Assalamualaikum w.b.t
Semalam Ustaz Zulramli beri pengisian di Musolla Siti Maryam, beliau menyebut perihal lebah dan lalat. Lebah, pergilah ke pusat pembuangan sampah, dia akan cari yang wangi jua. Lalat, terbanglah ke kebun bunga, dia cari tahi ayam jua.
Maksudnya kita perlu jadi manusia yang sering lihat kebaikan, dan bukan mencari keburukan.
Selesai 3 minggu aku bersama Al-Ikhsan. Seronok, tertekan, gembira, sedih semua bercampur-campur.
Apa kaitan dengan kata-kata ustaz di atas.
Okey, aku masuk Al-Ikhsan, suasana kerja berbeza. Kawan-kawan aku berbeza. Jika di UIA, kawan-kawan aku ialah kawan-kawan yang akan pergi solat jemaah dengan aku, akhwat-akhwat Al Kahfi adalah akhwat yang sangat pemalu untuk sesuka hati dengan lelaki. Pendek kata, persekitaran aku terjaga.
Aku masuk satu dunia, keliling aku adalah kawan-kawan lelaki yang merokok, kawan-kawan sekerja perempuan yang tidak menutup aurat. Gelak tawa lelaki dan perempuan adalah satu perkara normal.
Bagaimana aku mahu lihat semua ini? Bagaimana cara aku nak hadapi semua ini? Bila masuk program team building, aku lihat pergaulan bebas lelaki dan perempuan, hati sakit, jiwa nak menangis. Inikah aku selepas bertahun aku pertahankan prinsip?
Tetapi akhirnya aku lihat, jika aku asyik lihat sudut negatif, itu yang aku akan dapat. Maksiat itu tetap negatif, tetapi jika terlalu tenggelam memikirkannya sehingga aku terlepas sisi-sisi positif dalam kehidupan aku sekarang.
Ya, pergaulan bebas berlaku, tetapi nasihat aku tidak dibalas caci maki, bahkan pihak atasan HR sangat suka dan akan mengkaji semua modul team building. Bukankah itu positif?
Ya, mereka merokok, tetapi mereka juga menjaga solat.
Ya, mereka mungkin kurang peka adab lelaki dan perempuan, tetapi mereka menghormati aku dan tidak mengajak aku buat perkara yang tidak sepatutnya.
Ya, semua itu ada, tetapi di manakah tempat kerja yang mewajibkan staffnya solat berjemaah Zuhur dan Asar ketika waktu bekerja?
Di manakah tempat kerja yang waktu solat itu termasuk waktu bekerja, bahkan pekerja digalakkan rehat jam 12.00 - 1.00 tengahari supaya tidak tergesa-gesa makan sebab mahu hadiri solat Zuhur berjemaah.
Aku tidak perlu ganti 30 minit yang digunakan dalam waktu kerja untuk solat keran solat itu adalah sebahagian kerja kami.
Jadilah lebah, kita hadir dan pergi meninggalkan kemanisan. Walau dicelah-celah keburukan, kita berusaha mencari kebaikan, dan berusaha mengubah keburukan menjadi kebaikan dengan semaksima kemampuan.
Teguhkan prinsip, istiqamah di atas jalan Allah, pandang dengan sudut positif, usahakan yang negatif menjadi postif, yang maksiat menjadi ibadat. Biarlah aku jadi lebah, datang membawa madu yang manis.
Ingatlah sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ini:
والذي نفس محمد بيده ان مثل المؤمن لكمثل النحلة أكلت طيبا ووضعت طيبا ووقعت فلم تكسر ولم تفسد
Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di tangan Nya. Sesungguhnya perumpamaan orang beriman itu seperti lebah. Ia hanya memakan yang baik-baik sahaja dan menghasilkan yang baik-baik sahaja. Apabila dia hinggap, tidak mematahkan atau merosakkan.
[Musnad Ahmad , Musnad 'Abdullah bin 'Amr, hadis no : 6872, Shaikh Syu'aib al-Arnouth berkata: Sahih Lighairihi dan Isnadnya dhaif]
________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services
No comments:
Post a Comment