Tuesday, November 8, 2011

Taat Dalam Mencari Kebenaran


Ibrahim taat ketika Allah menyuruh sembelih Ismail, Ismail taat tatkala diberitahu dia perlu disembelih, Hajar taat ketika mendapat tahu Ibrahim as meninggalkannya di gurun tandus atas arahan Allah. Sirah Nabi Ibrahim, sirah penyembelihan korban mengajar kita satu perkataan: Taat, Taat, Taat, Taat.

Aidiladha mengajar kita erti taat, taat dan taat. Sejauh mana kita menghayati isu ketaatan dalam raya korban ini, ia sesuatu yang perlu ditanya kepada diri kita sendiri.

--------------------
Makin Belajar Makin Liberal?


Kepeningan mula menular apabila aku membuka bacaan ku, dan pemikiran ku kepada segala bentuk bacaan berasaskan al-Quran dan al-Hadis. Kefahaman aku tercabar apabila dibawakan hadis-hadis yang menceritakan tentang pergaulan nabi saw dengan wanita bukan mahram, para sahabat bergaul dengan wanita bukan mahram.

Hingga, aku akhirnya terfikir, apakah ada kebenaran yang disembunyikan daripada kita selama ini? Atau kita sudah menanamkan dalam fikiran kita inilah yang sepatutnya, lalu datanglah 1001 dalil sekalipun, apabila ia bertentangan dengan 'ini yang sepatutnya', maka kita akan palingkan maksud dalil-dalil tersebut.

Aku meyakini kebenaran mutlak milik Allah, lalu kenapa aku perlu menyempitkan sumber rujukan tentang al-Quran dan as-Sunnah kepada aliran-aliran tertentu sahaja, kepada pendapat-pendapat tertentu sahaja.

Ia seolah-olah kita telah menggariskan bagaimana sepatutnya Islam itu, bukan Islam yang menggariskan bagaimana yang sepatutnya berlaku. Seolah-olah kita yang membentuk Islam, bukan Islam yang membentuk kita.

Aku sehingga sekarang meyakini bahawa semua bid'ah dalam ibadah adalah SESAT. Akan tetapi, adakalanya sesuatu yang para ustaz aku nyatakan sebagai bid'ah, bila aku mula membaca penghujahan kedua belah pihak, aku mula merasakan pernyataan ia bid'ah sebagai kurang tepat. Akan tetapi prinsip ku tetap sama, semua bid'ah dalam ibadah adalah sesat. 

Kadang-kadang aku takut, aku tersilap melangkah, terkeliru dengan penghujahan yang pelbagai. Tetapi aku mempunyai prinsip aku yang sendiri. Selagi mana aku mencari ilmu bukan untuk memuaskan nafsu aku, selagi mana yang aku cari ialah kebenaran, tetapi dalam proses itu aku tersalah faham, lalu aku terpilih pendapat yang sebenarnya silap mahupun sesat, aku meyakini bahawa Allah bukan Maha Zalim yang akan menghukum hambaNya yang mencari kebenaran, berusaha tetapi tersilap.

Kadang-kala aku berfikir: Manakah yang lebih baik, tersilap kerana berusaha, atau di jalan yang benar tetapi tidak pernah berusaha, hanya takdir Allah menjadikan kebetulan dia berada atas jalan yang benar sedangkan si dia tidak berusaha mencari hakikat kebenaran itu.

Maafkan aku, jika ada yang keliru dengan aku. Kerana semua ini, aku menolak sikap memboikot para ilmuan Islam. Aku terfikir, kebenaran apakah yang ada di tangan aku, jika aku menuruti 'SUNNAH' golongan Musyrikin yang menutup telinga ketika dakwah di sampaikan. Bagaimana kita yakin itu kebenaran, jika pada langkah pertama, kita sudah memboikot daripada mendengar penjelasan orang lain yang berasaskan wahyu jua. Kita tidak mahu mendengar kerana pada kita dia sesat, lalu persetankan semua kata-kata mereka.

Akhirnya, terserlah jua kehebatan doa yang Nabi SAW ajarkan ini:


يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ 
Wahai Tuhan Yang Membolak balikkan hati. Tetapkan hati kami di atas agamaMu
[Musnad Ahmad:  17291, Shaikh al-Albani menyatakan ia Sahih. Lihat Sahih al-Jami': 7988]


رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ (آل عمران: 8
Wahai Tuhan kami, janganlah Kau pesongkan hati kami selepas Engkau telah memberi petunjuk kepada kami. Kurniakanlah kepada kami rahmatMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Rahmat 
[Ali 'Imran:8]

4 comments:

  1. Malik bin Anas mengatakan:

    “Ilmu agama tidak boleh diambil dari empat jenis manusia. Pertama, orang bodoh yang jelas kebodohannya. Kedua, pengikut hawa nafsu (baca:ahli bid’ah) yang mendakwahkan kebid’ahannya. Ketiga, seorang yang diketahui suka berdusta dalam pembicaraan keseharian dengan sesama manusia meski belum pernah terbukti membuat hadits palsu. Keempat, orang yang shalih dan bagus agamanya namun dia tidak mengetahui apa yang dia sampaikan” (Jami’ Bayan al Ilmi karya Ibnu Abdil Barr, 3/35, Maktabah Syamilah).

    Para ilmuan Islam sudah pasti tidak terdapat ciri2 ini.. kan? jadi tak salah rasanya nak boikot 4 jenis manusia yg Imam Malik rahimahullah senaraikan ni..

    Wallahu'alam

    ReplyDelete
  2. seseorang membawakan riwayat perkataan generasi awal Islam, mengkomentar tulisan saya. Riwayat itu menceritakan suruhan boikot majlis-majlis ilmu 'golongan songsang'.

    Riwayat itu benar satu sudut, rasional di satu sudut, dalam masa yang sama tidak benar di satu sudut, dan tidak rasional di satu sudut.

    Ketika saya masih mencari-cari hakikat Islam, tidak mengetahui kebenaran itu apa, lalu tiba-tiba datang seorang insan itu berkata kepada saya, 'jangan hadiri majlis ilmu si fulan, dia begitu dan begini.......', apakah kalian akan fikir saya akan menuruti nasihat ikhlas kalian untuk memboikot majlis ilmu itu?

    Bagaimana pula jika dalam pencarian kebenaran, dalam kejahilan, maka yang datang kepada saya ialah seorang Ahbasy, lalu dia mengguna pakai nasihat salaf di atas ' jangan hadir ke majlis sekian-sekian, ustaz ini wahabi..... bla bla bla'. Dan jika saya menuruti nasihat si Ahbasy kerana melihat keikhlasan nasihatnya, apakah yang akan terjadi kepada saya?

    ReplyDelete
  3. Kalian boleh bawakan 1001 perkataan ilmuan Islam, tetapi fikirlah rasional kata-kata tersebut. Umpama kalian berdakwah kepada seorang Kristian, lalu kalian menasihati si Kristian tadi "Jangan pergi gereja, nanti paderi itu akan menyesatkan kamu....''

    ReplyDelete
  4. Jika di awal aku mengenali sunnah dahulu, dakwah yang sampai kepada aku ialah 'orang itu ahlul bid'ah, ahlul ahwa; jangan duduk dengan ahlul bid'ah, ahlul ahwa'.....mereka tu sesat, ulama' tu suka guna akal lawan al-Quran dan al-Hadis..'

    Nescaya aku sangat yakin aku akan benci 'sunnah' sampai bila-bila.

    ReplyDelete