Ustaz Yasir Ramlee menulis :
Mari kita bermuhasabah diri...
Antara banyak perkara yang perlu kita muhasabah dan insafi
adalah hubungan kita dengan dengan ibu ayah. Apakah sudah cukup sekadar
bertanya khabar melalui telefon atau mengirim wang ringgit itu memadai?
Mungkinkah ada perkara yang kita terlepas pandang mengenai hak-hak mereka
terhadap terhadap kita? Maka sewajarnya kita bermuhasabah.
Ibu ayah pada kebiasaanya hanya mendiamkan diri jika melihat
kekurangan layanan anak kepada diri mereka. Mungkin kerana kasih sayangnya pada
anak.
Maka, sewajar tanggungjawab kita sebagai anak menanyakan
keperluan mereka dan memohon maaf jika ada kekurangan yang tidak dapat kita
penuhi. Setidaknya ia menimbulkan redha mereka terhadap kita. Usah kita
sibukkan diri mengejar perkara lain jika ini kita tidak perbaiki terlebih dahulu.
Dan jangan dilupa, redhanya mereka itu juga mengundang
rahmat dan redha tuhan, pesan nabi s.a.w:
الرب في رضى الوالد وسخط الرب في سخط
الوالد
“(Redha) Tuhan itu pada keredhan ibu ayah, dan kemurkaan
tuhan itu pada kemurkaan ibu ayah” [Riwayat Al-Tirmizi: no1899]
Semoga ibu bapa kita meredhai kehidupan kita sebagai seorang
anak, justeru mendoakan kebaikan untuk kita. Kerana bukan sahaja menjadi kewajipan
kita mendoakan kebaikan untuk mereka, bahkan kita juga perlu mengharapkan doa
mereka untuk menghadapi ujian kehidupan. Ini kerana Allah telah mengurniakan
ke“mustajab”an pada diri mereka untuk kita.
Nabi kita bersabda:
ثلاث دعوات مستجابات لا شك فيهن دعوة
الوالد على ولده ودعوة المظلوم ودعوة المسافر
“Tiga doa (permintaan) yang mustajab-ditunaikan, tidak ada
keraguan padanya: 1. Doa ibu ayah kepada anaknya, 2. Doa orang dizalimi, 3. Doa
orang bermusafir” [Riwayat Ahmad: no10719]
Semoga kita menjadi anak yang benar-benar soleh, dan
mendapat kebaikan di atas keredhaan ibu ayah kita. Ameen...
Pengajaran hadith yang boleh kita ambil iktibar:
1. Berbakti kepada ibu ayah mengundang rahmat daripada Allah
s.w.t. Juga sebagai tanda kita bersyukur terhadap-Nya, kerana telah
mengurniakan kita ibu bapa yang telah memelihara kita sehingga dewasa.
Nabi s.a.w. bersabda:
من لا يشكر الناس لا يشكر الله
“Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia
tidak berterima kasih kepada Allah s.w.t ” [Riwayat Al-Tirmizi: 1954].
2. Ini menunjukkan besarnya ganjaran berbuat baik kepada ibu
bapa, bahkan Allah s.w.t mengaitkan secara langsung keredhaannya pada ibu ayah
kita. Anak yang tidak membuat orang tuanya redha terhadap dirinya sebenarnya
mengundang murka Allah s.w.t.
3. Wajib mengembirakan perasaan ibu ayah agar mereka redha
kepada kita. Para sarjana mengatakan dalam perkara harus, kita wajib mengikuti
perkataan mereka.
Ini juga berdasarkan keumuman lafaz hadith. Nabi s.a.w tidak
mengaitkan dengan perkara khusus dalam mentaati perintah mereka. Tetapi seperti
yang kita maklumi, perintah agama mendahului perintah ibu ayah. Maka, selain
dari itu kita patut mengambil iktibar pandangan mereka.
3. Manusia pertama dalam kehidupan kita yang wajib kita
berakhlak adalah ibubapa. Kemudian barulah selainnya, adik beradik dan rakan.
Perhatikan akhlak orang terhadap ibu bapanya. Jika ihsannya
terhadap ibu bapa bagus, maka dia patut dijadikan rakan. Jika tidak, jauhkan
diri daripadanya.
Dua sebab:
a. Allah tidak meredhai dirinya, maka sebagai hamba-Nya kita
turut tidak meredhai perkara yang Allah tidak redhai.
b. Ibu bapa adalah orang yang paling mengambil kisah
mengenai kehidupannya. Maka jika sebaik-baik insan terhadap dirinya itu pun dia
tidak dapat berbuat baik, inikan pula kita sekadar kenalan yang bila-bila masa
boleh dia khianati.
5. Sesiapa yang menghadapi kehidupan dunia yang sempit dan
sukar, muhasabah semula hubungannya dengan Allah. Jika ia bagus, maka muhasabah
pula hubungannya dengan ibu ayah. Mungkin ada kurang dimana-mana.
Wallahu musta’aan.
Semoga kita menjadi anak yang soleh dan mendapat keberkatan
Allah s.w.t
________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services
T : 013-2506391
No comments:
Post a Comment