Sunday, December 23, 2012

Rehlah Ke Konvensyen Sunnah 2012


Assalamualaikum w.b.t

Semalam, akhirnya aku jejak ke Dewan Pengajian al-Qayyim, Bukit Mertajam. Ya selepas dua tahun aku tidak ke sana. Sejak tahun 1 di UIA hingga ke tahun akhir, sekurang-kurangnya setahun sekali aku akan muncul di IQ, sama ada untuk Kem Solat, Konvensyen Sunnah dan sebagainya. Tetapi tahun lalu tidak berkesempatan.

Aku dan kawan-kawan naik keretapi dari KL Sentral seramai lebih kurang 10-11 orang. Sampai di Bukit Mertajam dijemput kawan-kawan IQ.


Sampai ke IQ, dalam kereta nampak Dr. Mohd Asri, beliau nampak aku beliau senyum. Turun kereta terus aku pergi kepada dia, bersalaman dengan dia bertanya khabar.

Aku kenali beliau secara face-to-face sejak di tahun 1, mula mendengar kuliah beliau sejak aku di matrikulasi UIA PJ.

Kenapa dalam apa-apa isu yang aku tidak setuju dengan beliau, penghormatan aku kepada beliau tidak hilang? Kerana aku bukan hanya kenal beliau di pentas ceramah, aku kenal beliau tatkala aku datang ke rumah beliau, minum bersama beliau, menaiki kereta bersama beliau, duduk sebilik hotel dengan beliau.

Tatkala dulu kami datang ke rumah beliau, beliau yang hidangkan makanan untuk kami, tuangkan minuman kami, sendukkan nasi untuk kami. Aku lihat rumah beliau, dan aku lihat pula pangkat beliau, aku belum mampu jadi sezuhud beliau dalam keadaan berpangkat yang selayaknya rumah yang lebih mewah beliau duduki.

Sampai di IQ, aku mencari Pak Long. Beliau adalah ayahanda Dr. Mohd Asri. Bila nampak kelibat Pak Long, aku terus jumpa beliau, salam, peluk. Setiap kali aku datang ke IQ, pasti ada ceritanya, kisah Dr. MAZA ketika kecil, kisah perjuangan kemerdekaan dan banyak lagi. Aku dapat tahu sebelum ini Pak Long uzur, tatkala berbual dengan beliau, memang tidak serancak dahulu lagi.

Paling penting, inilah bumi yang memotivasikan aku untuk buat kerja-kerja dakwah. Murabbi-murabbi di sini yang menaikkan 'spirit' aku untuk sebarkan dakwah kepada sunnah dan memerangi bid'ah khususnya.

Kali ini aku mahu berkongsi mutiara yang aku perolehi daripada pendakwah-pendakwah yang membentangkan dalam Konvensyen Sunnah 2012.

Dr. Ismail Luthfi:

Dr. Ismail Luthfi menasihati kita untuk mempertahankan perpaduan ummah dalam masa yang sama istiqamah dalam kebenaran.

Dr. Ismail mengingatkan dalam konsep 1 Ummah (Ummah Wahidah), ia merangkumi MUSLIMIN dan MUKMININ, mereka yang mahu ikut Sunnah secara keseluruhan mahupun yang terima sunnah sedikit, dan terima bid'ah sedikit, mereka yang taat dan jua pelaku maksiat. Kesemua ini terangkum dalam Ummah Wahidah.

Maka bagaimana mahu mengekalkan kesatuan Ummah ini dalam keadaan level iman yang pelbagai. Di sinilah hikmah dalam dakwah, istiqamah dalam prinsip. Sabar jangan sehingga dipijak-pijak, tegas jangan sampai memecahkan Ummah.

Dr. Ismail Luhtfi menggariskan dalam buku beliau "Dasar Hidup Ahlul Sunnah Wal Jamaah : Ummatan Wahidah" menggariskan 11 langkah untuk mencapai Ummatan Wahidah:

1- Belajar dan menuntut ilmu.

2- Beriman, beramal soleh, saling nasihat-menasihati.

3- Berakhlak mulia

4- Berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah.

5- Mempereratkan ikatan silaturahim dan saling mendamaikan jika berlaku perselisihan.

6- Setia (Wala') kepada sesama Muslim.

7 - Bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik.

8- Membersihkan hati

9- Berlapang dada dalam pendekatan

10- Berlembut dan pemaaf

11- Dakwah ke seluruh alam


Dr. Abdul Basith pula membentangkan tajuk : Memperkasa Ummatan Wahidah di Malaysia : Satu Tanggungjawab Bersama.


Beliau menggariskan beberapa langkah penting untuk mencapai kesatuan ummah, penyatuan saf, dan permuafakatan yang bersumberkan nas-nas syara' dan praktis generasi Salaf (generasi awal Islam 3 kurun pertama).

Pertama: Al-Inshof : Bersikap adil terhadap lawan atau orang yang tidak sependapat dengan kita.

Kedua: Mengambil kira manfaat dan kerosakan daripada tindakan-tindakan yang kita lakukan.

Ketiga: Memahami maksud sebenar yang disebut atau ditulis oleh orang lain.

Keempat: Memeriksa sebelum menerima sebarang berita

Kelima: Membebaskan diri daripada ikatan pengikut yang kadangkala melaga-lagakan dan merosakkan.

Keenam: Melazimi adab-adab syara' seperti bersangka baik, tunduk kepada kebenaran, menutupi kesalahan orang lain, dan mencari jalan menutup perpecahan.

(Memperkasa Ummah Wahidah (One Ummah) Di Malaysia : Satu Tanggungjawab Bersama - Dr. Abdul Basit Abdul Rahman

http://archive.org/details/MemperkasaUmmahWahidahDiMalaysia-Dr.AbdulBasith)


Bro. Kamaruddin Abdullah banyak berkongsi pengalaman beliau berdakwah kepada bukan Islam, dan menyatakan kekecewaan dan kekesalan dengan sifat-sifat sebahagian Muslim yang enggan berdakwah kepada bukan Islam. Beliau menyeru umat Islam agar menzahirkan identiti Muslim seperti janggut, kopiah, jubah, dan mengamalkan akhlak mulia, supaya tatkala bukan Islam melihat, mereka tahu bahawa kita adalah Muslim, dan orang Islam akhlaknya mulia.

Beliau menceritakan perasaannya apabila ayahnya meninggal sebagai seorang Kristian. Dia sedih kerana dia tahu tempat ayahnya di neraka.

Anugerah Tokoh Dakwah

Salah seorang tokohnya adalah Ustaz Abdul Wahab. 

Ustaz Abdul Wahab diserang stroke kali kedua pada Jun 2012. Sehingga kini beliau masih terlantar. Serangan stroke pertama pada 2008, selepas itu beliau lumpuh separuh badan.

Dengan tubuh yang lumpuh itu beliau masuk hutan, redah sungai, semata-mata mahu bawa Islam kepada penduduk dalam hutan, Utara Thai, Vietnam dan sebagainya.



Aku tidak sangka wajah yang aku temui bercakap tentang dakwah di atas pentas 2 tahun lalu, dengan tongkat, kasut but dan seluar askar, adalah seorang insan yang lumpuh separuh badan ketika itu.

Beliau dianugerahkan tokoh sunnah tempatan atas dakwah beliau.

Seorang lagi tokoh dakwah tempatan ialah Ustaz Zainal Abidin Zamzam. Beliau dilahirkan pada tahun 1933. Seorang tokoh awal dakwah di tanah air. Semalam disiarkan rakaman audio nasihat beliau :

Antara isi nasihat beliau ialah:

- Kemaskan tauhid
- Istiqamah solat wajib dan sunat
- Berakhlak mulia
- Jauhi melakukan onar
- Mengutamakan yang lebih utama

Beliau berkata: "Tiada kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan dalam batas-batas agama".

~~~~~~~~~~~~

Itulah serba ringkas perjalanan aku dan rakan-rakan ke Bukit Mertajam. Pertemuan yang menemukan aku dengan ramai sahabat-sahabat FB yang sebelum ini belum pernah aku bersua muka. Berborak-borak mengenali satu sama lain, sambil bertukar-tukar pengalaman dakwah dan idealisme.







No comments:

Post a Comment