Sunday, April 20, 2014

Antara Cinta Dan Kebenaran

gambar HP putih menjadi bukti saya memang memiliki kedua-dua buku ini :) 


[Sebarkan Cinta MU (SCM) VS Sebarkan Kebenaran Mu (SKM)]

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Saya merupakan proofreader kepada buku SKM. Ketika mendapat tugasan ini, saya berkata kepada penulis SKM bahawa saya tidak akan melakukannya sehinggalah saya mengkhatamkan buku SCM. Ini kerana buku SKM merupakan sebuah buku yang menjawab kembali kekeliruan yang ditimbulkan dalam novel SCM.

INGAT!

Ini BUKAN nasihat kepada penulis SKM dan SCM. Penulis SKM bebas ditegur secara terbuka di FB, dan saya kenal beliau, dan beliau tidak kisah jika ada menegur tulisan beliau secara terbuka.

Bukan juga nasihat kepada penulis SCM kerana kerana penulis SKM sendiri telah menghantar tulisannya kepada penulis SCM sebelum dihantar kepada penerbit. Saya fikir buku SKM sudah cukup sebagai nasihat yang penuh hikmah dan bashirah kepada penulis SCM.

Lalu, komen saya untuk SIAPA?

Ya, komen saya ini untuk para pembaca yang suka membaca. Yang mahu memilih buku apa yang patut dibaca. Methodologi apa yang perlu ditempuhi ketika membaca. Apakah bentuk buku yang bagus dibaca. Dan siapakah penulis yang patut dijadikan sumber rujukan nasihat. Siapakah yang amanah dalam menyampaikan ilmu, dan siapa pula yang khianat...

Bermula komen saya......

Ya. Buku penulis SKM berpegang poligami adalah SUNNAH/MUSTAHAB/DIGALAKKAN/LEBIH AFDHAL bagi lelaki yang ADIL dan MAMPU. Manakala penulis SCM berpegang bahawa poligami hanyalah rukhsah, dan LEBIH AFDHAL untuk monogami.

Lalu? Mana lebih kuat? Saya dalam hal ini masih lagi 30-60, 70% hati saya lebih cenderung bahawa tiada yang afdhal antara keduanya, kedua-duanya adalah sunnah kerana perkahwinan adalah sunnah. Dan masih ada sisa 30% dalam hati saya bahawa pendapat ulama yang dipegang penulis SKM lebih kuat berdasarkan pembacaan hujah-hujah mereka. 

Untuk pengetahuan pembaca, melalui pembacaan saya, majoriti ulama empat mazhab berpegang bahawa monogami itu asalnya lebih afdhal daripada poligami. Hanya dalam kes tertentu baru poligami menjadi lebih afdhal. Ini adalah pendapat yang dipegang majoriti ulama mazhab seperti Imam al-Syafie dan ulama kontemporari seperti Shaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin. Manakala sebahagian kecil ulama silam seperti Ibn Hazm, ulama kontemporari pula seperti Shaikh Solah al-Khalidi, Shaikh Bin Baz, Shaikh Abu Ishaq al-Huwaini berpegang poligami lebih afdhal untuk seorang lelaki yang mampu dan adil.

Isu di atas tidaklah penting sebenarnya. Ini kerana tiada dalil jelas meletakkan keafdhalan salah satu di atas. Adakalanya hujah kedua belah pihak iaitu penulis SCM dan SKM sangatlah lemah. Kadang-kala saya ketawa sendirian melihat hujah-hujah yang dikemukankan dalam SKM dan SCM.

Antara hujah penulis SCM ialah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam lebih lama hidup bermonogami bersama Khadijah radiallahu 'anha iaitu hampir 25 tahun, dan selepas itu baru mula berpoligami. Manakala hujah penulis SKM pula ialah poligami lebih afdhal kerana ayat 3 surah al-Maidah yang menyatakan: Pada hari ini telah aku sempurnakan agama kalian untuk kalian...... diturunkan ketika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mempraktiskan poligami. Pandangan peribadi saya, melihat dua hujah ini sangat kaku dan tidak kena pada topiknya.

