Thursday, May 19, 2011

Dia Sudah Berubah


***

“Toot, toot,” telefon Nokia aku berbunyi, isyarat ada mesej yang sedang menunggu di ruang Inbox. Segera aku capai telefon aku. Mungkin kawan-kawan aku yang menghantar mesej buat ucapan selamat berangkat ke UIA (Matrikulasi). Inbox dibuka. Mesej dia aku terima, tapi bunyi mesejnya bukan seperti biasa.

“ Sebenarnya ana sukar mahu menerima kekalahan ana. Ana sukar menerimanya, walau dari luar anta lihat ana seorang yang kuat.”


Aku biarkan sahaja mesej itu. Wajah dia kembali menerjah mindaku. Humairah, gadis pertama memikat hati aku, gadis pertama yang membuatkan aku menjilat ludah aku kembali. Masakan tidak, jika dulu aku menghentam mereka yang berpasang-pasangan tapi akhirnya aku terpaksa menelan kata-kata ku kembali. Dialah Humairah, gadis kesayangan ibuku.

Humairah baru sahaja melalui pilihanraya di pusat matrikulasinya di Pulau Pinang bagi meilih perwakilan pelajar. Dia memberitahuku hasratnya menyertai pilihanraya. Aku katakan itu haknya, cuma perlu tahu mana yang utama. Mesej kali ini membuktikan kesungguhannya tapi tuah bukan di pihaknya. Dia tewas. Kenapa dia tewas? Tiada siapa tahu.

Apa yang perlu aku balas? Nasihat? Tazkirah? Apa lagi yang boleh aku beri, dia bagi aku lebih mengetahui apa yang baik. Aku bukan orang yang patut menasihatinya. Tapi masakan bisa aku membiarkan mesejnya begitu sahaja tanpa balasan. Tanganku ligat menaip di telefon bimbit ku.

“ Anti sudah berusaha, jangan bersedih. Kita perlu terima kekalahan.” Itu sahaja mampu aku ungkapkan. Aku bukan pakar motivasi, bukan juga pandai mengukir kata.

***
Ah Masri! Apa yang kau buat ni. Bukak buku akaun kau, apa yang kau lekakan lagi. Buku Matematik yang tebal itu sedang menunggu kau. Apa kau tidak takut dengan pointer kau?

Sudah lama aku tidak menulis. Sejak berada di UIA semangat aku menulis semakin hilang. Blog sudah jarang di update. Cerpen sudah terhenti begitu sahaja. Cerita bersiri tergantung tanpa kesimpulan. Semuanya tidak selesai. Tapi malam ini, aku tergerak untuk menulis semula. Kenapa? Aku pun tak tahu.

***

Seminggu di UIA. Berbagai kawan, berbagai ragam. Di sekolah dulu aku nampak hebat. Akulah ‘Sheikh Kabir’. Di sini aku kerdil. Aku bukan lawan bagi mereka yang datang dari sekolah-sekolah agama, apatah lagi dari Darul Quran. Hafazan aku hanya beberapa surah sahaja, tapi mereka hampir satu al-Quran.

Dua bulan dia UIA, semua seperti biasa. Tapi dia mula berubah. Tiada lagi mesej yang dating dari Humairah. SMS aku yang dihantar semakin kurang dibalas. Dia sibuk agaknya. Ya, mungkin dia terlalu sibuk. Bukan seperti aku, terlalu banyak masa senggang. Dia pelajar perubatan, Tapi satu berita dari kawan aku mengubah persepsi aku. Dia bukan sibuk kerana pelajarannya. Tapi dia sudah berubah. Berubah menjadi manusia yang lain. Bukan lagi Humairah yang aku kenali.

Berita dari Amar mengejutkan aku. Amar kata:

“ Dia bukan seperti dulu. Semua yang kita buat tidak betul. Dia suruh aku putuskan hubungan dengan Intan. Dia bercakap seolah-olah aku dan Intan sudah membuat dosa yang terlalu besar”.

