Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.
Dari Tunisia merebak ke Mesir, mula mencuba-cuba di Sudan dan lain-lain. Sebahagian umat Islam bergembira. Inilah revolusi untuk menumbangkan rejim diktator yang menzalimi para pejuang Islam. Inilah revolusi untuk memusnahkan pemerintahan Thaghut yang selama ini menjadi anjing kepada Zionis, menutup laluan ke Palestin. Inilah revolusi menumbangkan pemimpin yang menjadi penjilat kepada si kafir.
Tetapi, revolusi apakah ini? Apakah ia revolusi berteraskan wahyu? Apakah ia revolusi untuk menegakkan pemerintahan Islam di bumi Mesir. Atau ia kebangkitan rakyat biasa yang merasa kesempitan dengan budaya korupsi, kezaliman, pengangguran, kemiskinan, tidak lupa sentimen cinta kepada saudara-saudara di Palestin. Tidak adil kita di Malaysia yang aman damai menghakimi mereka, kita tidak tahu kenapa ia berlaku. Hati waras kita berkata tiada manusia yang sengaja mahu melancarkan revolusi sebegitu.
Tetapi, apakah ia akan berlaku di Malaysia. Atau, patutkah kita berdoa agar ia merebak ke negara umat Islam yang lain. Wajarkah kita berharap agar ia menumbangkan kerajaan Monarki di Arab Saudi yang menempatkan dua tanah suci umat Islam? Fikirkan kembali. Jika benar itu doa kita, harapan kita, apakah kita sudah memikirkan akibatnya. Jika ia benar-benar terjadi, siapakah yang akan naik selepas revolusi? Apakah yang lebih baik atau yang lebih hodoh perangainya?
Apatah lagi untuk ia diimport ke bumi Malaysia. Saya yakin ia tidak akan berlaku, dan memang saya berdoa untuk ia tidak berlaku di Malaysia. Jika kita mengharapkan begitu, wajarlah kita memikirkan masak-masak, jika revolusi dilancarkan di Malaysia, jika pemerintah ditukar melalui demonstrasi jalanan, siapakah yang akan naik selepas itu? Wajar juga kita fikirkan, siapa pula yang beria-ria mempromosi dan mendesak kerajaan-kerajaan lain untuk membenarkan demonstrasi jalanan di atas nama hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan sebagainya.
Jika kita mahukan revolusi, apakah kita mempunyai golongan muda yang sudah kuat tarbiahnya untuk memimpin revolusi, atau kita akan membiarkan sesiapa sahaja menyertai revolusi, membakar di sana sini, melakukan kerosakan di muka bumi.
Mahu membina negara? Kita perlu membina manusia sebelum membina negara. Jika tidak ia akan berputar-putar di sekitar itu jua.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment