Saturday, January 8, 2011

Pengenalan Kepada Konsep Tanzīmī, Harakī, dan Amal Jamāeī Menurut Perspektif Manhaj ASWJ

Slot 7: “Pengenalan Kepada Konsep Tanzīmī, Harakī, dan Amal Jamāeī Menurut Perspektif Manhaj ASWJ”
Ahad
2 Januari 2011
9.00 am

[Pembentang: Ust Jaafar Salleh]

بسم الله ، والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
وبعد /-
1. Pendahuluan.

Antara perkara yang telah kita ketahui ialah berdakwah kepada Deen Allah s.w.t (Islam) itu antara kewajipan menurut hukum Islam, lebih-lebih lagi dalam suasana umat Islam pada masa ini sedang diancam bahaya serbuan ganas musuh-musuh Allah s.w.t dari segenap penjuru dan dalam suasana Islam telah kembali Ghurbah , hukum hakam al quran tidak dipeduli , lahir generasi baru yang jauh dari agama begitulah seterusnya .


Kekalutan yang berlaku dalam umat Islam masa kini dari perbagai punca dalaman dan luaran memerlukan kesepaduan usaha , tenaga , minda , kewangan serta pergerakan secara teratur , waspada dan bermatlamat serta berperancangan demi menjamin survival kelangsungan agama tauhid ini. Usaha ini tidak boleh dilaksananakan secara individu . Ia hanya boleh dijayakan dengan kesepaduan usaha secara berjamaah dan berorganisasi secara teratur sesuai dengan kaedah ( ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب ) .

Amat menyedihkan pula terdapat beberapa golongan yang mengingkari keperluan berjemaah dan berorganisasi dengan alasan bahawa ia bukanlah dari sunnah Rasulullah s.a.w. Ini adalah pandangan yang tidak dibina atas asas yang sahih kerana bila kita melihat kepada sejarah Islam . Para salaf berjuang , berdakwah serta berjihad samaada secara mengikut pemimpin negara Islam atau menjadi amil kepada jamaah khusus . Imam Muhammad Abdul Wahab sebagai contohnya di saat kelemahan kerajaaan Othmaniyah membendung kemaksiatan dan kesyirikan telah berusaha dalam jemaahnya untuk mengembalikan ajaran tauhid tanpa menisytiharkan diri beliau untuk khuruj . Sekiranya Imam Muhammad Abdul Wahab hanya mengajar di masjid semata . Sudah tentu dunia hari ini akan dipenuhi kefasadan dan kesyirikan . Tauhid yang kita nikmati hari ini merupakan buah perjuangan beliau dan ulamak-ulamak sunnah secara berjamaah.

Kita bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menempatkan kita di dalam barisan yang bekerja untuk Islam yang mewajibkan kita bersyukur kepadaNya. Sebagai tanda kesyukuran itu hendaklah kita bersikap taat dan teguh, tidak berganjak dari perjuangan dakwah ini, melipat gandakan lagi usaha-usaha dan pengorbanan, mengikhlaskan niat semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah s.w.t sehingga akhirnya kita dipanggil pulang ke Hadrat Allah s.w.t dengan mendapat sepenuhnya keredhaan Nya.


2. Berdakwah Secara Jamaah (Organisasi)

Berdakwah secara Jamaah (organisasi). Harakah adalah suatu tuntutan syara’ yang perlu diberi perhatian oleh setiap daie yang menyeru manusia kepada Islam sebagai ad Deen. Tuntutan ini jelas di dalam nas-nas al Quran al Karim dan As Sunnah Rasulullah s.a.w, antaranya Firman Allah s.w.t:-

Terjemahannya:

“Hendaklah ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru kepada kebaikan , menyuruh kepada kemakrufan dan mencegah daripada kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang berjaya“
(Surah ali Imran : 104)


Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini bahawa hendaklah ujud suatu kumpulan dari umat Islam yang menjalankan kerja-kerja dakwah walaupun ianya wajib atas setiap individu.


Demikian juga Asy Syahid Sayyid Qutb mentafsirkan ayat tersebut, bahawa semestinya terdapat suatu jamaah yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada munkar, malahan perlu wujud kekuasaan bagi memerintah kepada makruf dan mencegah daripada munkar.


Di dalam Tafsir al Manar, ada menjelaskan bahawa ‘Ummah itu merupakan satu jamaah yang terdiri daripada beberapa individu yang mempunyai ikatan yang menyatupadukan mereka, terdapat kesatuan yang menjadikan mereka laksana anggota dalam satu tubuh badan.


Di dalam sunnah Rasulullah s.a.w, terdapat juga gesaan agar orang Mukmin sentiasa melazimi Jamaah Islam dan pimpinannya, sepertimana pesanan Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya Huzaifah bin al Yaman r.a, antara kata-kata baginda yang bermaksud :

”Hendaklah kamu bersama Jamaah Muslimin dan Imam mereka“


Sirah dari perjalanan dakwah Rasulullah s.a.w telah memperlihatkan bahawa baginda telah menitik beratkan pembentukan jamaah ( organisasi ). Baginda Rasulullah s.a.w telah memungut seorang demi seorang dan membentuk jamaah para sahabat r.a. Mereka sama-sama berdakwah kepada Deen Allah s.w.t di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w.

3. Tanzim Atau Penyusunan Organisasi


Tanzim adalah salah satu ciri penting dalam ‘Amal Islami Jamaah. Ini memberi erti bahawa jamaah mestilah tersusun rapi dalam semua urusan dan kerjanya. Tanpa penyusunan yang rapi, kejayaan sukar dinikmati dan segala kerja atau usaha yang dilakukan adalah bersifat individu walaupun pada zahirnya berbentuk jamaah.


Dalam hubungan ini Al Imam Asy Syahid Hassan Al Banna telah menggariskan dasar ( langkah-langkah ) umum yang perlu diikuti dalam usaha dakwah. Dasar tersebut adalah:-

a. Al Iman al ‘Amiq (Iman yang mendalam)
b. At Takwin At Tanzimi Ad Daqik (Penyusunan yang rapi)
c. Al ‘Amal Al Muatawasil Al Jihad Al Mustamir

(i) Al Iman al Amid (Iman yang mendalam).

Sistem Islam sendiri berasaskan tanzim (penyusunan) yang lengkap melengkapi dan seragam. Adakah menasabah usaha da’wah ke arah sistem Islam dan memulakan kehidupan Islam dan menegakkan Daulah Islam yang manjalankan syariat Islam itu dilakukan tanpa sebarang tanzim atau penyusunan ?.

Hatta sistem ‘ibadah Islam (yang khusus) seperti soleh, saum, zakat dan haji adalah dilakukan semuanya menurut dasar-dasar serta kaedah-kaedah yang tersusun rapi. Malahan sistem-sistem seperti Sosial Islam, Undang-undang Kekeluargaan Islam dan Hubungan Sosial islam, semuanya berdasarkan tanzim yang baik.


3.1 Pentingnya Penyusunan Yang Rapi.

Hakikat mengapa dipentingkan penyusunan yang rapi di dalam sesuatu jamaah kerana beberapa sebab, antaranya ialah :


i. Ianya sangat perlu untuk sampai kepada kejayaan jamaah atau harakah, iaitu kejayaan Islam yang sebenarnya. Ini adalah berdasarkan kepada Kaedah Syari’ah yang bermaksud “Tidak sempurna yang wajib melainkan dengan sesuatu maka ia adalah wajib“.

ii. Rasulullah s.a.w memerintahkan tiga orang yang bermusafir supaya memilih salah seorang dari mereka sebagai ketua (amir). Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Apabila keluar tiga orang bermusafir, maka lantiklah sebagai Amir salah seorang daripada mereka.“ Dalam riwayat yang lain ditambah“. bahawa hendaklah mereka melantik seorang amir ke atas mereka.“
(Hadith Riwayat Abu Daud)

Dengan ini jelaslah bahawa Islam mementingkan tanzim dan peraturan di dalam perjalanan (safar) atau di dalam kumpulan yang kecil. Begitu juga jamaah yang bersifat sementara, juga memerlukan kepada tanzim yang rapi.

