Thursday, December 20, 2012

Sudah Lama Tidak Update

Assalamualaikum w.b.t

Sudah lama tidak kemas kini blog aku ini. Novel pun tidak ditulis lagi walau idea dan isinya sudah ada. Cuti sekolah ini lebih banyak fokus kepada program-program Al Kahfi.

Alhamdulillah, dalam masa sebulan sahaja, Al Kahfi telah menganjurkan beberapa program dakwah. Kem Remaja Soleh di Masjid Salehuddin al-Ayyubi Setapak, Bengkel Jenazah di Manipal College Melaka, dan Kem Remaja Soleh di Integrated Islamic School Shah Alam.


Program-program pertama Al Kahfi ini Allah uji dengan banyak benda. Alhamdulillah, ujian-ujian itu aku yakin baik sebab ia bantu kami semua dalam Al Kahfi untuk muhasabah dan perbaiki kelemahan dan apa yang kami terlepas pandang selama ini.

Pengalaman paling tidak dapat aku lupakan ialah apabila menguruskan seorang peserta remaja perempuan 19 tahun yang terkena gangguan penyakit halus sejak kecil lagi, dan makhluk itu semakin agresif tatkala si gadis remaja ini berada dalam program kami. Boleh jadi makhluk itu tidak tahan hampir setiap masa mendengar lantunan bacaan al-Quran.

Pertama kali aku meruqyah orang. Gementar, takut, berdebar-debar. Bermula jam 1.30 pagi dan tamat jam 4.00 pagi.

Tetapi perasaan paling melekat ialah kasihan dan simpati. Gadis itu ketika aku menyampaikan kuliah maghrib berkaitan syirik, aku sudah nampak dia kelihatan semacam sahaja. Fasi-fasi perempuan sedang berusaha membantu beliau.

Selepas itu, ketika aku menguruskan pelajar untuk minum dan makan biskut, si gadis itu menghampiri aku. Dia bertanya: Ustaz, syirikkah jika saya percaya wujudnya saka? 

Aku menjawab tidak, sebab benda-benda ghaib ini memang ada. Selalunya syirik berlaku bila kita mahu lawan balik makhluk halus ini tetapi dengan cara yang salah. Aku bertanya balas: Kenapa?

Gadis itu menceritakan kisahnya sejak kecil lagi. 

Tanpa aku sangka malam itu makhluk itu menyerang dengan sangat dahsyat, si gadis itu menyanyi-nyanyi, bercakap dengan makhluk yang aku tidak dapat lihat, muntah-muntah, pengsan, dan sampai ke tahap dia membuka tudungnya di hadapan aku kerana kepanasan tatkala dibacakan ayat al-Quran kepadanya. Itulah pertama kali aku melihat benda-benda begini. Alhamdulillah, ada fasi Muslimah yang sudah biasa dengan kes-kes begini, dialah yang menjaga gadis tersebut.

Aku ingat siangnya, mungkin si gadis itu sudah lupa apa yang berlaku. Dan memang dia lupa. Tetapi pagi itu, aku bertembung dengan dia di luar pintu tandas perempuan. Dia seorang, aku seorang. Aku melihat dia, wajahnya merenung aku. Aku sangka dia ingat peristiwa malam itu, jadi dia segan dan mungkin mahu mohon maaf kepada aku. Tetapi dia merenung aku lama sangat, aku tidak sedap hati, dan aku terus berundur.

Aku sedang duduk-duduk di kawasan makan, peserta Muslimah turun mengambil makanan. Dia pun turun. Dia terpandang aku, dia renung aku lama. Aku sudah tidak tentu arah, aku tunduk. Dia alih pandangan, kemudia renung aku lagi. Sudah, aku tidak sedap hati. Dia lihat aku macam mahu makan aku.

Aku terus sms fasi Muslimah yang jaga dia, fasi itu kata, si gadis ini tidak ingat apa yang berlaku malam sebelum itu, tetapi gadis ini beritahu fasi bahawa setiap kali aku lalu berhampiran dia, badan dia akan panas, dia tiba-tiba rasa marah pada aku, dan dia kata mahu bunuh aku.

Akhirnya aku hubungi ibu bapa beliau, bincang dengan ayahnya, nasihat suruh jumpa ustaz-ustaz tertentu. Dada aku sebak, tatkala dia mahu pulang, si gadis datang mendekati aku, matanya merah menangis, dia berkata kepada aku "Terima kasih ustaz..." Aku diam, tidak terjawab apa-apa. Kenapa aku feeling sangat?

Sebab sebelum benda itu datang menyerang teruk, dia jumpa aku, cerita semuanya, dan selepas itu makhluk halus itu terus menyerang.

Sampai sekarang aku dok fikir pasal dia, apa nasib dia, dia sudah besar. Inilah pengalaman pertama aku, dan pengalaman itu banyak mengajar apa perlu buat bila terjadi situasi begitu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~

Bila aku dan kawan-kawan aku wujudkan Al Kahfi, aku sudah tahu isu yang paling besar ialah ambil upah mengajar agama. Bolehkah, halalkah, haramkah....

Aku baca dan baca fatwa ilmuan. Bila aku buat semua ini, semuanya sebab dakwah, aku mahu kawan-kawan aku dapat buat dakwah, dalam masa yang sama mereka ada pendapatan sampingan. Jika tidak konflik kerja vs dakwah akan muncul.

Isu ikhlas, aku serahkan antara mereka dan Allah. Memang berat, aku cukup syukur dalam Al Kahfi ada kawan-kawan yang selalu ingatkan, "Jangan komersialkan dakwah sangat". Aku setuju sangat-sangat. Dengan adanya orang seperti mereka, aku yakin Insha-allah, Al Kahfi dapat bergerak dengan maju.

Aku kalau boleh mahu aktiviti dakwah kawan-kawan aku guna duit Al Kahfi, mereka tidak perlu keluar duit. Duit minyak dan lain-lain biar Al Kahfi tanggung, mereka cuma korban masa dan tenaga sahaja. Aku pernah jadi pelajar, jadi aku tahu berapa sangatlah duit yang pelajar ada. Tetapi untuk capai semua ini, Al Kahfi sendiri kena ada sumber kewangan dan pendapatan, maka sebab itulah program-program kali kelihatan berunsurkan 'profit-based'. Keuntungan itu digunakan untuk kos operasi Al Kahfi, dan dakwah-dakwah yang bukan berasaskan 'profit-based'. Itulah hakikatnya, dan aku sedar bukan semua manusia memahami hal ini.

Cukuplah sampai sini kot. Panjang sangat sudah ni.

No comments:

Post a Comment