Thursday, March 17, 2011

Tatacara Pengurusan Jenazah (1)- Apa Nak Buat Bila Berlaku Kematian


KETIKA MENINGGAL DUNIA

Jika sudah meninggal dunia maka orang-orang yang ada disekitarnya mesti melakukan hal-hal berikut :
  1. Memejamkan mata mayat
  2. Mendoakan
دخل رسول الله صلى الله عليه وسلم على أبي سلمة وقد شق بصره . فأغمضه . ثم قال " إن الروح إذا قبض تبعه البصر " . فضج ناس من أهله . فقال " لاتدعوا على أنفسكم إلا بخير . فإن الملائكة يؤمنون على ما تقولون
Dalil: Daripada Ummu Salamah RA bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah masuk (melawat) Abu Salamah yang telah meninggal dunia dalam keadaan matanya terbuka, maka baginda Sallallahu ‘Alaihi Wassalam memejamkan matanya seterusnya bersabda: “Sesungguhnya apabila ruh dicabut, maka mata akan mengikutinya.” Maka orang-orang daripada keluarganya akan menjadi hiruk pikuk. Maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: “Janganlah kamu berdoa ke atas diri kamu kecuali kebaikan, sesungguhnya malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan”. [HR Muslim: 920]
  1. Menutup seluruh tubuhnya dengan kain. Tetapi jika yang meninggal sedang melakukan ihram, maka kepala dan wajahnya tidak ditutupi
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم حين توفي سجي ببرد حبرة
Dalil: Dari ‘Aisyah RA bahawa ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam wafat, baginda ditutup dengan kain (sejenis kain daripada Yaman). [HR al-Bukhari: 5814]
  1. Bersegera menguruskan jenazahnya setelah yakin bahawa dia sudah betul-betul meninggal
أسرعوا بالجنازة ، فإن تك صالحة فخير تقدمونها ، وإن يك سوى ذلك ، فشر تضعونه عن رقابكم
Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda yang maksudnya:“ Percepatkanlah kamu dalam membawa jenazah kerana jika jenazah itu jenazah yang soleh maka itu adalah kebaikan yang kalian segerakan dan jika dia sebaliknya (tidak soleh) maka suatu kejahatan yang kamu lepaskan daripada leher-leher kamu.”  [HR al-Bukhari: 1315, Muslim: 944, dan Abu Daud: 3181]
  1. Menguburkan di kampung tempat dia meninggal, tidak memindahkan ke daerah lain kecuali dalam keadaan darurat. Ini kerana memindahkan mayat ke daerah lain menyalahi perintah mempercepatkan pengurusan jenazah.
كنا حملنا القتلى يوم أحد لندفنهم فجاء منادي النبي صلى الله عليه وسلم فقال إن رسول الله صلى الله عليه وسلم يأمركم أن تدفنوا القتلى في مضاجعهم فرددناهم
Daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari bahawa kami sedang membawa jenazah mereka yang terbunuh di dalam perang Uhud untuk kami mengebumikannya. Lalu datang wakil Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dan dia berkata:  Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyuruh kalian untuk  untuk mengebumikan mereka yang terbunuh di tempat mereka terbunuh. Maka kami pun memulangkan mereka (jenazah-jenazah itu)” [HR Abu Daud: 3165 dan beliau mendiamkannya. Al-Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu’: 5/303 menyatakan isnadnya sahih. Shaikh al-Albani menyatakan ia sahih di dalam Sahih Abi Daud]
  1. Bersegera menyelesaikan hutang-hutangnya semuanya daripada harta mayat sendiri. Jika harta peninggalannya tidak mencukupi, maka kerajaan yang membayar hutang-hutangnya setelah dia sendiri sudah berusaha membayarnya. Jika kerajaan tidak melakukannya, individu yang mahu membantu membayar boleh melakukannya.
أن أخاه مات وترك ثلاثمائة درهم ، وترك عيالا ، قال : فأردت أن أنفقها على عياله ، قال : فقال لي النبي صلى الله عليه وسلم : إن أخاك محبس بدينه فا ذهب فاقض عنه ، فذهبت فقضيت عنه ، ثم جئت قلت : يا رسول الله ، قد قضيت عنه إلا دينارين ادعتهما امرأة ، وليست لها بينة ، قال : أعطها فإنها محقة ، وفي رواية : صادقة .
Dalil: Dari Sa’ad bin al-Athwal: Sesungguhnya saudaranya telah wafat, dia meninggalkan tiga ratus dirham dan beberapa orang anak. Ketika aku ingin membahagikan harta peninggalan kepada keluarganya, maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyatakan kepada aku: Sesungguhnya saudaramu menanggung beberapa hutang, oleh yang demikian pergilan melunaskan hutangnya. Aku pergi melunaskan hutangnya, kemudian kembali menemui Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, aku katakan kepada baginda Sallallahu ‘Alaihi Wassalam: Wahai Rasulullah! Aku telah tunaikan seluruh hutangnya, dan tiada bakinya kecuali dua dinar yang dituntut seorang wanita, tetapi dia tidak mempunyai bukti yang lengkap. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menjawab: Berikanlah kepada wanita itu kerana dia benar.” [HR Ibn Majah, Ahmad dan al-Baihaqi. Shaikh al-Albani di dalam Ahkam al-Janaiz: 26 menyatakan isnadnya sahih]

[sumber: Nota Pengurusan Jenazah, INTIS Consultant]

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    Saya ada perbincangan dgn sahabat saya, dia ada beri tahu utk mengkebumikan jenazah pun ada waktu yang boleh dan waktu diharamkan utk mengkebumikan jenazah. Adakah ini benar?
    JazakAllah

    ReplyDelete