Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.
Benarlah kata orang keterbukaan, kesediaan mendengar dahulu sebelum mahu menyatakan setuju atau tidak adalah jalan yang benar. Keengganan kita mendengar dahulu meletakkan diri kita sebagai manusia yang 'ujub, yang takjub kepada diri sendiri dan merasakan kebenaran mutlak sudah benar-benar berada pada diri kita, dan orang lain salah dan sesat.
Sedangkan kita lupa ilmu kita terbatas, banyak yang kita tidak tahu. Dalam kesempitan ilmu kita, kita menyesatkan manusia dan enggan mendengar penjelasan mereka dahulu. Jangan baca buku itu, jangan baca buku ini, jangan dengar kuliah ustaz itu, jangan dengar kuliah ustaz ini. Itulah 'manhaj' kita. Kita lupa tatkala satu jari kita menuding bahawa orang lain taksub kepada tokoh mereka, taksub dengan mazhab mereka, fanatik, kita lupa empat jari sedang menunjukkan ke arah kita. Realitinya itulah berlaku, kita mengulangi sifat-sifat taksub orang-orang yang kita tuduh taksub, bahkan taksub dan fanatik kita lebih parah.
Kenapa perlu mendengar dahulu? Kerana kita pencari kebenaran, kerana kita tahu belum tentu kebenaran mutlak berada pada diri kita. Apa yang kita pegang sebagai benar pada hari ini, hanyalah berdasarkan ilmu yang kita ada pada hari ini. Sedangkan jika ilmu kita bertambah, ada kemungkinan kita akan semakin teguh dengan pendirian yang kita pegang selama ini, atau boleh jadi kita akan berubah arah kerana melihat kebenaran bukan pada apa yang kita pegang selama ini. Salahkah semua itu? Tak salah, bahkan itulah yang sepatutnya. Jika kita yakin dengan kebenaran, yakin bahawa diri kita memang mahu mencari kebenaran, jangan sesekali menutup telinga dan deria lain daripada mendengar dahulu.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment