Tuesday, January 11, 2011

Siapakah Muslim, Mukmin, Muhajir dan Mujahid?

Di dalam khutbah ketika Haji Wida, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam menyebutkan:



وسأخبركم من المسلم المسلم من سلم الناس لسانه ويده والمؤمن من أمنه الناس على أموالهم وأنفسهم والمهاجر من هجر الخطايا والذنوب والمجاهد من جاهد نفسه في طاعة الله 

Aku ingin memberitahu kalian siapakah Muslim? Muslim ialah seseorang yang mana manusia lain selamat daripada lidah dan tangannya. Mukmin ialah seseorang yang manusia lain mempercayainya (di dalam menguruskan) harta dan diri mereka. Muhajir (orang yang berhijrah) ialah seseorang yang berhijrah daripada kesilapan dan dosa. Mujahid (orang yang berjihad) ialah seseorang yang berjihad ke atas dirinya di dalam mentaati Allah. [HR al-Imam al-Haithami di dalam Majma' az-Zawaid: 3/271, beliau menyatakan perawinya thiqah]


Huraian:

Hadis ini menerangkan kepada kita ciri-ciri kepada empat golongan manusia iaitu mereka yang digelar Muslim, Mukmin, Muhajir dan Mujahid.

a) Siapakah Muslim?

Berdasarkan hadis di atas, ciri seorang muslim ialah insan lain akan terselamat daripada perbuatan buruk yang dilakukan oleh tangannya mahupun perkataan yang diucapkan oleh lidahnya. Dengan lebih ringkas lagi, seorang Muslim yang sejati ialah seorang insan yang tidak akan sekali-kali menzalimi manusia lain.

Seorang muslim yang sejati akan memastikan setiap tindakannya, kata-katanya tidak akan menggores hati saudara seIslamnya. Seorang muslim yang sejati akan menjaga dirinya daripada melakukan perkara yang melanggar hak-hak saudara seIslamnya.

Sebagaimana kita tidak suka dizalimi, tidak suka dianiaya, tidak suka dicaci maki atau diumpati di belakang kita, maka itulah juga yang perlu kita lakukan kepada saudara seIslam kita agar kita menjadi muslim sejati.

Menjaga tangan kita daripada menganiaya dan merampas hak mereka. Menjaga lidah kita daripada memfitnah, mengadu domba, mengumpat dan mencaci maki. Inilah muslim sejati. Inilah ciri yang perlu ada pada diri kita untuk menjadi muslim sejati.

b) Siapakah mukmin?

Di dalam hadis di atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam menyatakan ciri seorang mukmin ialah manusia lain percaya untuk memberikan amanah kepada mereka hatta di dalam urusan harta dan nyawa mereka sendiri.

Urusan harta dan nyawa ialah dua aspek penting di dalam kehidupan. Kita tidak akan sewenang-wenangnya memberikan orang lain menguruskan harta kita. Kita juga tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan orang lain menjaga anak-anak kita, ibu bapa kita kecuali kita benar-benar yakin orang tersebut adalah manusia yang boleh dipercayai.

Ini tergambar di dalam sirah Nabawiah. Bukankah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam diberikan amanah oleh Ummul Mu'mininin Khadijah Bte Khuwailid Radiallahu 'Anha untuk menguruskan barang dagangannya?

Lalu cerminlah diri kita. Apakah diri kita ialah insan yang dipercayai manusia untuk menguruskan amanah. Jika manusia berat mempercayai kita, atau meragui kejujuran kita. Sudah pasti ada sesuatu masalah di dalam diri kita yang tidak menepati ciri-ciri untuk menjadi seorang mukmin yang hakiki. Hisablah kejujuran diri kita, apakah kita seorang yang amanah, atau sebaliknya kita seorang insan yang tidak dipercayai oleh manusia.

c) Siapakah Muhajir?

Muhajir ialah orang yang berhijrah. Akan tetapi hakikat hijrah di dalam hadis di atas, bukanlah hanya membicarakan perpindahan dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Sebaliknya ia berkaitan hijrah di dalam diri seseorang. Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang sering berusaha memperbaiki dirinya menjadi lebih baik. Dia berhijrah daripada satu tahap ke tahap yang lebih baik. Dia berpindah daripada dosa-dosa dan kesilapan, kepada kebaikan dan pahala yang mencurah-curah.

Orang yang berhijrah ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini. Dia tidak statik di atas satu tahap sahaja. Golongan Muhajir akan sentiasa memajukan diri mereka, memperbaiki dan terus menerus menggali khazanah-khazanah kebaikan, dan membuang sisa-sisa kotoran daripada diri mereka.

d) Siapakah mujahid?

Mujahid ialah orang yang berjihad. Hadis di atas memfokuskan kepada jihad melawan nafsu agar dapat mentaati Allah. Seorang lelaki mujahid akan melawan nafsunya agar dapat mendirikan solat berjemaah di masjid mahupun surau walau di dalam hatinya terasa kemalasan. Seorang mujahidah agar menutupi dirinya dengan pakaian yang menutup aurat, walau jiwanya memberontak untuk kelihatan cantik seperti gadis-gadis yang bebas rambutnya, berfesyen meniru gaya-gaya artis-artis yang cantik di mata lelaki. Seorang mujahid akan berusaha untuk melawan mengantuknya untuk mendirikan qiamullail, atau paling kurang untuk bangun mendirikan solat Subuh.

Masakan mampu seorang berjihad di medan perang sedangkan hatinya masih gagal melawan hawa nafsu. Sungguh jihad mengorbankan jiwa memerlukan kepada jihad melawan nafsu, kerana untuk ke medan perang memburu syahid, seseorang perlu berperang dengan nafsunya yang mahu duduk di rumah berehat-rehat dengan anak dan isteri..

Bacaan lanjut:

No comments:

Post a Comment