Saturday, January 5, 2013

Mahu Kahwin Emak Tidak Bagi.


Assalamualaikum w.b.t

Sahabat,

Umur-umur seperti ini bicara tentang perkahwinan sesuatu yang menjadi topik yang sering disebut-sebut. Ke sana ke mari orang bertanya "Engkau bila lagi..." Seorang demi seorang sudah menjadi suami dan isteri, kita yang masih tidak menjalin apa-apa janji yang terpateri sering ditanya itu dan ini.

Sahabat,

Seorang anak lelaki, izin ibu bapanya bukanlah syarat sah nikahnya. Seorang anak lelaki mampu sahaja menikahi seorang gadis yang ibu bapa si gadis meredhai. Mudah bukan menjadi anak lelaki.


Sahabat,
Itu soal sah. Tetapi hidup kita bukan hanya soal sah sahaja. Hidup ini mahukan kebaikan, hidup ini mahukan keredhaan Tuhan. Hidup ini mahukan cinta Tuhan.



Sahabat,
Tuhan sudah memberikan pra-syarat. Untuk mendapat keredhannya, kita perlu mendapatkan keredhaan kedua ibu bapa kita. Itu antara syarat yang Tuhan berikan.

'Abdullah bim 'Amru r.a pernah berkata :

" رِضَا الرَّبِّ فِي رِضَا الْوَالِدِ ،

Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan ibu bapa

وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ "

Kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu bapa. [Sunan at-Tirmizi : 1818]

Sahabat,

Ibu bapa kita mungkin bukan orang yang cerdik pandai agama. Mereka mungkin bukan insan-insan yang mendalami dan memahami sunnah Rasulullah s.a.w.

Tetapi, mereka adalah insan yang mengenali kita sejak kecil. Mereka mendidik kita sejak kecil. Mereka mengasuh kita sejak kecil. Mereka sudah mengorbankan segala-galanya untuk kita.

Sahabat,

Ketika ibu bapa kita berkata TIDAK apabila kita mahu menikah, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Boleh jadi bukan mereka tidak bersetuju kita bernikah, boleh jadi bukan mereka tidak suka kita menikahi gadis solehah, boleh jadi bukan mereka tidak suka kita bahagia.... Tetapi boleh jadi mereka ada memendam rasa kepada kita.

Sahabat,

Ibu bapa kadang-kadang tidak menzahirkan apa yang mereka terasa, kecil hati mereka yang disimpan sekian lama.

Aku bukan bicara soal kalian sahaja sahabat, aku bicara soal diri aku.

Boleh jadi ibu kita terasa kerana kita jarang menghubunginya, dan boleh jadi dia takut kita mengabaikannya selepas kita menikahi gadis solehah yang kita cinta.

Fahamilah sahabat perasaan ibu kita itu.


Sahabat,

Usahlah didesak ibu kita untuk memberikan jawapan. Aku yakin tatkala kita mengucapkan perkataan "Emak, saya mahu nikah hujung tahun ini...." Ibu kita sudah mula memikirkan tentangnya, bahkan sebelum kita berkata-kata dia sudah memikirkan untuk kita.

Sahabat,

Berilah ruang masa untuk ibu bapa kita berfikir. Insha-allah, ada kebaikannya.

Sahabat,

Aku faham perasaan itu. Kita ternanti-nanti jawapan ibu bapa kita, adakah mereka setuju atau menolak. Jika menolak kenapa? Salahkah gadis yang aku pilih? Dia sempurna di mata aku, dia menyejukkan hati aku? Tatkala terfikir tentangnya bukan tentang nafsu, tetapi sabarlah sahabat-sahabat semua.

Boleh jadi penolakan ibu bapa kita bukan kerana gadis itu. Tetapi kerana diri kita sendiri.

Sahabat,

Mulakan langkah pertama. Langkah pertama itu ialah berkata kepada ibu bapa kita.

Aku menasihati kamu wahai sahabat semua. Jangan sesekali engkau membuka mulut bertanya kepada si gadis : "Sudikah engkau menerima ku menjadi suami mu.."  sedangkan engkau belum membuka mulut bertanya kepada ibu bapa mu "Izinkan saya bernikah....".

Kenapa?

Sanggupkah kalian menyeksa hati dan perasaan gadis yang kalian cintai, selepas kalian berikan harapan, tiba-tiba kalian menulis sms "Maafkan saya, ibu bapa saya tidak benarkan saya bernikah buat masa ini...". Disebabkan hal ini aku berkata, mintalah izin ibu bapa kita sebelum kita meluahkan cinta.

Sahabat,

Aku suka menasihati mu untuk bersedia menghadapi situasi yang paling mencengkam jiwa kita. Kita sudah mencintai gadis itu, wajahnya asyik terbayang di mana sahaja, hingga kita kadang-kadang terleka. Perasaan rindu melekat dijiwa. Tiba-tiba, ibu bapa kita berkata :"Ibu tidak izinkan engkau bernikah sekarang, fokuslah kepada pelajaran dan kerjaya engkau....".

Dunia umpama gelap wahai sahabat-sahabat semua. Tetapi, letakkanlah keredhaan Tuhan di hadapan kehendak kita. Letakkanlah kebenaran melebihi tuntutan batin kita.

Sahabat,

Aku menyelusuri fatwa ulama, akhirnya aku menemui jawapannya. Jawapan mereka berat untuk hati kita menerimanya sahabat, tetapi tunduklah, tunduklah dengan ketaqwaan. Pasti ada kebaikan.

Pewaris anbiya' berkata:

ينبغي أن يستأذن الرجل والديه في النكاح ، ويستشيرهما فيمن يريد خطبتها ، ويسعى لإرضائهما ، لما لهما من الحق العظيم عليه .

Hendaklah seorang lelaki itu memohon keizinan ibu bapanya untuk bernikah. Dia juga hendaklah berbincang dengan mereka tentang gadis yang mahu dia pinangi. Lelaki itu hendaklah berusaha mendapatkan keredhaan kedua ibu bapanya kerana mereka berdua mempunyai hak yang sangat agung,

فإن رغب في امرأة معينة ، وأمره والداه بتركها ، فينبغي أن يطيعهما ، ما لم يخش الوقوع في الحرام إن لم يتزوج من هذه المرأة المعينة .

Seandainya seseorang itu meminati seorang gadis tertentu, sedangkan kedua ibu bapanya menyuruh dia meninggalkan si gadis tersebut. Hendaklah dia mentaati kedua ibu bapanya. Dengan syarat dia tidak takut dirinya terjebak dalam perkara-perkara yang haram seandainya dia tidak menikahi gadis tersebut.

وقد صرح ابن الصلاح والنووي وابن هلال -كما ذكر العلامة محمد مولود الموريتاني في نظم البرور - بوجوب طاعة الوالد إذا منع ابنه من الزواج بامرأة معينة .

Imam Ibnu Solah, An-Nawawi, Ibnu Hilal (sebagaimana yang dinyatakan oleh al-'Allamah Muhammad Maulud al-Mauritaniyy dalam Nazm al-Baroor) menjelaskan bahawa wajib mentaati ibu bapa apabila dia menghalang anak lelakinya daripada menikahi wanita tertentu.

لكن إن خشي الوقوع في الحرام مع هذه المرأة ، كان درء هذه المفسدة مقدما على طاعة الأبوين.

Akan tetapi, seandainya lelaki tersebut takut dirinya terjatuh melakukan perkara-perkara yang bersama si gadis itu, maka dalam keadaan ini, menolak keburukan (iaitu zina) lebih didahulukan daripada mentaati kedua ibu bapa.

فإن كنت حريصا على الزواج من هذه المرأة فعليك إقناع والديك بأسباب اختيارك لها ، فإن وافقا فالحمد لله ، وإن أصرا على الرفض فالأحسن لك أن تطيعهما .

Seandainya engkau benar-benar mahu menikahi gadis tersebut, engkau hendaklah berusaha memujuk kedua ibu bapa mu dan menerangkan kepada mereka kenapa engkau memilih gadis tersebut. Seandainya mereka bersetuju, segala puji bagi Allah. Seandainya mereka mendesak mu untuk meninggalkan gadis tersebut, maka lebih elok untuk engkau mentaati mereka berdua.

ولا ينبغي أن يحزنك ذلك ، فإن الله جاعل لك بطاعتهما خيرا وتوفيقا ، ولا يخفى ما للوالدين من عظيم الحق والفضل الذي يستدعي شكرهما وبرهما والإحسان إليهما والتضحية بكثير من الملذات والمسرات لأجلهما .

Tidak sewajarnya hal tersebut menyedihkan diri mu. Sesungguhnya Allah menjadikan kebaikan dan keredhaan dalam ketaatan mu kepada mereka berdua. Bukanlah satu rahsia lagi bahawa kedua ibu bapa mempunyai hak dan kelebihan yang sangat agung. Ini semua menuntut untuk seseorang itu bersyukur kepada kedua ibu bapanya, berbuat baik dan ihsan kepada mereka berdua, bahkan ia menuntut kepada pengorbanan dalam banyak kehendak dan kemahuan demi mereka berdua. [Mawqi al-Islam: Sual Wa Jawab, fatwa no : 147100]
Sahabat,

Usah malu memohon kepada Tuhan. Bacalah dalam doa sujud mu permintaan agar Allah memberikan jalan yang terbaik, menunjukkan jalan yang terbaik. Seandainya engkau benar-benar mencintai dia. Tiada salahnya dalam sujud engkau, engkau berdoa:

“Ya Allah, jadikan aku dan fulanah bte fulan pasangan suami isteri. Mudahkan pernikahan kami. Jadikan ini jalan yang engkau redhai, lembutkan hati ibu bapa aku untuk mengizinkan aku menikahinya….” Mengadulah kepada Tuhan, sesungguhnya Dia tidak akan menghampakan hamba-hambaNya.

Apa pun keputusan yang engkau terima, redhalah, sabar lah. Sesungguhnya pasti ada kebaikan padanya.

Sahabat,

Menulis tulisan di atas sangatlah mudah. Mahu mempraktiskannya sangatlah susah, beban di jiwa hanya Allah yang tahu. Gelodak dirasa mampu membuatkan hati meronta-ronta sehinga mengingkari apa yang Tuhan mahukan daripada kita. Aku mohon sahabat-sahabat mendoakan aku agar istiqamah, dan menerima segala keputusan yang akan Tuhan berikan untuk permintaan aku. Berbaik sangkalah dengan Tuhan, berbaik sangka lah dengan ibu bapa kita. Adakah kita sanggup mengalirkan air mata ibu bapa kita yang telah membuktikan cinta mereka kepada kita, demi seorang gadis yang cintanya kepada kita belum terbukti dan teruji? Pasti jiwa yang sihat dapat memberikan jawapan yang tepat untuk persoalan ini.


________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

T : 013-2506391

4 comments:

  1. Alhamdulillah.. nice sharing ustaz..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih di atas perkongsian ilmu ini. Sangat bermakna dan membuka minda seseorang lelaki untuk muhasabah dirinya sendiri.

    ReplyDelete
  3. wow... menitis air mata... semoga sentiasa dalam redha Allah..

    ReplyDelete
  4. Mm.. Betul. SubhanAllah.

    Belajar benda baru daripada pewaris anbiya.
    Jazakallahu khayran for sharing.

    ReplyDelete