iii. Lebih-lebih lagi kerja atau usaha jamaah ialah untuk membersihkan masyarakat daripada kekufuran atau jahiliyyah dan membina semula masyarakat berdasarkan keImanan dan kefahaman Islam yang syamil dan kamil (menyeluruh dan sempurna), tentu sekali memerlukan kepada kerja-kerja yang penuh berperaturan dan tersusun rapi.

iv. Sehubungan dengan ini terdapat dalil bahawa Allah s.w.t amat cinta kepada mereka yang berjihad (berperang) pada jalan Allah s.w.t dalam satu saf (barisan berjamaah) yang tersusun rapi laksana binaan tersusun kukuh seperti yang telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firman Nya :-

Terjemahannya:

“Sesungguhnya Allah kasih kepada mereka yang berperang pada jalanNya dalam barisan yang teratur, seakan-akan mereka suatu binaan yang kukuh“
(Surah as Saff : 4)

v. Lebih lanjut lagi jika dilihat dalam waqiq hari ini, Islam sedang menghadapi musuh-musuh tempatan dan antarabangsa, menambahkan lagi betapa wajib dan perlunya kepada Tanzim dan ‘Amal Islami. Musuh-musuh Islam terdiri daripada berpuluh-puluh pertubuhan, pergerakan, badan dan institusi yang mengancam Islam dan Umat Islam. Mereka menggunakan segala teknik terkini di dalam serangan mereka terhadap Islam samada dalam perancangan ataupun perlaksanaan.


Musuh-musuh Islam bergerak secara berjamaah, kumpulan atau parti. Malahan secara barisan (front). Mereka bantu membantu antara satu sama lain menentang Islam. Hakikat persekutuan musuh ini telah disebut oleh Allah s.w.t di dalam firmanya :

Terjemahannya:

“Orang-orang kafir setengah mereka saling membantu setengah yanglain. Jika kamu (orang mukmin) tidak berbuat demikian (bantu membantu ) menghadapi mereka, nescaya berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di bumi ini“
(Surah al Anfal : 73)

Oleh kerana Jamaah Islam wajib bertanzim, tidak memadai sekadar berceramah di masjid atau di tempat-tempat umum. Ianya memerlukan kepada segenap aspek. Kesemua yang yakin dengan perubahan Islam yang mana mereka bersedia memberi segala yang dituntut oleh perubahan tersebut (At Taghyir Al Islami) samada meibatkan moral ataupun material.


Ianya juga perlu menyediakan program-program perubahan tersebut, perencanaan, manhaj, peralatan, jalan-jalan dan sebagainya yang berkaitan dengan usaha-usaha perubahan tersebut. Kesemua ini memerlukan kepada penyusunan yang rapi (At Tanzim Ad Daqiq). Tanpa tanzim tersebut akan menjadikan ‘Amal Islami itu hanya kerja-kerja ceramah, rapat umum atau hanya pengetahuan yang bergerak di tepi kehidupan manusia tanpa membawa natijah yang sebenarnya seperti yang dikehendaki oleh Islam.

3.2 I’tibar Dari Amalan Rasulullah s.a.w


Amalan Rasulullah s.a.w samada di Makkah atau di Madinah, dari segi tarbiyyah atau penyebaran dakwah atau peperangan dalam berorientasikan penyusunan yang rapi. Dalam bai’ah al Aqabah al Ula (perjanjian Aqabah pertama), Rasulullah telah mengambil bai’ah penduduk Madinah dan dalam ba’iah Al ‘Aqabah Ath Thaniyah (perjanjian ‘Aqabah kedua), 100 orang (70 orang lelaki dan 30 orang perempuan). Malahan dalam hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah, terdapat beberapa pengajaran yang menggambarkan betapa tersusunya kerja Rasulullah s.a.w itu.


i. Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib diminta mengelirukan kaum musyrikin dengan tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w, sedangkan pada ketika itu baginda telah meninggalkan kota Makkah dan menuju ke Gua Thur.



ii. Pemilihan Gua Thur, merupakan suatu tempat yang bukan menghala ke Madinah.


iii. Abdullah bin Abu Bakr, telah ditugaskan untuk menyediakan makanan dan minuman.

iv. Asma’ binti Abu Bakr, ditugaskan untuk menggembala kambing-kambing untuk menghilangkan jejak-jejak yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dan ayahnya serta dapat memberi susu kepada mereka berdua.

Dengan ini dapat difahami jika Rasulullah s.a.w yang disokong oleh wahyu itu telah melakukan beberapa penyusunan (tanzim) dalam peristiwa hijrah, maka lebih-lebih lagi kita yang tidak disokong oleh wahyu ini. Contoh dan teladan yang diperlihatkan itu amat perlu diambil pengajaran dalam mengendalikan jamaah atau harakah kini.

Anehnya di zaman mutakhir ini telah timbul anggapan yang mengatakan tidak penting berorganisasi dalam ‘amal Islam dan tidak berfaedah sifat kerorganisasian atau tidak perlu kepada tanzim, malah cukup sahaja dengan mengujudkan gelombang Islam dalam bentuk jihad yang disatukan dengan cogankata ‘Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah Dan Muhammad Itu Pesuruh Allah ‘sedangkan telah ternyata dalam sirah bahawa Rasulullah s.a.w amat mengambil berat terhadap persoalan tanzim atau penyusunan.

4. Hak Mentaati Qiyadah

Berdasarkan hakikat tanzim yang dikehendaki oleh syara’, maka didapati Islam telah mensyaratkan hak mentaati ketua oleh ahli-ahli dan anggota-anggota jamaah selagi ianya tidak terkeluar dari batas-batas syara’. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Tiada ketaatan bagi makhluq dalam bermaksiat kepada Allah. “

Suatu jamaah tidak mungkin dapat beramal dan berusaha tanpa Qiyadah (pimpinan) yang menyusun segala kerja, menentukan tujuan, wasilah dan mengawasi serta mengawal segala urusan. Sesuatu jamaah tidak bernilai jika pimpinannya tidak ditaati.

4.1 Contoh Dari Realiti Kehidupan Manusia

Kita pernah mendengar mengenai kumpulan pencuri atau penyamun di dalam satu daerah. Mereka bersepakat mengatur kerja dan membahagikan kawasan operasi di antara mereka. Mereka memilih ketua di kalangan mereka yang menjadi tempat rujukan. Jika timhul sebarang perselisihan di kalangan mereka, mereka tunduk menerima keputusan ketua mereka.

Di sini kita dapat membuat perbandingan bahawa jika kumpulan penjahat pun merasai kepentingan kerja dalam bentuk jamaah dan patuh kepada pimpinan mereka, maka lebih-lebih lagi Saf Jamaah Islamiyyah, yang bercita-cita tinggi dan berusaha ke arah melaksanakan perancangan yang besar (membangunkan Daulah Islam), sepatutnya bekerja dalam bentuk jamaah yang terdapat Qiyadah serta mentaati Qiyadah.


Sebenarnya hakikat kepatuhan pengikut kepada pimpinan adalah sebagai kepatuhan kepada Allah s.w.t, sebab itulah dikaitkan dengan hukum syara’ iaitu kepatuhan dalam perkara ma’ruf semata-mata.

Setiap orang perlulah menyedari bahawa tanzim jamaah ditegakkan pada dasar atau tuntutannya pada Allah s.w.t iaitu menyahut segala perintah Allah s.w.t, kerana itu kepatuhan kepada Qiyadah lahir dari jiwa yang terdidik dengan keImanan, bukannya datang dari desakan atau rangsangan luar. Ketaatan itu telah wujud di dalam jiwa ( bersedia untuk taat ) walaupun belum lagi menerima arahan, kerana menyedari bahawa ketaatan itu ada pahalanya seperti ketaatan makmum mengikut imam di dalam solah berjamaah.


Qiyadah Jamaah Islamiyyah tidak berhakikat seperti kepimpinan duniawi yang semata-mata bermatlamatkan dunia seperti merebut pengaruh, kedudukan, pangkat, kebesaran, kepujian dan keuntungan duniawi semata-mata.

Tugas Qiyadah sebenarnya mengawasi dan memastikan kerja-kerja anggota jamaah terlaksana dengan cara yang betul dan baik supaya sama-sama mendapat pahala daripada Allah s.w.t. Seperti tugas Imam di dalam Solah berjamaah, Imam dan Makmum masing-masing menjaga solah mereka agar dipersembahkan kepada Allah s.w.t dengan baik lagi sempurna.

Kesimpulannya, ketaatan kepada pimpinan yang mentaati Allah s.w.t itu adalah mentaati perintah Allah s.w.t jua. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :

“ Sesiapa yang mentaati aku, maka ia telah mentaati Allah dan sesiapa yang menderhakai aku maka ia telah menderhakai Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Amir (ketua maka ia telah taat kepada aku dan sesiapa yang menderhakai amir maka ia telah menderhakai aku. “
(Hadith Riwayat Abu Hurairah)

5. Dasar –Dasar Amal Jamaei

Terdapat beberapa dasar dalam mengikat usaha Amal Jamaei

a) Terikat dengan kebenaran ( Haq )

Hendaklah setiap muslim mengikat dirinya dengan kebenaran . Ia adalah pendirian yang tidak boleh digoyah . Lawannya ialah kefasadan dan kemaksiatan . Dalam Islam tiada yang maksum melainkan Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya serta Ijmak Ummah.

b) Iltizam dengan Jemaah Islam dan Imam Muslimin

Yang dimaksudkan ialah jemaah Muslimin yang lawannya adalah kufur dan musyrik . Maksud iltizam itu pula ialah :-

a) Tidak keluar dari apa yang telah diijmakkan seperti ijmak ulamak muslimin ismatul quran , keadilan para sahabat dan lain-lainnya.

b) Iltizam dengan imam yang telah dibaiahkan.

Iltizam pada masa ketiadaan imam yang dibaiahkan.

a) Berusaha untuk mengadakan imam muslimin

b) Iktizal sebagaimana datang hadis Huzaifah ( Muttafaqun alaih)

Jenis-jenis Jemaah

a) Jemaah sesat yang membawa perkara bidah , kekufuran dan syirik walaupun mereka menamakan diri mereka sebagai muslim juga.

b) Sekelompok orang Islam yang berhimpun atas imam atau suatu amal saleh.Walaubagaimanapun mereka mengambil sebahagian Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain. Mereka mengutamakan pandangan Imam mereka mengatasi Imam-imam yang lain walaupun bersalahan dengan nas. Ia mencampurkan amalan yang baik dan amalan yang buruk .

c) Jemaah yang diasaskan kepada petunjuk al quran dan assunnah mengikut fahaman para salaf . Mereka tidak berharakah melainkan di bawah hukum-hakam syarak.

Ciri-ciri jemaah Dakwah yang almasru’ah
a) Hendaklah beriltizam dengan al quran dan assunnah serta ijmak ummah.
b) Hendaklah tunduk kepada jemaah muslimin dan pemimpin yang dibaiahkan.
c) Tidak membawa kepada pecah belah ummat dengan membuat suatu pemerintaan autonomi lain kelaur dari jemaah muslimin.
d) Tidak mendahulukan maslahah individu jemaah keatas maslahah umum muslimin.
e) Tidak menyeru kepada taasub

c) Had ketaatan kepada pemimpin

Tiada jemaah tanpa ada taat . Walaubagaimanapun ketaatan yang diberikan hendaklah ketaatan bersyarat;
1) Tidak keluar dari garis ketetapan syara’
2) Tidak keluar dari syarat yang disepakati bersama dalam kontrak.

d) Islam yang diperjuangkan hendak dari segenap sudut tidak berkisar dari sudut-sudut tertentu.

e) Menjauhkan dari meletakkan sikap negatif terhadap amal dakwah.

f) Kewajipan meletakkan matlamat dakwah yang jelas.

g) Mengutamakan syura dalam membuat keputusan




5. Uslub Kita Dalam Berharakah

Selaku Harakah Islamiyyah, seharusnya meneliti dan menganalisa secara insaf dan sedar hakikat Da’wah Islamiyyah yang pertama dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. Di sana kita akan mengetahui bahawa kejayaan yang Allah s.w.t berikan kepada mereka itu setalah dianalisa berasaskan kepada tiga asas yang penting;-


i. Wudhuh Al Ghayah (matlamat yang jelas)
ii.Wudhuh At Tariq (jalan yang jelas)
iii. Al Iltizam Bihima (iltizam dengan kedua-duanya)

i. Wudhuh Al Ghayah

Matlamat asasnya telah disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam firman Nya :

