Serangan ke atas pemakaian menutup aurat bukanlah sesuatu yang baru. Rentetan sejarah umat Islam menunjukkan bagaimana ia sangat-sangat di musuhi oleh golongan kuffar. Hijab hanya sejenis pakaian yang Allah tuntut kepada wanita beriman. Tetapi ‘fesyen’ itu menimbulkan kegerunan dan kecemburuan mereka yang memusuhi Islam, sama ada di kalangan yang jelas kafirnya, mahupun mereka yang masih menggunakan nama Islam di dalam kad pengenalan mereka.
1 Julai 2009. Peristiwa berdarah berlaku di khalayak ramai, di dalam mahkamah yang sepatutnya membawa keadilan. Marwa al-Sharbini dibunuh oleh seorang pemuda di dalam mahkamah, di hadapan hakim, peguam serta pihak polis. Ditikam sebanyak lapan belas kali. Ketika itu dia sedang mengandungkan anaknya.
Sebelum itu, seribu satu peristiwa lagi mencatatkan permusuhan musuh Islam kepada tatacara berpakaian Islam.
Bumi Turki tempat berdirinya empayar Uthmaniyyah merekodkan seribu satu sejarah hitam dalam melaksanakan kewajipan Islam termasuk menutup aurat. Bermulanya kejatuhan empayar Uthmaniyyah, ia telah mengubah landskap kehidupan rakyat Turki. Pada tahun 1924, Mustafa Kamal At-Tartuk memulakan proses sekularisasi perlembagaan Turki. Di antara kesannya termasuklah pengharaman hijab dan azan dilaungkan di dalam bahasa Turki.
Bermula saat itu, hijab menjadi isu pertembungan yang hebat antara mereka yang masih mempertahankan identiti Islam, dan golongan pro-sekular di Turki. Undang-undang khas isu ini diwujudkan. Pada 16 Julai 1982, satu undang-undang yang menyebutkan bahawa wanita yang bekerja di sector awam tidak boleh menutup kepala mereka. Berdasarkan penafsiran kepada undang-undang ini, pada tahun 1997, pengharaman hijab telah diperluaskan ke seluruh universiti di Turki.
Tahun 1999, dunia Islam digegarkan dengan keberanian seorang wanita, Merve Kavakci, seorang ahli parlimen, yang hadir ke parlimen untuk mengangkat sumpah dalam keadaan bertudung. Ia mendapat reaksi yang keras daripada golongan pro-sekular. Beliau dihalang daripada mengangkat sumpah sebagai seorang ahli parlimen. Isu ini membangkitkan kemarahan umat Islam. Kavakci mendapat dokongan daripada umat Islam khususnya di Iran. Wanita-wanita dunia Islam bangkit melakukan demonstrasi.
Hanya pada tahun 2008, wanita Turki mula mendapat hak untuk menutup aurat selepas parlimen Turki meluluskan pindaan dan menyatakan larangan memakai hijab bertentangan dengan hak asasi manusia.
Kenapa mereka terlalu takut dengan sehelai kain yang menutupi rambut wanita Islam? Ia adalah satu perkara yang menghairankan. Akan tetapi seandainya kita menyelusuri sejarah penutupan aurat, nescaya kita akan menemui jawapannya. Aisyah radiallahu ‘anha berkata: “Semoga Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama. Tatkala turunnya perintah Allah (di dalam surah an-Nur:31 yang bermaksud: Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dada..), maka mereka terus mengoyak kain-kain mereka dan bertudung dengannya”. (Sahih al-Bukhari)
Berdasarkan penjelasan Aisyah radiallahu ‘anha, kita mendapati bahawa ketika turunnya ayat menyuruh wanita Islam menutup aurat, tanpa banyak alasan dan soalan, terus para sahabat menuruti arahan tersebut. Ini menunjukkan kekuatan iman mereka. Kekuatan iman inilah yang menjadi punca kejayaan para sahabat radiallahu ‘anhum. Mereka patuh dan taat kepada segala suruhan dan larangan Allah Tabaraka Wa Taala. Kekuatan inilah yang dicemburui oleh para musuh-musuh Islam. Mereka tahu bahawa kekuatan umat Islam ada pada keimanan mereka, lalu untuk memusnahkan umat Islam mestilah dimulai dengan memusnahkan keimanan mereka.
Umat Islam sering lupa bahawa segala aspek kehidupan mereka di dunia ini, tidak kiralah di dalam ibadah khusus kepada Allah seperti solat, puasa, zikir mahupun kehidupan dunia seperti belajar, berniaga dan lain-lain. Kesemuanya berpaksikan kepada dua kalimah syahadah yang sering kita baca yang bermaksud “Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad pesuruh Allah”. Oleh kerana itu, pemakaian menutup aurat juga tidak terlepas daripada kaitannya dengan syahadah kita kepada Allah.
Pakaian yang menutup aurat merupakan lambang ketaatan kita kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: “Apa yang aku larang hendaklah kamu hindarinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kamu laksanakan semampu kalian” (Muttafaq ‘Alaih). Arahan menutup aurat telah jelas termaktub di dalam al-Quran dan hadis yang sahih. Memakainya adalah satu bentuk ketaatan, manakala menanggalkannya pula adalah satu bentuk maksiat kepada Allah dan derhaka kepada rasulNya.
Allah Tabaraka Wa Taala berfirman: Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali,oleh kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Ahzab:59)“
Di dalam ayat di atas, Allah Tabaraka Wa Taala secara jelas menerangkan di antara objektif pensyariatan hukum menutup aurat adalah supaya orang beriman lebih mudah dikenali. Dengan memakai pakaian menutup aurat, kita dapat membezakan antara individu yang beriman dengan individu yang tidak beriman.
Membezakan diri daripada orang bukan Islam adalah salah satu tuntutan aqidah Islam. Ia termaktub di dalam konsep al-Wala’ (kesetiaan) dan al-Bara’ (berlepas diri). Konsep al-Bara’ yang menuntut agar kita berlepas diri daripada segala bentuk kekufuran, membenci orang-orang yang kufur serta menjauhi daripada menyerupai identiti mereka.
Umat Islam seolah-olah melupai tuntutan ini. Pemakaian menutup aurat hanya dilihat sebagai satu hukum hakam feqh yang kecil. Ia dilihat sebagai salah satu perkara cabang yang hanya dipandang enteng. Akan tetapi kita melihat sebaliknya berlaku di kalangan musuh-musuh Islam. Mereka seolah-olah memahami betapa pentingnya konsep al-Wala’ dan al-Bara’ di dalam Islam, lalu mereka cuba melemahkan benteng yang utuh ini. Mereka mahu umat Islam tidak lagi berbeza dengan mereka. Apabila berada di jalanan, kita tidak lagi dapat membezakan siapakah yang Islam, dan siapakah yang bukan Islam.
Salah satu perkara yang mereka serang bagi melemahkan al-Wala’ dan al-Bara’ ialah melalui pakaian. Serangan ini dilakukan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui perundangan yang menyekat hak-hak wanita Islam yang menutup aurat, mahupun melalui propaganda media massa. Serangan kedua inilah yang paling merbahaya. Ia merebak hatta di negara kita. Kempen-kempen kebebasan ditonjolkan di kaca televisyen sama ada melalui drama, telenovela mahupun iklan-iklan syampu yang cuba menonjolkan keayuan perempuan yang membuka aurat. Pemakaian menutup aurat digambarkan sebagai satu undang-undang yang kolot dan menyekat hak asasi manusia. Mereka lupa bahawa tindakan mereka menghalang wanita Islam menutup aurat juga bertentangan dengan hak asasi manusia.
Musuh Islam tidak pernah berputus asa. Tidak semua umat Islam dapat mereka pengaruhi untuk membuka aurat dan membenci hukum menutup aurat. Bagi mereka yang menutup aurat pula, mereka dikelirukan di dalam isu purdah. Kekeliruan yang muncul ini hingga menyebabkan segelintir umat Islam memandang wanita Islam yang memilih menutup wajah mereka daripada pandangan bukan mahram sebagai sekelompok manusia yang ekstrim dan melampau di dalam mengamalkan ajaran Islam.
Umat Islam seolah-olah lupa itulah pakaian isteri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Para sarjana Islam berbeza pendapat di dalam isu wajah aurat atau tidak. Ia telah dijelaskan secara terperinci oleh Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam kitab beliau Jilbab al-Mar’ah al-Muslimah. Beliau berpegang bahawa wajah bukan aurat. Manakala untuk membaca hujah sarjana yang mewajibkan pula, bole dilihat di dalam kitab Risalah Al-Hijab susunan Shaikh Muhammad bin Shalih al-Uthaimin. Tidak kiralah sama ada kita berpegang wajah aurat atau tidak, wajib atau tidak menutup wajah. Kita hendaklah menerima hakikat bahawa pemakaian purdah menutup wajah adalah antara salah satu perkara yang disyariatkan di dalam Islam.
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin menyatakan: “Wanita yang memakai purdah berpegang dengan pendapat golongan ulama yang mewajibkannya. Ini adalah hak mereka. Selagi mereka berkeyakinan pendapat yang menyatakan ianya wajib itu kuat, maka mereka wajib memakainya. Ini kerana seseorang itu berpegang kepada apa yang dia yakin. Seseorang individu tidak wajib mengikut mazhab orang ramai, tetapi hendaklah mengikuti apa yang dia faham dan yakin yang berpandukan perbahasan-perbahasan para imam ahli sunnah wal jama`ah.” (http://drmaza.com/home/?p=68)
Umat Islam hendaklah sedar, serangan yang ditujukan kepada tudung dan purdah adalah salah satu cara untuk menghancurkan identiti Islam. Adalah amat malang apabila segelintir wanita Islam masih degil daripada menutup aurat walaupun tiada siapa yang akan membunuhnya seandainya dia menutup aurat di Malaysia. Mendukacitakan lagi, apabila pemakaian purdah di Malaysia masih dipandang sebagai sesuatu yang taboo dan di sesetengah tempat, pemakai purdah dinafikan hak untuk bekerja dan belajar.
Ia terbukti pada tahun 1992, di dalam kes Halimatussadiah VS Sektor Awam Malaysia. Halimatussadiah telah dibuang kerja kerana beliau memilih untuk memakai purdah. Menyedihkan, yang mewakili beliau ialah seorang peguam bukan Islam yang terkenal, Karpal Singh, dan yang berhujah menyatakan tindakan beliau salah pula antaranya adalah seorang tokoh agama di Malaysia.
Semoga darah yang mengalir dari tubuh Marwa al-Sharbini akan membangkitkan maruah umat Islam. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saudari seIslam kita yang sedang ditekan hanya kerana mereka memilih untuk menutup aurat dan menutup wajah mereka.
Silakan membaca link-link di bawah:
Halimatussaadiah VS Public Service Commission, Malaysia
Headscarf controversy in Turkey
Egypt funeral for stabbing victim
Subhanallah!!
ReplyDelete