Sunday, November 29, 2015

Halaqah Tauhid 1- Apakah Maksud Tauhid

Apakah tujuan penciptaan manusia?

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Allah s.w.t berfirman: Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Ku [adz-Dzariyat : 56]

Syarah:
Daripada ayat ini dapat kita ketahui bahawa tujuan Allah menciptakan jin dan manusia ialah untuk menyembahnya.

Apakah maksud ibadah?
Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya al-‘Ubudiyyah membawakan satu definisi yang sangat indah. Beliau berkata:

العبادةهياسمجامعلكلمايحبهاللهويرضاهمنالأقوالوالأعمالالباطنةوالظاهرة .
Ibadah ialah merupakan sesuatu yang merangkumi kesemua yang dicintai dan ditedhai Allah daripada aspek perkataan dan amalan, yang batin mahupun zahir.[1]

Al-Imam Abu Al-Fida’ Ismail menerangkan dalam Tafsir al-Quran al-Azhim:

وعبادته هى طاعته بفعل المأمور وترك المحظور . وذلك هو حقيقة دين الاسلام . لأن معنى الإسلام : الاستسلام لله تعالى ، المتضمن غاية الانقياد والذل والخضوع
Ibadah ialah mentaati Nya dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Itulah dia hakikat Islam. Ini kerana Islam bermaksud: Penyerahan diri secara total kepada Allah, yang mana di dalamnya terkandung  ketaatan (kepada Allah), rendah diri (kepada Allah) dan tunduk (kepada Allah).

Apakah maksud Tauhid?

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ
Allah berfirman: Sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat rasul untuk menyembah Allah dan menjauhi thoghut. [An-Nahl : 36]

Syarah:

a-    Pada ayat ini terdapat dua unsur yang kita akan nampak sering berulang pada ayat-ayat tauhid iaitu nafi dan isbat. Hal ini juga dapat dilihat dalam beberapa ayat al-Quran yang lain. Antaranya:
Surah al-Fatihah ayat 5:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (5(
Engkau sahaja yang kami sembah, dan Engkau sahaja yang kami pohon pertolongan.

Surah al-Baqarah ayat 21-22:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (21) الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ (22)
Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa. (21) Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air [hujan] dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; oleh kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah padahal kamu mengetahui. [Al-Baqarah:21-22]

Ini membawa kepada konsep La Ilaha Illa Allah. Iaitu penafian daripada menyembah sesuatu yang lain, dan penetapan hanya menyembah Allah sahaja.

b-     Apakah maksud thoghut?
والطاغوت: مشتق من الطغيان، وهو صفة مشبهة، والطغيان: مجاوزة الحد; كما في قوله تعالى: { إِنَّا لَمَّا طَغَا الْمَاءُ حَمَلْنَاكُمْ فِي الْجَارِيَةِ} [الحاقة:11] أي: تجاوز حده.
Perkataan at-Thaghut diambil daripada at-Thughyan yang bermaksud: Melampaui batas. Ini sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik [sampai ke gunung] Kami bawa [nenek moyang], kamu ke dalam bahtera, [al-Haqqah:11]

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah menyatakan:
والطاغوتكلماتجاوزبهالعبدحده.من معبود أو متبوع أو مطاع . فطاغوت كل قوم : من يتحاكمون إليه غير الله ورسوله ، أو يعبدونه من دون الله أو يتبعونه على غير بصيرة من الله أو يطيعونه فيما لا يعلمون أنه طاعة لله . فهذه طواغيت العالم . إذا تأملتها وتأملت أحوال الناس معها . رأيت أكثرههم أعرض عن عبادة الله تعالى إلى عبادة الطاغوت وعن طاعة رسول الله صلى الله عليه وسلم إلى طاعة الطاغوت ومتابعته .
(Thoghut ialah) sesiapa yang disembah, atau diikuti atau ditaati. Thoghut untuk setiap kaum ialah sesiapa yang kaum itu berhukum padanya selain daripada Allah dan rasul Nya, atau apa-apa yang mereka sembah selain daripada Allah, atau sesiapa yang mereka ikuti tanpa petunjuk daripada Allah, atau sesiapa yang mereka taati. Ini semua merupakan thoghut-thoghut yang ada di dunia ini. Seandainya kalian mengkaji hal ini, kalian akan melihat ramai manusia yang telah berpaling daripada menyembah Allah kepada menyembah thoghut. Ramai manusia telah berpaling daripada mentaati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam kepada mentaati dan mengikuti thoghut.[2]

Semua rasul membawa mesej tauhid yang sama, hanya berbeza daripada sudut syariat.

Shaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin berkata:

وهذا لا ينافى قوله تعالى : لكل جعلنا منكم شرعة ومنهاجاً [المائدة: 48]؛ لأن الشرعة العملية تختلف باختلاف الأمم والأماكن والأزمنة، وأما أصل الدين؛ فواحد، قال تعالى: شرع لكم من الدين ما وصى به نوحاً والذي أوحينا إليك وما وصينا به إبراهيم وموسى وعيسى أن أقيموا الدين ولا تتفرقوا فيه [الشورى: 13].
Ini tidaklah menafikan firman Allah Taala: Untuk setiap umat telah kami jadikan hukum-hakam masing-masing [al-Maidah : 48]. Ini kerana hukum-hakam amali berbeza-beza dengan berbezanya manusia, tempat dan zaman. Akan tetapi perkara pokok agama hanyalah satu. Allah Taala berfirman: Telah disyariatkan untuk kalian daripada perkara agama apa yang telah disyariatkan kepada Nuh. Dan apa yang telah kami wahyukan kepada kalian adalah seperti apa yang kami syariatkan kepada Ibrahim, Musa, Isa iaitu untuk menegakkan agama dan tidak bercerai-berai padanya. [al-Syura : 13]
Pada asalnya, kesemua manusia mentauhidkan Allah. Ini dapat dilihat dalam (Al-Baqarah 2: 213)

﴿كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Maksudnya: Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan.Tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri.Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya.Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.}

Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah menyebutkan dalam Tafsir al-Quran al-Azhim berkaitan ayat di atas:
عن ابن عباس، قال: كان بين نوح وآدم (3) عشرة قرون، كلهم على شريعة من الحق. فاختلفوا، فبعث الله النبيين مبشرين ومنذرين.
Ibn ‘Abbas berkata: Antara Nabi Nuh dan Nabi Adam adalah selama 10 kurun. Kesemua mereka di atas syariat yang benar, lalu mereka mula berselisih, lalu Allah pun menghantar para nabi sebagai pembawa berita gembira dan amaran kepada manusia.

لأن الناس كانوا على ملة آدم، عليه السلام، حتى عبدوا الأصنام، فبعث الله إليهم نوحًا، عليه السلام، فكان أول رسول بعثه الله إلى أهل الأرض.
Ini kerana manusia satu ketika dahulu mengikut agama nabi Adam ‘alaihissalam sehinggalah mereka menyembah berhala.Lalu Allah pun menghantar Nabi Nuh ‘alaihissalam kepada mereka, Nabi Nuh adalah rasul pertama yang Allah hantar ke muka bumi.

Apa yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh telah disebutkan dalam surah Nuh, bagaimana peritnya dakwah Tauhid Nabi Nuh ‘alaihissalam.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، صَارَتِ الْأَوْثَانُ الَّتِي كَانَتْ فِي قَوْمِ نُوحٍ فِي الْعَرَبِ بَعْدُ أَمَّا وَدٌّ كَانَتْ لِكَلْبٍ بِدَوْمَةِ الْجَنْدَلِ ، وَأَمَّا سُوَاعٌ كَانَتْ لِهُذَيْلٍ ، وَأَمَّا يَغُوثُ فَكَانَتْ لِمُرَادٍ ، ثُمَّ لِبَنِي غُطَيْفٍ بِالْجَوْفِ عِنْدَ سَبَإٍ ، وَأَمَّا يَعُوقُ فَكَانَتْ لِهَمْدَانَ ، وَأَمَّا نَسْرٌ فَكَانَتْ لِحِمْيَرَ لِآلِ ذِي الْكَلَاعِ ، أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ ، فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَى قَوْمِهِمْ أَنِ انْصِبُوا إِلَى مَجَالِسِهِمُ الَّتِي كَانُوا يَجْلِسُونَ أَنْصَابًا وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ ، فَفَعَلُوا فَلَمْ تُعْبَدْ حَتَّى إِذَا هَلَكَ أُولَئِكَ ، وَتَنَسَّخَ الْعِلْمُ عُبِدَتْ " .
Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa berhala yang disembah oleh kaum Nuh telah disembah kembali oleh bangsa Arab. Berhala bernama Wadd disembah oleh kabilah Kalb dari kawasan Daumat al-Jandal, berhala Suwa’ pula milik kabilah Huzail, berhala Yaghuts pula milik kabilah Murad kemudian menjadi milik Bani Ghutaif dari kawasan Saba’,  Ya’uq adalah milik kabilah Hamdan, Nasr adalah milik kabilah Himr yang merupakan keluarga Dzil Kala’. Kesemua nama berhala ini adalah nama-nama orang soleh daripada kaum Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaum mereka untuk membuat patung di kawasan orang-orang soleh ini sering duduki, dan menamakan patung itu dengan nama-nama orang soleh tersebut.Kaum nabi Nuh pun melakukan hal itu, tetapi ketika itu patung-patung tersebut tidak disembah.Apabila meninggalnya generasi itu, lalu tujuan asal patung itu tidak diketahui, lalu patung itu pun disembah.
[Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, hadis no: 4564]

Apa tujuan direka patung-patung ini. Imam Ibn Jarir at-Thabari menukilkan dalam Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil al-Quran:
كانوا قومًا صالحين من بنى آدم، وكان لهم أتباع يقتدون بهم، فلما ماتوا قال أصحابهم الذين كانوا يقتدون بهم: لو صوّرناهم كان أشوق لنا إلى العبادة إذا ذكرناهم، فصوّروهم، فلما ماتوا، وجاء آخرون دبّ إليهم إبليس، فقال: إنما كانوا يعبدونهم، وبهم يُسقون المطر فعبدوهم.
Mereka adalah orang-orang soleh daripada anak Adam. Mereka mempunyai pengikut yang mengikut mereka. Apabila orang-orang soleh ini mati, maka pengikut mereka berkata: Seandainya kita membuat patung mereka, maka kita akan lebih kuat beribadah apabila mengingati mereka, lalu mereka membuat patungnya. Apabila mereka telah meninggal dunia, datanglah generasi seterusnya lalu iblis membisikkan kepada mereka: Sesungguhnya mereka sebelum ini beribadah kepada patung-patung tersebut. Dengan itu, mereka semua mendapat hujan, lalu mereka terus menyembah patung-patung itu.




[1]Al-'Ubudiyyah, m/s 44
[2]I’lam al-Muwaqi’in, jilid 1, m/s 50

No comments:

Post a Comment