Hujah penulis SCM di atas sangatlah membuatkan saya tersenyum, hingga dahulu saya pernah menulis sebagai respon kepada hujah penulis SCM di atas: Jika begitu, kaum lelaki hendaklah menikahi wanita janda dan kaya sebagaimana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menikahi Khadijah radiallahu 'anha. Kemudian, hendaklah menunggu isteri itu meninggal dunia, lalu baru berkahwin dengan anak dara sebagaimana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menikahi 'Aisyah radiallahu 'anha. Lalu, anak-anak dara hendaklah jangan sesekali jatuh cinta dengan lelaki bujang, sebaliknya bernikahlah dengan lelaki duda yang kematian isteri yang mana isteri sebelumnya itu adalah janda kaya. Nampak atau tidak? Satu hujah yang lucu pada pandangan saya, akan membawa kepada hujah-hujah yang lebih lucu. Jika 'hujah tambahan' saya itu tidak boleh diterima, maka hujah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam monogami lebih lama itu juga hendaklah tidak boleh diterima.

Sesungguhnya hujah itu memang ada pada setiap pihak, tetapi adakah hujah itu benar-benar hujah atau ia hanya satu hujah yang dibina selepas kehabisan hujah, lalu melahirkan hujah yang kelakar sedemikian rupa.

Apa yang lebih penting?

Saya melihat  pertarungan SKM vs SCM lebih kepada taqwa vs tidak taqwa, iman vs kufur, taat vs maksiat, sahih vs palsu, amanah vs khianat.

Sudut penghujahan:

Penulis SKM lebih amanah dalam menyebutkan sumber. Menyebutkan sumber-sumber hadis yang disebutkan, sahih atau dhaif dan sebagainya.

Penulis SKM lebih berkredibliti dalam menukilkan kisah para nabi. Contoh kisah Nabi Ibrahim dan isteri-isterinya. Penulis SCM menukilkan riwayat al-Waqidi yang status periwayatannya dipertikaikan sebahagian ulama, bahkan isi kandungan riwayat itu bertentangan pula dengan kisah Nabi Ibrahim, dan isteri-isterinya yang ada dalam kitab hadis paling sahih iaitu Sahih al-Bukhari. Bahkan penulis SCM menambah pula ayat sendiri dalam penceritaan kisah ini sehingga boleh menimbulkan kesimpulan yang menimbulkan fitnah kepada Nabi Ismail dan keluarganya.

Penulis SKM tidak menggelar isteri yang berat hati berkongsi suami sebagai isteri kedekut, tidak beriman, ahli neraka dan sebagainya, sedangkan penulis SCM menggelarkan isteri yang rela berkongsi suami sebagai 'perempuan tidak normal'.

Penulis SKM disamping pendapat beliau berpegang poligami afdhal, telah menerangkan sudut positif dan negatif poligami, tanggungjawab seorang suami, kesilapan seorang suami dan menegur sesetengah ustaz yang menjadikan poligami bahan senyum jemaah lelaki di masjid dan bahan mengejek jemaah perempuan di masjid. Sedangkankan penulis SCM pula berterusan di dalam tulisannya menampilkan aspek-aspek negatif poligami.

Penulis SKM membantah tindakan suami yang curang kepada isteri semata-mata mahu berpoligami, dengan melakukan hubungan rahsia dengan wanita lain di belakang isteri sedia ada, sedangkan penulis SCM pula menuduh kebanyakan lelaki yang berpoligami sebagai mengikut hawa nafsu (perkahwinan monogami itu bukan ikut hawa nafsukah?)

Penulis SKM menjadikan rujukan tafsir muktabar seperti Tafsir al-Qurthubi untuk mencari sebab turun ayat poligami, disamping hadis-hadis sahih, sedangkan penulis SCM menjadikan sebuah buku terjemahan The Holy Quran oleh Ali Ashgar Engineer seorang pengikut aliran Dawoodi Bohra di India.

Apakah kesimpulan saya?

