Wednesday, September 9, 2015

Catatan 1 Daurah Ulum al-Hadis

Catatan Daurah Ulum Hadis Sesi 1 bersama Ustaz Nasaie.

Apakah itu Ulum al-Hadis?

Ulum al-Hadis merupakan satu ilmu yang merangkumi segala jenis ilmu yang berkaitan dengan hadis.

Apakah itu Musthalah al-Hadis?


Musthalah al-Hadis ialah salah satu daripada cabang ilmu hadis. Ia membincangkan istilah-istilah yang ada berkaitan hadis.

Apakah itu istilah?

Istilah merupakan kesepakatan sesuatu golongan ke atas maksud sesuatu perkara atau perkataan.

Adakalanya satu perkataan akan difahami dengan maksud yang berbeza mengikut disiplin ilmu yang berbeza.

Contohnya istilah khabar. Ulama-ulama hadis menyepakati ia dengan satu maksud. Akan tetapi apabila dibandingkan maksud khabar menurut disiplin ilmu hadis dan ilmu bahasa, maka ia membawa dua maksud yang berbeza.

Perkembangan Ulum al-Hadis:

Antara ulama yang awal menuliskan Ulum al-Hadis ialam Al-Imam Al-Syafie di dalam kitabnya Ar-Risalah. Walaupun ia merupakan sebuah kitab Usul al-Fiqh, di dalamnya terkandung beberapa topik Ulum al-Hadis antaranya penghujahan menggunakan khabar Ahad dan sebagainya.

Imam Muslim turut menulis berkaitan Ulum al-Hadis pada mukadimah Sahih Muslim. Mukadimah Sahih Muslim telah dihuraikan oleh ramai ulama'.

Begitu juga ulama seperi Al-Imam At-Tirmizi menulis kitab berkaitan kecacatan hadis iaitu Al-'Ilal. Kemudiannya, kitab ini telah dihuraikan oleh Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali.

Begitu jugalah ulama-ulama lain yang mempunyai karya dalam bidang Ulum al-Hadis seperti Imam al-Ramahurmuzi, Imam al-Hakim, Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani.

Terdapat juga ulama yang menulis dalam bait syair seperti Al-Imam Al-Iraqi dengan nama Alfiyah Al-'Iraqi Fi Ulum al-Hadis.

Begitu juga Imam as-Sayuti dengan Alfiyah Al-Suyuthi Fi 'Ilm al-Hadis.

Ustaz Nasaie menyatakan bahawa sesiapa yang benar-benar mahu mengkhususkan diri dengan bidang hadis perlu menghafaz salah satu daripada Alfiyah di atas. Beliau mencadangkan agar dihafaz Alfiyah Al-Suyuthi.

Ustaz juga menasihatkan pelajar-pelajar hadis untuk menghafaz matan-matan Usul al-Fiqh, fiqh dan sebagainya.

Ustaz Nasaie mengingatkan kepada semua pelajar:

Daripada Sufyan bin 'Uyainah, daripada 'Abdul 'Aziz al-Thaifi, beliau berkata:

مَنْ طَلَبَ الْحَدِيثَ أَفْلَسَ
Sesiapa yang menuntut ilmu hadis dia akan muflis. [Al-Jami' Li Akhlaq Al-Rawi wa Adab al-Sami' oleh al-Khatib al-Baghdadi]

Kemudian ustaz mula membaca teks daripada Irsyad Thullab al-Haqaiq Ila Ma'rifati Sunan Khairi al-Khalaiq. Ini merupakan karya Al-Imam An-Nawawi di mana beliau meringkaskan kitab Ulum al-Hadis susunan Al-Imam Ibn Solah yang lebih dikenali dengan nama Mukaddimah Ibn Solah.

Jenis-jenis hadis:
Hadis boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Sahih, Hasan dan Dhaif.

Ustaz menyatakan bahawa satu ketika ulama hanya sekadar membahagikan hadis kepada dua bahagian iaitu maqbul (yang diterima) dan mardud (yang ditolak).

Ustaz Nasaie juga menyatakan bahawa Al-Imam At-Tirmizi merupakan antara ulama hadis yang mula menggunakan istilah hadis hasan secara meluas.

Apakah itu hadis sahih?

Terdapat 5 syarat yang perlu ada supaya sesuatu hadis itu dinilai sebagai sahih, iaitu 3 perkara yang perlu wujud pada riwayat itu, dan 2 perkara yang perlu tidak wujud dalam riwayat. Dengan adanya 3 perkara ini, dan tiadanya 2 perkara ini, barulah sesuatu riwayat dikatakan sahih.

Yang perlu ada
1- Sanad yang bersambung antara satu perawi dengan perawi sebelumnya.
2- Ia diriwayatkan oleh jalur perawi-perawi yang 'adil.
3- Ia diriwayatkan oleh jalur perawi-perawi yang dhabith.

Yang perlu tiada
4- Tiada syaz
5- Tiada kecacatan

Apakah syarat seseorang perawi dikira 'adil?

1- Dia mestilah seorang Muslim.
2- Baligh. Dia mestilah telah baligh ketika menyampaikan riwayat tersebut. Jika dia mendengar riwayat itu ketika kecil, ia tetap diterima selagi mana dia menyampaikan kepada orang lain selepas dia baligh.
3- Berakal
4- Tidak fasiq (iaitu tidak melakukan dosa besar secara terang-terangan)
5- Menjaga maruah. Definisi maruah ini akan merujuk kepada uruf setempat.

Apakah itu dhabith?
Iaitu perawi yang kuat hafazannya atau catatan penulisan riwayatnya betul.

Apakah sanad hadis yang paling sahih?
Imam an-Nawawi membawakan pelbagai pendapat mengenai sanad manakah yang paling sahih. Antaranya ialah:

1- Az-Zuhri daripada Salim daripada Ibn 'Umar radiallahu 'anhu. Ini merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishaq.
2-Muhammad bin Sirin daripada 'Abidah daripada 'Ali radiallahu 'anhu. Ini pendapat 'Ali  bin al-Madini dan lain-lain.
3- Al-A'masy daripada Ibrahim an-Nakhaie daripada 'Alqamah daripada 'Abdullah bin Mas'ud radiallahu 'anhu. Ini pendapat Yahya bin Ma'in.
4- Az-Zuhri daripada 'Ali bin al-Hussein daripada Al-Hussein daripada 'Ali radiallahu 'anhu. Ini pendapat Abu Bakr bin Abi Syaibah.
5- Malik daripada Nafi' daripada Ibn 'Umar radiallahu 'anhu. Ini pendapat Abu 'Abdillah al-Bukhari.
6- Al-Syafie daripada Malik daripada Nafi' daripada Ibn 'Umar radiallahu 'anhu. Ini pendapat Abu Mansur Abdul Qahir at-Tamimi.
7- Ahmad daripada Al-Syafie daripada Malik daripada Nafi' daripada Ibn 'Umar radiallahu 'anhu. Ini disebutkan di dalam Alfiyah al-Suyuthi.

Kitab apakah yang paling sahih selepas al-Quran?

Menurut al-Imam al-Syafie, kitab hadis yang paling sahih selepas al-Quran ialah Al-Muwatta' susunan Imam Malik. Imam an-Nawawi menyanggah hal ini. Menurut beliau, ya, pendapat ini benar di zaman al-Syafie kerana di zaman itu belum wujud lagi kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim.

Jadi yang paling sahih ialah Sahihain iaitu Sahih al-Bukhari dan Muslim.

Antara Sahih al-Bukhari dan Muslim, ulama membahaskan, manakah yang paling utama. Kebanyakan ulama menyatakan bahawa yang paling hebat ialah kitab Sahih al-Bukhari.

Ustaz menyebutkan 4 sebab Sahih al-Bukhari lebih utama daripada Sahih Muslim:

1- Syarat Imam al-Bukhari lebih ketat.
2- Perawi-perawi dalam Sahih al-Bukhari sedikit yang dikritik berbanding Sahih Muslim.
3- Hadis-hadis dalam Sahih al-Bukhari sedikit yang dikritik berbanding Sahih Muslim.
4- Imam al-Bukhari adalah guru kepada Imam Muslim.

Adakah semua hadis sahih ada di dalam Sahihain?

Jawapannya tidak. Al-Hafiz Abu 'Abdillah bin al-Ahzam menyatakan bahawa: Tidak luput mana-mana hadis sahih daripada sahih al-Bukhari dan Muslim kecuali sedikit. Akan tetapi hal ini dibantah oleh Imam an-Nawawi. Imam an-Nawawi menyatakan realitinya, yang disaksikan, ada banyak hadis-hadis sahih yang ditemui tetapi tidak ada di dalam kedua kitab Sahih ini.

Yang benar kata Imam an-Nawawi bahawa majoriti hadis-hadis sahih akan ditemui dalam kitab hadis yang 5 (Al-Kutub Al-Khamsah) iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih uslim, Sunan Abi Daud, Jami' at-Tirmizi dan Sunan an-Nasaie. Untuk kitab yang keenam, ulama membahaskan adakah ia Sunan Ibn Majah, atau Sunan ad-Darimi, atau Musnad Ahmad, atau Al-Muwatta'. Secara tradisinya ulama memasukkan Sunan Ibn Majah sebagai kitab yang keenam.

Ini bukanlah bermaksud semua hadis dalam keenam-enam kitab ini sahih. Dalam Sunan Ibn Majah ditemui hadis-hadis yang tersangat lemah.

Berkaitan kitab Al-Muwatta' oleh Imam Malik. Ustaz menyatakan bahawa kesemua riwayat yang bersambung sanadnya dalam kitab Al-Muwatta' adalah sahih. Manakala yang terputus sanadnya, kebanyakannya setelah diteliti, telah dijumpai sanadnya yang penuh dan didapati sebahagian besar ia sahih jua.

Antara ulama yang terkenal membahaskan Al-Muwatta' Imam Malik ialah ulama mazhab Malik Al-Imam Ibn 'Abdil Barr yang popular dengan karyanya At-Tamhid dan Al-Istizkar.

Wallahua'lam.
*Ada banyak lagi yang disebutkan oleh ustaz dan tercatat dalam karya Imam an-Nawawi yang tidak dituliskan di sini.
*Daripada catatan nota Mohd Masri bin Mohd Ramli.

No comments:

Post a Comment