عَنْ فَضَالَةَ بْنِ عُبَيْدٍ ، قَالَ
: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ
: " أَلا أُخْبِرُكُمْ بِالْمُؤْمِنِ ؟ مَنْ أَمِنَهُ النَّاسُ عَلَى أَمْوَالِهِمْ
وَأَنْفُسِهِمْ ، وَالْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ النَّاسُ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ ، وَالْمُجَاهِدُ
مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ فِي طَاعَةِ اللَّهِ ، وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا
وَالذُّنُوبَ " .
Fadhalah bin ‘Ubaid berkata: Rasulullah s.a.w
bersabda ketika Haji Wida’:
Mahukan kalian aku beritahu tentang siapakah
orang mukmin? Iaitu sesiapa yang manusia lain percaya kepadanya untuk
menguruskan harta dan diri mereka.
Muslim pula pula ialah sesiapa yang manusia
lain terselamat daripada lidah dan tangannya.
Mujahid pula ialah sesiapa yang berjihad
menentang dirinya untuk mentaati Allah.
Muhajir pula ialah sesiapa yang berhijrah
daripada kesilapan dan dosa-dosa
[Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman : 10365.
Shaikh al-Albani menyatakan isnadnya sahih dalam Takhrij Misykat al-Masobih]
Huraian:
Hadis
ini menerangkan kepada kita ciri-ciri kepada empat golongan manusia iaitu
mereka yang digelar Muslim, Mukmin, Muhajir dan Mujahid.
a)
Siapakah Muslim?
Berdasarkan
hadis di atas, ciri seorang muslim ialah insan lain akan terselamat daripada
perbuatan buruk yang dilakukan oleh tangannya mahupun perkataan yang diucapkan
oleh lidahnya. Dengan lebih ringkas lagi, seorang Muslim yang sejati ialah
seorang insan yang tidak akan sekali-kali menzalimi manusia lain.
Seorang
muslim yang sejati akan memastikan setiap tindakannya, kata-katanya tidak akan
menggores hati saudara seIslamnya. Seorang muslim yang sejati akan menjaga
dirinya daripada melakukan perkara yang melanggar hak-hak saudara seIslamnya.
Sebagaimana
kita tidak suka dizalimi, tidak suka dianiaya, tidak suka dicaci maki atau
diumpati di belakang kita, maka itulah juga yang perlu kita lakukan kepada
saudara seIslam kita agar kita menjadi muslim sejati.
Menjaga
tangan kita daripada menganiaya dan merampas hak mereka. Menjaga lidah kita
daripada memfitnah, mengadu domba, mengumpat dan mencaci maki. Inilah muslim
sejati. Inilah ciri yang perlu ada pada diri kita untuk menjadi muslim sejati.
b)
Siapakah mukmin?
Di
dalam hadis di atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam menyatakan ciri
seorang mukmin ialah manusia lain percaya untuk memberikan amanah kepada mereka
hatta di dalam urusan harta dan nyawa mereka sendiri.
Urusan
harta dan nyawa ialah dua aspek penting di dalam kehidupan. Kita tidak akan
sewenang-wenangnya memberikan orang lain menguruskan harta kita. Kita juga
tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan orang lain menjaga anak-anak kita,
ibu bapa kita kecuali kita benar-benar yakin orang tersebut adalah manusia yang
boleh dipercayai.
Ini
tergambar di dalam sirah Nabawiah. Bukankah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wassalam diberikan amanah oleh Ummul Mu'mininin Khadijah Bte Khuwailid
Radiallahu 'Anha untuk menguruskan barang dagangannya?
Lalu
cerminlah diri kita. Apakah diri kita ialah insan yang dipercayai manusia untuk
menguruskan amanah. Jika manusia berat mempercayai kita, atau meragui kejujuran
kita. Sudah pasti ada sesuatu masalah di dalam diri kita yang tidak menepati
ciri-ciri untuk menjadi seorang mukmin yang hakiki. Hisablah kejujuran diri
kita, apakah kita seorang yang amanah, atau sebaliknya kita seorang insan yang
tidak dipercayai oleh manusia.
c)
Siapakah Muhajir?
Muhajir
ialah orang yang berhijrah. Akan tetapi hakikat hijrah di dalam hadis di atas,
bukanlah hanya membicarakan perpindahan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Sebaliknya ia berkaitan hijrah di dalam diri seseorang. Orang yang benar-benar
berhijrah ialah orang yang sering berusaha memperbaiki dirinya menjadi lebih
baik. Dia berhijrah daripada satu tahap ke tahap yang lebih baik. Dia berpindah
daripada dosa-dosa dan kesilapan, kepada kebaikan dan pahala yang
mencurah-curah.
Orang
yang berhijrah ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, esok
lebih baik daripada hari ini. Dia tidak statik di atas satu tahap sahaja.
Golongan Muhajir akan sentiasa memajukan diri mereka, memperbaiki dan terus
menerus menggali khazanah-khazanah kebaikan, dan membuang sisa-sisa kotoran
daripada diri mereka.
d)
Siapakah mujahid?
Mujahid
ialah orang yang berjihad. Hadis di atas memfokuskan kepada jihad melawan nafsu
agar dapat mentaati Allah. Seorang lelaki mujahid akan melawan nafsunya agar
dapat mendirikan solat berjemaah di masjid mahupun surau walau di dalam hatinya
terasa kemalasan. Seorang mujahidah agar menutupi dirinya dengan pakaian yang
menutup aurat, walau jiwanya memberontak untuk kelihatan cantik seperti
gadis-gadis yang bebas rambutnya, berfesyen meniru gaya-gaya artis-artis yang
cantik di mata lelaki. Seorang mujahid akan berusaha untuk melawan mengantuknya
untuk mendirikan qiamullail, atau paling kurang untuk bangun mendirikan solat
Subuh.
Masakan
mampu seorang berjihad di medan perang sedangkan hatinya masih gagal melawan
hawa nafsu. Sungguh jihad mengorbankan jiwa memerlukan kepada jihad melawan
nafsu, kerana untuk ke medan perang memburu syahid, seseorang perlu berperang
dengan nafsunya yang mahu duduk di rumah berehat-rehat dengan anak dan isteri..
No comments:
Post a Comment