Aku hanya terdiam. Berita dari Amar menyingkap persoalan aku. Tidak hairanlah SMS aku tidak berbalas. Tapi kenapa berubah begitu sekali. Mungkinkah dia hanya melarikan diri dari kaum lelaki sahaja. Mungkinkah bagi dia antara haram persahabatan antara dua manusia berbeza jantina. Soalan-soalan ini perlu aku tanya padanya. Tapi bagaimana? Akhirnya hal itu aku biarkan sahaja. Bagi aku, itu hidupnya, tiada kaitan dengan aku. Biarlah dia, asalkan dia tidak membuat sesuatu yang salah.

***

Tidurlah Masri! Dah pukul berapa ni. Sejak bila kau pandai tidur lewat macam ni. Esok kau ada kelas pukul 8. Apa kau mahu tertidur di dalam kelas. Kalau mak kau tahu, mesti mak kau marah.

***

Jerebu melanda ibu kota. Batukku semakin teruk. Selesema di hidung semakin pedih. Bandar Petaling Jaya tenggelam dengan jerebu. Kelas banyak dibatalkan. Dada aku semakin sakit. Aku tidak tahan lagi. Suhu badan aku meningkat. Doktor memberiku rehat, tapi rehat tidak memberi apa-apa makna. Di dalam bilik pun aku terpaksa memakai topeng. Tempat paling selamat dari jerebu ialah Cyber Café dan perpustakaan.

Seminggu jerebu melanda, tiada tanda ia semakin reda. Ubat yang doktor beri tidak mampu meredakan batuk dan demamku. Aku perlukan cuti. Aku mahu balik kampong. Dan petang itu, semua pelajar bergembira. Semua dibenarkan pulang. Cuti darurat. Barang segera dikemas. Tak perlu mandi, segera aku berlari mendapatkan bas. Aku mahu pulang ke kampung segera. Aku mahu keluar dari jerebu ini.
Sehari di rumah, badan aku segar kembali. Tapi petang itu satu kejutan muncul. Seseorang menelefon rumah aku. Ingin bercakap dengan ibu aku. Aku seolah-olah kenal suara itu tapi aku biarkan sahaja. Aku terus sambung berehat. Aku dengar ibu aku berbual-bual di telefon. Seronok bunyinya. Seolah-olah sudah lama tidak berjumpa. Selesai berbual, ibu aku pergi ke dapur dengan tersenyum simpul. Gembira dia selepas mendapat panggilan tersebut. Aku membiarkan sahaja ibu aku. Aku pergi ke komputer aku. Sudah lama tidak bermain dengannya. Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam. Pap! Aku terkejut. Dia muncul di hadapan pintu rumahku. Ibu aku segera mendapatkan. Menjemput dia masuk ke rumah.

Benar! Dia memang sudah berubah. Tiada lagi senyuman di bibirnya. Aku seolah-olah tidak wujud di hadapannya. Tiada sepatah kata keluar dari mulutnya. Tiada sepatah khabar di tanya walau dia tahu aku baru sahaja kebah dari demam ku. Sunyi. Seolah-olah dua manusia yang saling tidak mengenali. Juga tiada kata ku luahkan. Peringatan dari Amar mengingatkan aku. “Dia sudah berubah!” Aku ke dapur membuat minuman. Aku biarkan sahaja ibu berbual dengan Humairah. Tiba masa menghidang makanan, aku cuma duduk sahaja di sebelah ibuku. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku lari masuk ke bilik. Tapi apa pula kata ibu. Aku membisu seribu bahasa. Cuma beberapa patah kata keluar dari mulutku, dan pertanyaan aku hanya di jawab dengan hambar.

“ Bagaimana dengan pelajaran anti? Peperiksaan bila?”

“ Belajar ok. Peperiksaan dah lepas”

Itu lah sahaja beberapa patah perkataan yang aku dengar dari mulutnya. Benarlah kata Amar dia bukan Humairah yang dahulu.

Humairah meminta izin untuk pulang. Aku dan ibu mengiringinya hingga ke keretanya. Tiada ucapan selamat tinggal keluar dari mulutnya. Tidak sedikitpun dia menoleh pada aku. Aku juga begitu. Tidak sampai hati aku mahu mengajak dia berbual setelah aku tahu hakikat dirinya.

***

Ah Masri! Lupakan dia. Ini bukan masa kau melayan jiwa kau. Dia sudah tinggalkan kau. Dia bukan lagi kawan kau, jauh pula untuk menjadi pengisi hati kau. Apa kau lupa apa yang dia buat pada engkau. Apa kau bodoh? SMS yang kau buat di balas dengan kata-kata seolah kau membuat satu dosa. Apa lagi yang engkau tunggu. Buang sahaja nama dia dari memori engkau. Campakkan segala kenangan engkau dan dia.

***

Peperiksaan akhir semester sedang berjalan. Aku dan Aiman kerap juga berhubung. SMS jadi penghubung kami. Tapi dia juga mengajukan aku soalan yang sama. Kenapa Humairah jadi begitu? Satu soalan yang aku tiada jawapannya.

Aiman bertanya pula pada kawan-kawan perempuan yang lain. Jawapan yang diberi semua sama. Sukar mahu menghubungi Humairah. Panggilan tidak berjawab, SMS tidak berbalas. Giliran mereka pula bertanya pada aku, tapi aku masih kuat untuk menyimpan rahsia itu. Aku katakan sahaja dia sibuk dengan pelajarannya. Itulah jawapan yang paling selamat ketika itu. Tapi aku lemas juga. Terlalu ramai yang bertanya, dari kawan sampailah cikgu-cikgu aku. Mahu sahaja aku menjerit: “ Kenapa perlu tanya aku? Tanyalah dia sendiri”.

Ramadan menjelma. Peperiksaan di hadapi dalam keadaan berpuasa. Satu cabaran dan mungkin juga satu kebaikan. Peperiksaan hanya akan tamat beberapa hari sebelum hari raya. SMS ucapan Ramadhan aku hantar kepada seramai yang mungkin walau pasti ramai juga yang terlepas dari senarai penerimanya. Kepada Humairah juga tak aku lupa tapi tak pula mengharapkan dia membalasnya. Buat apa berharap sesuatu yang mustahil.

Syawal menjelma. Aku sudahpun berada di rumah. Cuti raya dan cuti semester sekali. Tiba-tiba petang itu aku tergerak untuk menghubungi dia. SMS dihantar. Aku cuba pula menghubungi dia. Beberapa panggilan di buat sejak pagi raya tapi gagal. Tiada line agaknya dia kawasan dia. Aku mencuba lagi, kali ini panggilan berjaya, tapi dia tidak mengangkatnya. Tiba-tiba telefon ku berbunyi. Ada SMS sedang menunggu.

Nama Humairah tertera. Sedikit gembira tapi sebentar sahaja. SMS dia mengejutkan aku.

“ Jangan jadikan diriku fitnah buatmu. Tumpukan pada ibadahmu. Sesungguhnya tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk mereka beribadah”.

Aku terpinga-pinga. Apa salah aku. Aku membelek-belek SMS-SMS yang aku hantar padanya. Tiada sedikit pun kata-kata yang bagi aku melampau. Tidak pula aku menulis kata-kata yang menggoda. Semuanya sama seperti SMS aku buat kawan-kawan yang lain. Benarlah dia sudah berubah.

Beberapa hari selepas itu. Tiba-tiba ibu membuka cerita tentang Humairah. Dia bertanya:

“ Humairah tak datang ke raya tahun ini?”

“ Entah, mak telefonlah dia”. Itu sahaja jawapanku.

Mak aku tidak bertanya lagi. Aku sangkakan dia buat tidak endah dengan kata-kataku. Tapi dia benar-benar berharap mahu berjumpa dengan Humairah. Dia menghubungi Humairah. Malam esoknya dia bertanya lagi padaku:

“ Anak mak dah tak tegur lagi ke dengan Humairah?”

Aku hanya diam. Tiada jawapan yang boleh ku beri. Ibu aku pasti kecewa. Dia terlalu sayang pada Humairah. Tapi apa boleh ku buat, dia sudah berubah. Masakan aku bisa melihat ibu aku ternanti-nanti kedatangannya. Demi ibu, aku tiada lagi perasaan malu. Aku capai telefon bimbitku. Jariku segera menaip. Semuanya kerana ibu:

“ Assalamualaikum. Ana harap anti dapat datang rumah ana. Ana tahu anti tak mahu jumpa dengan ana, tapi datanglah jenguk mak ana. Dia berharap sangat”.

Ku sangka SMS aku akan terbiar begitu sahaja. Respond postif dia berikan. SMS kali ini berbalas.

“ Insya-Allah, kalau ada rezeki sampailah ana ke rumah anta”.

Tapi ia tidak berlaku. Ada sahaja aralnya. Bila Humairah ingin datang ke rumahku, ibu tiada di rumah. Dan bila ibu berada di rumah, Humairah pula menyatakan yang dia ada tetamu di rumah. Harapan ibuku berlalu begitu sahaja.

***

Sudahlah Masri. Kalau kau mahu bawa sahaja mana-mana kawan perempuan kau yang lain jumpa ibu kau. Bukan dia sahaja bunga di taman dunia ini. Apa lagi yang kau harap dari dia. Kau mahu memberatkan hati kau semata-mata ibu kau terlalu sayang pada dia. Jangan jadi bodoh Masri. Gadis UIA ramai buat kau. Kenapa dia juga yang kau tunggu?

***

Semester kedua bermula. Sebulan selepas itu raya Aidil Adha pula menjelma. Seperti kebiasaan aku. SMS ucapan selamat, hadith-hadith yang berkaitan, atau ayat-ayat al-Quran yang berkaitan ku sebarkan melalui SMS. Hampir semua kawan-kawan aku menerimanya, tidak terlepas juga cikgu-cikgu aku. Seringkali SMS aku akan dibalas jua dengan tazkirah-tazkirah pendek, hadith-hadth, ayat-ayat al-Quran dan ramai pula yang gemar berfalsafah. Tapi belum pernah pun sesiapa yang membalas dan menyuruh aku berhenti menghantar SMS sebegitu.

Tapi kali ini, dia membuat satu hal yang berbeza. Satu perkara yang mengejutkan aku. Aku tidak mengharap dia untuk membalas SMS aku, tapi aku juga tidak pernah menyangka yang dia akan berkata demikian:

“ Aidilfitri sudah belalu, aidiladha sedia menanti, kalau anta tahu malu, silalah berhenti”.

Aku terkedu. Aku membalas dengan nada provokasi. Entah kenapa kali ini aku seolah-olah lupa dialah gadis kesayangan mak aku. Dialah yang mak aku rindukan selama ini.

“ Why?”

Dia menjawab:

“ I just ask you to stop”.

Aku berkeras kali ini. Provokasi aku teruskan.

“ Why? It’s a sin to send Quran Verses via SMS?”

Dia tidak mahu mengalah. Dia terus menjawab:

“ I didn’t say it’s a sin. I just ask you to stop”.

Aku menjawab:

“ Why? You are afraid to read Quranic Verses?”

Dia menjawab. Jawapan dia kali ini muktamad. Aku tahu itu SMS terakhir dari dia. Tapi aku tidak berhenti di situ. Biar kali ini aku lepaskan apa yang terpendam. Biar dia tahu apa yang aku rasa selama ini.

“ If I send porno picture, people will ask me to stop because it’s a sin. But I send Quranic Verses. Why? Are you afraid reading Quranic Verses? Hehehe”.

Itulah SMS terakhir aku dan dia. Aku merasakan mungkin itulah SMS terakhir kami. Kata-kata aku mungkin terlalu keras tapi apa boleh ku buat. Semua sudah terjadi. Dia tetap dia. Dia bukan Humairah yang dahulu.

***

Sudahlah Masri. Sudah terlalu panjang tulisan engkau. Sepanjang mana pun engkau tulis, dia tetap dia. Dia belum tentu membaca tulisan engkau ini. Hatta jika dia baca pun, tulisan engkau ini tidak berharga sedikitpun baginya.

AlJumaa, Thoul Hijjah 20, 1426
1/20/2006 2:49:21 AM

________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

No comments:

Post a Comment