Wednesday, February 2, 2011

Disiplin Bukan Dengan Mengajar Kurang Ajar

Alhamdulillah, sejak saya di tahun 1 sehingga kini, saya sering bersama dengan INTIS Consultant, menganjurkan program-program motivasi kepada pelajar sekolah, khususnya mengajak mereka memahami asas-asas Islam. Pengalaman saya bersama INTIS mengajar saya untuk tidak terlalu mengikuti 'manhaj motivasi' konvensional.


Bukanlah sesuatu yang pelik mendengar atau melihat mana-mana penganjur kursus motivasi menganjurkan aktiviti yang menanggalkan sifat malu di kalangan peserta. Peserta dididik bergaul dengan bukan mahram, alasannya untuk menghilangkan rasa malu. Lalu, ber 'LDK'lah peserta, bersukan, melompat, merangkak dan sebagainya bersama-sama bukan mahram, atau paling kurang dengan disaksikan bukan mahram.

Si gadis cilik remaja, bertudung litup, boleh jadi berniqab, disuruh merangkak, dan lain-lain di hadapan abang-abang fasi yang bukan mahram, silap-silap dengan disaksikan remaja-remaja lelaki yang lain. Semuanya atas dasar motivasi, membina jatidiri dan sebagainya.

Belum lagi dikira modul ala kem tentera. Peserta ditengking di sana sini. Jijiknya, akhlak buruk disemai di dalam kursus selama tiga hari atas alasan mendisiplinkan diri, membina jatidiri dan sebagainya. Peserta disuruh melakukan perkara yang memalukan diri sendiri, disuruh memanggil diri mereka monyet. Si fasi pula menengking-nengking, memanggil peserta dengan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya. Apakah ini membina diri? Apakah ini membina jatidir?

Kita semua Muslim, tidak kira bagaimana peribadi kita. Apa yang kita lakukan hendaklah berteraskan Islam. Dakwah dan Tarbiah apakah yang kita lakukan jika ia menghilangkan malu yang menjadi perisai para Muslimah. Jatidiri dan disiplin Islam apakah yang disemai dengan mengajar peserta memaki hamun, memberi gelaran yang buruk? Jatidiri apakah yang mahu dibina di dalam diri peserta.

Kita boleh memberi 1001 alasan, tetapi persoalan yang perlu ditanya kepada diri kita sendiri, Islamikkah apa yang kita lakukan itu?

Alhamdulillah, sahabat-sahabat INTIS telah mengajar saya, bukan itu caranya membawa adik-adik membina jatidiri Muslim. Sahabat-sahabat INTIS juga telah mengajar saya untuk lebih menghargai kebaikan yang adik-adik lakukan walau sekadar memungut sampah berbanding menghukum atas kesalahan yang dilakukan, jauh sekali untuk memalukan peserta yang dikatakan melakukan kesalahan.

Wallahua'lam.

1 comment: