما شاء الله.. Ketahuilah, Allah membahagi-bahagikan ujian ini sama seperti pembahagian rezeki. Setiap insan menerima ujian walau dalam bentuk yang berlainan. Ketahuilah, poligami itu adalah ujian kepada setiap isteri tidak kira yang pertama atau yang kedua, juga ujian untuk suami. Sebagaimana mereka yang tidak berpoligami juga dapat ujian tetapi dalam bentuk yang berlainan.

Surah Al-Baqarah, ayat 155:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."

Jika suami menikah lagi ini adalah suatu penghinaan kepada isteri yang ada. Ketahuilah telah dimadukan para wanita yang jauh lebih mulia daripada kita iaitu ummahatul mukminin oleh suami yang paling mulia iaitu Rasulullah صلى الله عليه. Tidaklah kemuliaan atau kehinaan itu ditentukan oleh status perkahwinan kita!

Ada juga soalan-soalan nakal yang bertanya; Bagaimanakah reaksi saya jika suami ingin menikah lagi? Saya akan menjadi the receiving end pula sepertimana isteri pertama dulu menjadi the receiving end. Alhamdulillah, saya katakan tidak ada apa-apa masalah jika suami berkehendak. Dia telah mendidik ku untuk hidup berdikari, bebas daripada menggantungkan harapan kepada selain daripada Allah.

Cumanya saya kerap berpesan, kalau abang nak menikah lagi, harapnya isteri baru abang itu boleh membantu memudahkan hidup keluarga besar kita ini dan bukan menambah masalah.. I think that's a fair request, isn't it? :-)


Inshaa Allah, saya akan kongsi beberapa pengalaman berharga sepanjang hidup bermadu ini di entri-entri akan datang.
________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

2 comments:

  1. Masyarakat Melayu terutama wanita,walaupun dah beratus tahun memeluk Islam, masih fobia dengan poligami... sampai ada sanggup buat dosa semata-mata untuk elak bermadu. Semoga ada lebih ramai yang berkongsi kisah bahagia berpoligami agar terbuka mata dan minda muslimah yang masih menentangnya.

    ReplyDelete