Sunday, August 18, 2013

The Road Less Travelled (2)



Ummu Hajar
Semua orang mahukan kehidupan yang bahagia. Sanggup melakukan apa sahaja untuk mengecapi kebahagiaan. Apa sahaja unsur atau elemen yang ada potensi untuk mengancam cita-citanya dalam mencapai kebahagiaan akan ditolak, dan kalau boleh, diperangi habis-habisan. Antara elemen yang sering digambarkan menjadi sumber ancaman kebahagiaan manusia adalah poligami! Maka, tidak hairanlah kenapa begitu ramai yang menolaknya, memboikotnya malah memeranginya.

Manusia menjadi haru biru apabila mengejar kebahagiaan yang palsu. Apakah dia kebahagiaan yang palsu itu? Iaitu kebahagiaan yang digambarkan oleh media massa sebagai berkahwin dengan Mr. Right atau soulmate dan hidup dengan penuh romantis happily ever after. Sungguh mengharukan apabila ramai manusia sanggup bunuh diri kerana tidak dapat mencapai kebahagiaan palsu ini.

Apakah ada kebahagiaan yang hakiki? Tentu ada. Kekasih kita Rasulullah  صلى الله عليه telah memberikan gambaran yang jelas kepada kita ciri-ciri orang yang bahagia dengan bersabda:

عَنْ صُهَيْبٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ "
Suhaib r.a meriwayatkan: Rasulullah s.a.w bersabda: Sungguh menakjubkan urusan manusia beriman. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Hal ini tidak dimiliki kecuali oleh insan-insan yang beriman. Seandainya kesenangan menimpanya, dia bersyukur, maka itu baik untuknya. Seandainya keburukan menimpanya, dia bersabar, maka itu jua baik buatnya.
[Sahih Muslim : 5323]

Subhaanallah! Cukuplah satu hadis ini untuk membuatkan orang beriman itu menjadi insan yang paling bahagia hidupnya, senyuman sentiasa terukir di bibirnya dan keceriaan terlukis pada raut wajahnya. Rugilah orang yang tidak mahukan kebahagiaan hakiki ini malah masih mahu mengejar-ngejar kebahagiaan palsu.

Dalam kalangan orang sekeliling saya, kerap saya dengar mereka berkeluh kesah menceritakan masalah rumahtangga mereka. Dan mereka ini, semuanya tidak berpoligami, tidak berkongsikan Mr. Right mereka dengan wanita lain. Saya pula yang berpoligami ini tidak ada apa yang nak dikeluhkan. Apa sudah jadi dengan sifir yang mengatakan rumahtangga bahagia itu mesti satu suami satu isteri?

Alhamdulillah, suami saya seorang yang berilmu. Dalam apa jua bentuk perkahwinan, monogami atau poligami, sememangnya yang menjadi faktor utama kerukunan rumahtangga adalah ilmu yang dimiliki oleh pihak suami terutamanya dan pihak isteri juga sebenarnya. Hanya dengan ilmu baru kita dapat mempraktikkan pesanan berharga Nabi صل الله عليه وسلم itu.

Ilmu sangat penting ketika kita hendak menyusun prioriti. Semestinya seorang lelaki yang mempunyai dua isteri serta sibuk dengan aktiviti dakwah (dakwah itu seperti isteri ketiga dan yang paling dicemburui oleh isteri-isteri yang lain :-)) sentiasa perlu menyusun prioritinya dengan kemas. Dan suami saya memang jenis kemas! :-) Beliau sentiasa sahaja memikirkan hari-harinya, untuk memastikan semua tanggungjawabnya terlaksana sebaik mungkin sehinggakan jelas garis-garis kedutan di dahinya. Memang tabiat beliau, jika beliau berfikir mesti  berkerut dahinya.

Saya kerap berkata kepada rakan-rakan saya, jika saya ini lelaki, saya tidak akan sanggup untuk berpoligami melihatkan besarnya tanggungjawab yang suami saya pikul. Poligami itu sebenarnya kemudahan untuk wanita dan bebanan untuk lelaki. Hakikat ini akan dapat dilihat dengan jelas apabila seseorang itu sanggup membuka mindanya.

Mudah-mudahan Allah selamatkan saya daripada sifat riya; tetapi perlu saya tekankan di sini bahawa ilmu banyak membantu saya dan memudahkan saya menempuh ujian hidup yang datang dalam pelbagai bentuk. Apa sahaja status diri kita, sama ada single, bersuami, bermadu, ibu tunggal atau janda, ilmulah yang perlu kita jadikan teman rapat jika kita mahu hidup bahagia.

Ilmu itu pula bukanlah seperti bidang pengajian akademik yang terhenti setelah mendapat sijil tetapi ilmu yang saya maksudkan ini adalah ilmu untuk mengenal Allah sebagai Tuan kita dan mengenal diri kita sendiri sebagai hamba-Nya. Ilmu ini tidak ada sijilnya dan pencariannya pula tidak akan berhenti selagi roh masih bersama jasad.

Ini adalah link untuk salah satu artikel yang baik berkenaan topik bahagia. Baca dengan senyuman! :-) http://muslim.or.id/akhlaq-dan-nasehat/resep-hidup-bahagia.html

Di entri seterusnya, Inshaa Allah, saya akan kongsikan beberapa tips tentang poligami yang boleh digunapakai oleh suami, isteri yang ada dan juga bakal isteri. Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah ilmu. Walau sebanyak mana pun tips yang kita kumpulkan, tidak ada gunanya jika jiwa kita ketandusan ilmu.

________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

1 comment: