Monday, January 7, 2013

Air Mata Abu Hurairah r.a



Assalamualaikum w.b.t

Tadi sedang menyiapkan assignment IOU subjek hadeeth 101. Saya memilih untuk menulis Biografi Abu Hurairah r.a :) Terjumpa hadis yang sangat besar maknanya ini.

عَنْ أَبِي كَثِيرٍ يَزِيدَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، حَدَّثَنِي أَبُو هُرَيْرَةَ، قَالَ : " كُنْتُ أَدْعُو أُمِّي إِلَى الْإِسْلَامِ وَهِيَ مُشْرِكَةٌ ، فَدَعَوْتُهَا يَوْمًا فَأَسْمَعَتْنِي فِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَكْرَهُ ،

Abu Hurairah r.a berkata : Aku mengajak ibu ku yang masih musyrik untuk memeluk Islam. Satu hari, aku menyerunya memeluk Islam, dan dia berkata sesuatu tentang Rasulullah s.a.w yang aku tidak suka.


فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي ، قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنِّي كُنْتُ أَدْعُو أُمِّي إِلَى الْإِسْلَامِ ، فَتَأْبَى عَلَيَّ ، فَدَعَوْتُهَا الْيَوْمَ فَأَسْمَعَتْنِي فِيكَ مَا أَكْرَهُ ،

Aku pun pergi menemui Rasulullah s.a.w dalam keadaan menangis. Aku berkata kepada Rasulullah s.a.w : Ya Rasulullah. Sesungguhnya aku mengajak ibu memeluk Islam, tetapi beliau enggan. Hari ini aku mengajaknya lagi, tetapi dia berkata sesuatu yang buruk tentang mu yang aku tidak suka.



فَادْعُ اللَّهَ أَنْ يَهْدِيَ أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اللَّهُمَّ اهْدِ أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ ، فَخَرَجْتُ مُسْتَبْشِرًا بِدَعْوَةِ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ،

Tolonglah mohon kepada Allah untuk memberi petunjuk kepada ibu Abu Hurairah. Lalu Rasulullah s.a.w pun berdoa : Ya Allah, berilah petunjuk kepada ibu Abu Hurairah. Maka Abu Hurairah r.a pun keluar dengan gembira selepas mendengar doa Rasulullah s.a.w.

فَلَمَّا جِئْتُ فَصِرْتُ إِلَى الْبَابِ ، فَإِذَا هُوَ مُجَافٌ ، فَسَمِعَتْ أُمِّي خَشْفَ قَدَمَيَّ ، فَقَالَتْ : مَكَانَكَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ ،

Apabila aku tiba di rumah, aku mendapati pintu rumah tertutup. Ibu ku mendengar bunyi tapak kaki ku, beliau berkata : Tunggulah di sana wahai Abu Hurairah!

وَسَمِعْتُ خَضْخَضَةَ الْمَاءِ ، قَالَ : فَاغْتَسَلَتْ وَلَبِسَتْ دِرْعَهَا وَعَجِلَتْ عَنْ خِمَارِهَا ، فَفَتَحَتِ الْبَابَ ،

Aku mendengar bunyi air. Ibu ku sedang mandi. Beliau pun memakai pakaian dan tudung kepala, kemudian membuka pintu.

ثُمَّ قَالَتْ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ،

Kemudian ibu ku berkata: Wahai Abu Hurairah! Aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan Muhammad adalah hamba dan rasul Nya!

قَالَ : فَرَجَعْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَيْتُهُ وَأَنَا أَبْكِي مِنَ الْفَرَحِ ،

Aku pun terus kembali menemui Rasulullah s.a.w dalam keadaan menangis kegembiraan.

قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَبْشِرْ قَدِ اسْتَجَابَ اللَّهُ دَعْوَتَكَ وَهَدَى أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ، وَقَالَ : خَيْرًا ،

Aku berkata kepada Rasulullah: Ya Rasulullah! Aku ingin menyampaikan berita gembira. Sesungguhnya Allah telah mengabulkan doa mu, dan memberi petunjuk kepada ibu Abu Hurairah. Rasulullah s.a.w terus mengucapkan syukur dan memuji Allah dan berkata: Bagus...

قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُحَبِّبَنِي أَنَا وَأُمِّي إِلَى عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ وَيُحَبِّبَهُمْ إِلَيْنَا ،

Abu Hurairah r.a berkata: Ya Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar aku dan ibu ku dicintai oleh orang beriman, dan orang-orang beriman dicintai oleh kami.

قَالَ : فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اللَّهُمَّ حَبِّبْ عُبَيْدَكَ هَذَا يَعْنِي أَبَا هُرَيْرَةَ وَأُمَّهُ إِلَى عِبَادِكَ الْمُؤْمِنِينَ ، وَحَبِّبْ إِلَيْهِمُ الْمُؤْمِنِينَ ، فَمَا خُلِقَ مُؤْمِنٌ يَسْمَعُ بِي وَلَا يَرَانِي إِلَّا أَحَبَّنِي " .

Rasulullah s.a.w pun berdoa: Ya Allah! Jadikan kedua hambamu ini dicintai oleh orang beriman, dan jadikanlah orang beriman dicintai mereka. Abu Hurairah berkata: Semenjak hari itu, tidak seorang pun yang mendengar nama ku atau melihat ku melainkan mereka mencintai ku. [Sahih Muslim : 4553]

Sahabat,

Berapa banyakkan dakwah kita kepada ibu bapa kita? Boleh jadi ibu bapa kita kurang kefahaman Islamnya, tetapi pernahkah mereka mencerca al-Quran dan al-Hadis, mencerca Rasulullah s.a.w, mencerca Allah. Apalah sangat yang kita hadapi berbanding apa yang Abu Hurairah r.a rasai...

Sahabat,

Pernahkah kita berdoa agar Allah memberi petunjuk kepada ibu bapa kita, ahli keluarga kita. Tatkala kita mengadu kepada sahabat kita dengan berkata "Ibu dan ayah aku begitu begini, adik beradik aku begitu begini, keluarga aku begitu dan begini..", adakah kita pernah memohon sahabat yang setia mendengar luahan hati kita itu untuk mendoakan petunjuk kepada orang tua kita?

Sahabat,

Tatkala sahabat-sahabat kita mengadu ibu bapanya menolak dakwah sunnah, adik beradiknya jauh daripada jalan menuju jannah, apakah nasihat yang kita berikan untuk mengubati hati mereka yang sedang bernanah?

Adakah kita menasihati mereka agar terus istiqamah memimpin keluarga mereka menuju keredhaan Tuhan, atau kita mengapi-apikan kekecewaan mereka sehingga mereka putus harapan?

Sahabat,

Tiada kegembiraan yang lebih besar selain daripada melihat hidayah datang kepada keluarga kita, bersama-sama ibu bapa, abang dan kakak serta saudara mara menuju jalan ke arah syurga. Tetapi sejauh mana dakwah kita kepada mereka? Adakah sekental Abu Hurairah r.a yang asyik berlinangan air mata kerana ibunya yang tercinta, atau dakwah kita sekadar mengungkapkan rasa kecewa dan putus asa?

Doakanlah hidayah untuk diri kita dan keluarga kita.


________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

T : 013-2506391

No comments:

Post a Comment