Terjemahannya:

“Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaKu“
(Surah Ad Dzariaat : 56)


Oleh itu matlamat asasnya ialah perhambaan individu dan masyarakat kepada Allah s.w.t di mana-mana sahaja, masjid, pasar, pejabat, sekolah dan sebagainya didalam segala aktiviti manusia. Perhambaan ini dengan sendirinya menolak perhambaan kepada taghut. Maka segala usaha ke arah matlamat yang jelas itu adalah amat berguna dan dikehendaki oleh syara’.


ii. Wudhuh At Tariq

Jalan yang jelas ialah usaha-usaha ke arah melaksanakan syariat Allah s.w.t di bumi ini atau dengan lain perkataan ialah segala usaha untuk menempatkan syariat Allah s.w.t (Islam) di tempat undang-undang hawa nafsu dan taghut.

Islam menekankan jalan atau cara dan matlamat mestilah berlandaskan hukum syara’. Jalan yang diikuti oleh jamaah atau harakah Islam mestilah syara’ untuk menuju kepada matlamat yang syar’ie, kerana Islam tidak membenarkan formula yang palsu (Matlamat menghalalkan Cara) tetapi mestilah diikuti kaedah syara’, iaitu “ Al Ghayah La tubarriru Al Wasitah Al Wasilah “ ( Matlamat Tidak Menghalalkan Sebarang Cara atau Jalan ).

Jamaah Islamiyyah yang sebenarnya ialah jamaah yang berteraskan syara’ pada matlamat dan jalannya sekali. Dengan itu apa jua jalan atau wasilah yang dibenarkan oleh syara’ adalah harus digunakan seperti media massa, perjumpaan, perhimpunan , penulisan, uslub lemah lembut atau keras mengikut maslahah jamaah dari masa ke semasa dan lain-lain lagi.


Sebenarnya sirah Rasulullah s.a.w satu persatu membentuk satu dasar yang semestinya diikuti oleh angkatan-angkatan Islam di mana dan zaman mana saja mereka berada dalam usaha-usaha da’wah Islamiyyah. Rasulullah s.a.w telah membentangkan uslub atau cara yang selamat dalam usaha-usaha da’wah Islam dengan teknik yang unik. Asas-asas perjalanan da’wah Rasulullah s.a.w adalah dibahagikan seperti berikut :


a. Diistiharkan ‘Ubudiyyah (pengabdian) hanya kepada Allah s.w.t semenjak hari pertama lagi tanpa tawar menawar atau bertolak ansur dalam menerangkan hakikat ‘ubudiyyah itu agar matlamatnya terang dan jelas kepada penda’wah juga kepada orang yang dida’wahkannya. Semoga dengan ini akan terpisah golongan yang jahat dengan golongan yang baik. Firman Allah s.w.t :

Terjemahannya:

“ Katakanlah (wahai Muhammad), wahai orang-orang kafir, aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah, dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah, dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah , dan kamu tidak pula pernah menjadi penyembah apa yang aku sembah, Untukmu agama kamu dan untukku agama aku “
( Surah al Kafirun : 1 – 6 )

b. Mendirikan satu harakah (Tajammu’ Harakiyy) yang terikat di dalam satu ‘aqidah Iman kepada Allah s.w.t serta patuh kepada kepimpinan yang sedar dan faham Islam serta harakah tersebut berjalan dengan hidayah dan cahaya Allah s.w.t.


Satu gerakan yang tidak teraba-raba mencari jalan dan matlamat, tidak sibuk dengan perkara kulit atau ranting dengan meninggalkan perkara pokok atau matlamat da’wah sebenarnya. Satu gerakan yang terikat dengan Islam dan matlamatnya tanpa mengutamakan muslihat diri dan tujuan-tujuan duniawi, iaitu kumpulan contoh yang disaksikan kelahirannya oleh Arqam bin Abi Al Arqam empat belas abad yang lampau dibawah pimpinan Rasulullah s.a.w.

c. Menghadapi jahiliyyah keseluruhannya dengan penuh kesedaran dan kefahaman. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w amat faham bahawa tujuan da’wah Islam ialah untuk merubah keseluruhan hidup manusia daripada Jahiliyyah kepada Islam dalam pemikiran, ‘Aqidah, tingkah laku, tradisi, peraturan dan undang-undang mereka.



Untuk menghadapi perkara tersebut maka perlu menyediakan angkatan yang benar-benar beriman yang sanggup memikul amanah berat dan menghadapi cabaran yang besar dalam usaha-usaha mereka menuju matlamat yang suci. Kerana itu persediaannya adalah menyeluruh di dalam semua bidang, pendidikan, pemikiran dan ilmu pengetahuan, penyusunan harakah dan perancangan, latihan-latihan jihad, rohani dan jasmani dan segala bidang lain yang diperlukan oleh masyarakat dan Daulah Islamiyyah.


Inilah garis-garis contoh dan asas-asas perjalanan da’wah Rasulullah s.a.w yang sepatutnya kita mengambilnya sebagai model bagi menggerakkan Tanzim Haraki yang sama-sama kita libatkan diri dewasa ini. Semoga akan lahir natijah sepertimana natijah yang pernah lahir dalam generasi awal pimpinan Rasulullah s.a.w.




5. Haluan Tanzim Haraki

Sebenarnya tujuan dan matlamat tanzim haraki adalah cukup luas, seluas Islam itu sendiri. Modelnya telah diperlihatkan oleh Generasi Awal Al Quran al Karim di bawah pimpinan Madrasah Rasulullah s.a.w.


Hal ini termasuklah melaksanakan apa yang diseru oleh Islam atau mentatbiqkan (merealisasikan) hukum-hukum al Quran al Karim atau membangunkan Daulah (Ummah ) Islamiyyah dalam rangka mendapat meredhaan Allah s.w.t.

Oleh itu membentuk masyarakat Islam, di mana hukum-hukum Islam dapat dilaksanakan sepenuhnya menjadi objektif setiap anggota harakah islam dan sentiasa menjadi tumpuannya dalam kerja-kerja da’wah dan harakah. Segala kegiatan yang kita laksanakan hendaklah menjuruskan kepada matlamat pembentukan Ummah Islamiyyah yang terlaksana hukum-hukum Allah s.w.t sepenuhnya dalam kehidupan mereka.


Usaha-usaha dan tindakan kita perlu mengikut program dan kerja harakah ke arah pencapaian matlamat utama tersebut. Hendaklah kita sedar bahawa wasilah (jalan) adalah berada di belakang matlamat. Dalam hal ini setiap anggota harakah perlu memahami bahawa setiap tenaga dan usaha yang dicurahkan, juga setiap pengorbanan hendaknya insijam (serasi) dengan matlamat utama Harakah Islamiyyah.

Rujukan-rujukan:

1. ‘Amal Jamaie – Asy Syeikh Mustafa Masyhur/
2. Jalan Da’wah Antara Qiyadah dan Jundiyah – Asy Syeikh Mustafa Masyhur.
3. Kaifa Nad’u Ilal Islam – Fath Yakan
4. Maza Ya’ni Intima’ Lil Islam – Fathi Yakan
5. Abjadiyah Konsep Harakah ‘Amal Islami – Fathi Yakan
6. Gerakan Organisasi Da’wah dan Kesannya di dalam Masyarakat Kini – Ustaz Abdul Hadi Othman.
7. Da’wah Fardiyyah – Asy Syeikh Mustafa Masyhur.
8. Mafhum ‘Amal Jama’ie Dalam Kontek Pembentukan Murabbi Mithali – Ustaz Dahlan Mohammad Zin
9. Harakah Islamiyyah Suatu Tuntutan – Dr Yusuf Qaradhawi
10. http://my.opera.com/bicaraharaki/blog/show.dml/1666369
11. Maza Khasiral Alam bi inhitotil muslimin – Abul Hasan Ali An Nadawi

No comments:

Post a Comment