Pengorbanan Junjungan Besar
Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
Sayugia kita menghayati kisah
kehidupan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam untuk menyuburkan cinta kepada
Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam.
Baginda sallallahu ‘alaihi
wassalam melalui fasa kehidupan yang berbeza antara sebelum dilantik menjadi
nabi dan selepas mengajak kaumnya kepada Islam. Jika sebelum dilantik menjadi
utusan Allah, kaumnya memujinya, menyanjungnya, mempercayainya, menyayanginya,
semuanya berubah 180 darjah ketika mana nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
memulakan dakwah kepada kaumnya.
Selepas turunnya wahyu yang
pertama, Khadijah binti Khuwailid radiallahu ‘anha membawa suaminya yang
tercinta, Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam untuk bertemu bapa saudaranya,
Waraqah bin Naufal.
Waraqah menyebutkan satu
pernyataan yang jelas kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam:
“Alangkah baiknya kalau aku masih
muda, alangkah baiknya aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu..”
Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
terkejut. Masakan tidak, kaumnya selama ini menyanjungi baginda sallallahu ‘alaihi
wassalam, tiba-tiba hari ini Waraqah menyatakan bahawa nabi sallallahu ‘alaihi
wassalam akan diusir oleh kaumnya sendiri.
Waraqah mengulas lagi: Tidak
seorang pun lelaki yang membawa seperti yang engkau bawa melainkan dia akan
dimusuhi. Kalaulah aku masih ada pada hari engkau mengalaminya, pasti aku akan
menolong engkau dengan bersungguh-sungguh. Itulah isyarat Waraqah kepada nabi sallallahu
‘alaihi wassalam untuk bersedia dengan situasi yang buruk akan menimpa baginda sallallahu
‘alaihi wassalam.
Wahyu kedua turun, mengarahkan
nabi sallallahu ‘alaihi wassalam bangkita melakukan dakwah. Surah al-Muddatsir:
1-7
* [1] Wahai orang yang berselimut!
* [2] Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada
umat manusia).
* [3] Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
* [4] Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
* [5] Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
*
[6] Dan janganlah engkau
memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
*
[7] Dan bagi
(menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap
tentangan musuh)!
Allah s.w.t mengeluarkan arahan
supaya nabi sallallahu ‘alaihi wassalam menyeru kaumnya secara terbuka. Allah mengakhiri
arahan tersebut dengan amaran dan peringatan kepada nabi sallallahu ‘alaihi
wassalam supaya tidak mengharapkan balasan dan kenikmatan mahupun kesenangan
untuk dakwah yang dilakukan. Allah mengarahkan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
untuk bersabar, sabar dan sabar. Ujian yang getir sedang menunggu nabi sallallahu
‘alaihi wassalam.
Dakwah Secara Terbuka Kepada
Kaum Kerabat
Siri dakwah secara tertutup
berjalan tanpa gangguan daripada musyrikin Mekah. Tahun ke empat kenabian,
Allah s.w.t menurunkan arahan agar dakwah dilakukan secara terbuka:
Dan berilah peringatan serta
amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. [Asy-Syuara: 214]
Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
mengumpulkan keluarganya daripada Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib. Baginda sallallahu
‘alaihi wassalam memulakan dakwahnya:
“Segala puji bagi Allah, aku
memuji Nya, dan meminta pertolongan Nya, aku beriman dengan Nya dan aku berserah
kepada Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan tiada sekutu bagi
Nya.
Sesungguhnya orang yang merintis
jalan ini tidak pernah dituduh berbohong oleh keluarganya. Demi Allah yang
tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu
khususnya dan kepada semua manusia umumnya.
Demi Allah, kamu pasti akan mati
sebagaimana kamu pastinya akan tidur, kamu pasti akan dibangkitkan sebagaimana
kamu jaga daripada tidur, dan kamu pastinya akan dihisab terhadap apa yang kamu
kerjakan. Balasannya hanyalah syurga selama-lamanya atau neraka selama-lamanya…”
Abu Talib mendengar seruan anak
buahnya sallallahu ‘alaihi wassalam, terus beliau menjawab:
“Sungguh kami suka untuk
membantumu dan menerima nasihatmu serta sangat mempercayai berita yang engkau
sampaikan. Mereka ini ialah adik beradikmu yang sedang berkumpul, sementara aku
hanyalah salah seorang daripada mereka. Akan tetapi, akulah yang paling segera
menyahut apa yang engkau suka. Maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu.
Demi Allah, aku akan sentiasa menjaga dan mempertahankan diri mu. Akan tetapi
diriku sendiri masih belum terasa untuk meninggalkan agama Abdul Muttalib.”
Tetapi Abu Lahab, bapa saudara
nabi sallallahu ‘alaihi wassalam memberikan reaksi negatif yang sangat keras.
“Demi Allah! Ini adalah
keburukan. Halanglah dia sebelum dia mempengaruhi orang lain daripada kamu”.
Mendengar kata-kata Abu Lahab,
Abu Talib menjawab:
“Demi Allah! Aku akan mempertahankannya
selagi hayat masih ada”.
Seruan Bukit Safa
Di atas Bukit Safa nabi sallallahu
‘alaihi wassalam menyeru umatnya, baginda sallallahu ‘alaihi wassalam berkata:
“Sesungguhnya aku ini adalah
seorang pemberi peringatan tentang azab yang dahsyat di hadapan kamu….”
Baginda sallallahu ‘alaihi
wassalam berkata lagi:
“Hai semua kaum Quraisy, selamatkan
dirimu daripada api neraka! Hai sekalian Bani Ka’ab, selamatkan dirimu daripada
api neraka! Hai Fatimah Bte Muhammad! Selamatkan dirimu daripada api neraka! Demi
Allah, aku tidak memiliki sebarang kuasa untuk membelamu daripada hukuman
Allah, melainkan kamu mempunyai tali persaudaraan (Islam) yang akan aku kuatkan
hubungan itu”.
Mendengar perkataan nabi sallallahu
‘alaihi wassalam, geram dan meledaklah hati Abu Lahab. Lalu diambilnya batu,
dan dilemparkannya kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam. Lalu dengan api
amarah yang menjulang, Abu Lahab berkata:
“Celaka engkau pada hari ini! Adakah
kerana ini engkau mengumpulkan kami?”. Maka Allah s.w.t menurunkan surah
al-Masad, melaknat Abu Lahab dan isterinya. “Celakalah kedua tangan Abu Lahab,
binasalah ia!”.
Penentangan Bermula….
Kaum Musyrikin berkumpul,
memikirkan bagaimana mahu menghasut orang ramai agar tidak mendengar dakwah
nabi sallallahu ‘alaihi wassalam. Ada
yang mencadangkan agar nabi sallallahu ‘alaihi wassalam difitnah sebagai
seorang bomoh, ada yang mencadangkan difitnah sebagai seorang gila, ada yang
mencadangkan agar difitnah sebagai penyair, ada yang mencadangkan agar difitnah
sebagai seorang ahli sihir. Akhirnya mereka memilih untuk memfitnah nabi sallallahu
‘alaihi wassalam sebagai seorang ahli sihir.
Fitnah dimulakan, mereka duduk
dipinggir-pinggir jalan. Mereka memberi amaran kepada orang ramai agar
berhati-hati dengan Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam kerana beliau seorang
ahli sihir.
Abu Lahab lah yang menjadi
kepalanya, dia mengekori ke mana nabi sallallahu ‘alaihi wassalam pergi, lalu
melemparkan fitnah kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam ketika nabi sallallahu
‘alaihi wassalam sedang menyampaikan Islam kepada manusia.
Mereka melancarkan perang saraf. Mereka
mengejek dan memfitnah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam. Mereka menimbulkan
syubhat dan keraguan ke atas apa yang dibawa nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.
Setelah semuanya tidak berhasil,
mereka menawarkan pula tawaran ‘toleransi beragama’ kepada Rasulullah sallallahu
‘alaihi wassalam. Mereka berkata: “Kalau kamu sanggup menerima tuhan-tuhan
kami, maka kami akan menyembah Tuhan kamu”.
Kata mereka lagi: “Wahai
Muhammad, marilah, biar kami sembah apa yang engkau sembah, dan engkau sembah
apa yang kami sembah. Kami dan kamu sama-sama berkongsi dalam urusan ini. Kalau
apa yang kamu sembah itu lebih baik daripada apa yang kami sembah, itu bererti
kami telah mengambil habuan kami daripadanya, dan kalau apa yang kami sembah
lebih baik daripada apa yang kamu sembah, bererti kamu telah mendapat habuan
kamu daripadanya”.
Allah s.w.t pun menurunkan surah
al-Kafirun. Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam menolak tawaran diplomasi itu,
tiada ruang tolak ansur antara tauhid dan syirik, iman dan kufur.
Penyeksaan Mental dan Fizikal
Ke Atas Nabi
Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
juga adalah besan kepada Abu Lahab. Anak perempuan nabi sallallahu ‘alaihi
wassalam iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum berkahwin dengan anak lelaki Abu
Lahab. Selepas dakwah bermula, Abu Lahab memaksa anak lelaki menceraikan
puteri-puteri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam.
Isteri Abu Lahab, Ummu Jamil,
jahatnya seperti suaminya. Sungguh mereka pasangan yang secocok. Dia membawa
duri dan meletakkannya di laluan yang sering dilalui Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wassalam. Dia meletakkan duri di hadapan
pintu rumah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam di waktu malam.
Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
dihina oleh jirannya-jirannya. Tiada seorang pun jirannya menerima dakwah
kecuali Hakam bin Abi al-‘As. Jiran-jiran yang lain sangat memusuhi nabi sallallahu
‘alaihi wassalam kerana dakwah yang dibawa. Mereka pernah mencampakkan perut
kambing ke atas baginda sallallahu ‘alaihi wassalam semasa baginda sallallahu ‘alaihi
wassalam sedang mendirikan solat, bahkan mereka pernah mencampakkan perut
kambing dengan periuk-periuk sekali ketika nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
sedang mendirikan solat hinggakan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terpaksa
membuat hadangan ketika solat untuk mengelakkan gangguan mereka. Sehingga nabi sallallahu
‘alaihi wassalam terpaksa bersuara:
“Hai Bani Abd Manaf, jiran jenis
apakah kamu ini?”
Uqbah bin Abi Mu’ayyat pula
sangat keji tindakannya. Golongan musyriki Mekah saling mencabar antara satu
sama lain:
“Siapakah yang berani membawa uri
unta keluarga si polan dan meletakkannya di belakang Muhammad ketika dia sedang
sujud?”. Lalu bangkitlah Uqbah menyahut cabaran itu. Diletaknya uri unta di
belakang nabi sallallahu ‘alaihi wassalam ketika baginda sallallahu ‘alaihi
wassalam sedang sujud.
Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu
yang ada ketika itu hanya mampu memerhatikan, dan tidak mampu melakukan apa-apa
untuk membantu nabi sallallahu ‘alaihi wassalam. Kata beliau radiallahu ‘anhu:
“Aku memerhatikan apa yang
dilakukan, tetapi aku tidak dapat berbuat apa-apa, alangkah baiknya kalau aku
ada kekuatan untuk menghalang”.
Ketika si musyrikin ketawa
gembira melihat nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dihina, datanglah Fatimah
radiallahu ‘anha membersihkan belakang ayahnya yang tercinta.
Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
hanya membalas perbuatan mereka dengan doa kepada Allah:
“Ya Allah, ke atas Mu untuk
menghukum orang Quraisy ini”.
Uqbah juga pernah memijak leher
nabi sallallahu ‘alaihi wassalam ketika nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sedang
sujud sehingga hamper tersembur kedua biji matanya.
Abu Jahal pernah berkata kepada
konco-konco musyriknya:
“Adakah Muhammad menyembamkan
mukanya ke tanah (sujud) di hadapan kamu… Demi al-Lata dan al-Uzza, kalau aku
lihatnya, aku akan pijak tengkoknya dan aku sodokkan mukanya ke tanah…”
Utaybah bin Abu Lahab pernah
menarik baju nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dan meludah wajah nabi sallallahu
‘alaihi wassalam.
Abu Jahal pernah cuba membunuh
nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dengan menggunakan batu yang besar. Tindakan nekad
beliau tanpa mempedulikan perang kabilah yang mungkin berlaku, tetapi Allah
s.w.t menyelamatkan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.
Uqbah pernah meletakkan kainnya
pada leher nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sambil mencekiknya dengan sekuat
hati, kemudian Abu Bakar radiallahu ‘anhu datang menyelamatkan nabi sallallahu ‘alaihi
wassalam sambil berkata:
“Apakah kamu ingin membunuh
seorang lelaki yang mengatakan Tuhanku hanya Allah?”
Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
pernah pergi ke Thaif, untuk menyeru masyarakat Bani Thaqif menyembah Allah. Tetapi
dakwah baginda sallallahu ‘alaihi wassalam ditolak, bahkan dibalas dengan
lemparan batu di sepanjang jalan yang dilakukan oleh kanak-kanak, hamba dan
kaum wanita. Baginda sallallahu ‘alaihi wassalam tercedera, Zaid bin Harithah
radiallahu ‘anhu cedera ketika melindungi baginda sallallahu ‘alaihi wassalam.
Baginda sallallahu ‘alaihi
wassalam berdoa:
" اللهم
إني أشكو إليك ضعف قوتي ، وهواني على الناس ، أرحم الراحمين أنت ، أرحم الراحمين إلى
من تكلني إلى عدو يتجهمني ؟ أم إلى قريب ملكته أمري ؟ إن لم تكن غضبان علي فلا أبالي
، غير أن عافيتك أوسع لي ، أعوذ بوجهك الذي أشرقت له الظلمات ، وصلح عليه أمر الدنيا
والآخرة ، أن ينزل بي غضبك أو يحل بي سخطك ، لك العتبى حتى ترضى ، ولا حول ولا قوة
إلا بالله
Ya Allah, sesungguhnya aku
mengadu kepadaMu, betapa lemahnya kekuatanku, betapa hinanya aku di mata
manusia. Engkau Maha Pengasih dan Penyayang. Yang Maha Pengasih dan
Penyayang,kepada siapapun Engkau serahkan diriku ini, sama ada kepada musuh
yang akan mengancam diriku, atau kepada sahabat yang akan menjaga urusanku?
Selagi mana Engkau tidak Marah kepada ku. Aku tak kisah. Akan tetapi,
kesejahteraan yang Engkau kurniakan melegakan aku.
Aku berlindung dengan WajahMu,
yang menyinari kegelapan, yang memperbaiki urusan dunia dan akhirat, daripada
turunnya murkaMu ke atas diriku, atau kebencianMu menimpaku. Hanya milikMu
keredhaan sehingga Engkau meredhai. Tiada usaha dan kekuatan kecuali denganMu.
Malaikat Mahu Membalas Dendam
Jibril berkata kepada nabi sallallahu
‘alaihi wassalam:
“Sesungguhnya Allah telah
mendengar kata-kata kaummu kepada mu serta tindakan mereka kepadamu. Allah
mengutuskan kepadamu malaikat bukit supaya engkau arahkan dia apa yang engkau
mahu lakukan terhadap mereka”.
Malaikat bukit berkata kepada
nabi sallallahu ‘alaihi wassalam:
“Hai Muhammad, apa yang kamu
mahu? Kalau kamu mahu aku hempaskan ke atas mereka bukit al-Akhsyabayn (dua
buah bukit di Mekah), nescaya akan aku lakukan!”
Jawab nabi sallallahu ‘alaihi
wassalam: “Malah aku mengharapkan agar Allah s.w.t mengeluarkan daripada sulbi
mereka keturunan orang-orang yang akan menyembah Allah semata-mata dan tidak
mensyirikkannya”.
----------------------
Mulia sungguh akhlakmu ya
Rasulullah. Engkau membalas tuba yang mereka sirami, dengan susu yang manis
lagi menyegarkan. Engkau membalas cercaan mereka dengan doa yang melembutkan.
Maafkan kami Rasulullah sallallahu
‘alaihi wassalam, kami sering melupakan pengorbananmu, cinta kami kadang-kala
mekar, dan kadang-kala kuncup entah ke mana. Maafkan kami wahai Allah.
[sumber rujukan: ar-Raheeq
al-Makhtum oleh Shaikh Safiurrahman al-Mubarakfuri, edisi terjemahan bertajuk:
Sirah Nabawiah, terbitan YADIM]
bolehkan saya copy dan share ?
ReplyDelete