Buku SKM lebih bagus daripada SCM. Buku SKM lebih memiliki nilai ilmu daripada SCM, buku SKM lebih adil daripada SCM, buku SKM lebih amanah daripada SCM.

Cuma satu sudut SKM tewas kepada SCM. SKM gagal memainkan emosi pembaca sebagaimana yang dimainkan oleh novel SCM.

Untuk berlaku adil, saya mencadangkan pembaca komen saya ini membeli buku SKM dan SCM, untuk menilai kembali kebenaran komen saya ini. Pembaca bebas mengkritik komen saya ini di FB secara terbuka, dan boleh tag saya agar saya boleh membaca komen-komen tersebut.

Jika anda memilih untuk membeli salah satu buku sahaja. Maka saya secara jelas dan putus menyatakan bahawa Sebarkan Kebenaran-Mu karya Kapten Hafiz Firdaus Abdullah, seorang juruterbang, lebih BERNILAI untuk dibeli daripada membeli novel Sebarkan Cinta tulisan Ustazah Fatimah Syarha, lulusan Fiqh dan Psikologi UIAM Gombak.

Bagaimana mahu mendapatkan buku Sebarkan Kebenaran-Mu?

Boleh berhubung dengan isteri penulis Sebarkan Kebenaran-Mu, Puan Nurul Adni Adnan

Mesej kepada 013-3776878 (Puan Nurul) atau PM fb Nurul Adni Adnan https://www.facebook.com/nuruladni.adnan

Selepas membaca novel ini, saya teringat kembali seruan saya kepada teman-teman Muslimah saya yang sangat saya hormati, yang ada sedang membuat master dalam bidang hadis, ada yang sedang ditahun akhir bidang al-Quran dan as-Sunnah, ada yang Bahasa Arab, ada yang hafaz 30 juzu'. 

Saya seru kepada mereka: Kuatkanlah ilmu, luaskan pembacaan, kongsilah ilmu dengan Muslimah di sekeliling. Jadikan diri kalian sebagai sumber rujukan yang bernilai untuk mereka. Jangan biarkan kaum Muslimah tersalah pilih orang yang akan mengajarkan mereka agama, dan ajarilah agama ini dengan taqwa, dan bukan dengan emosi dan perasaan... dan pesanan akhir: Carilah suami yang akan membantu kalian melakukan dakwah, yang sanggup berkorban bersama dalam dakwah.

[Nasihat Buat Ustaz dan Ustazah Dalam Isu Poligami]

Saya ingin menegur para ustaz khususnya yang suka berlawak tentang poligami. Sehingga ke tahap ada yang berkata "Alah, isteri ini macam kasut, kalau bosan kita beli yang baru...." Saya rasa mahu penampar ustaz yang cakap macam ini. Emak kau macam kasut kah? Isteri kau macam kasut kah? Anak perempuan kau macam kasut kah? Ustaz-ustaz suka berlawak tentang poligami dalam kuliah-kuliah hingga jemaah lelaki tersengih-sengih keriangan, sedangkan jemaah Muslimah memendam perasaan sakit.

Saya nasihat, bacalah buku Sebarkan Kebenaran-Mu karya seorang penulis yang pro-poligami, dan praktis poligami dan mempunyai tiga isteri. Apa nasihat beliau kepada para ustaz? Nasihat beliau fahamkan masyarakat dan bincang isu poligami dengan cara terhormat, bukan dengan buat lawak-lawak bodoh tanpa ilmu seolah-olah perempuan itu hamba abdi. Come on lah ustaz!

Kita jangan cuba menafikan bahawa kewujudan ustaz sebegini melahirkan pula ustazah-ustazah yang tidak menyatakan mereka anti poligami, tetapi mereka menggelar isteri pertama yang redha dengan poligami sebagai perempuan tidak normal, perempuan yang menjadi isteri kedua, ketiga, keempat sebagai perempuan yang tidak pandai jaga diri dengan mendekati zina sehingga terpaksa kahwin dengan suami orang, melakukan generalisasi bahawa lelaki yang berpoligami itu kesemuanya pada asalnya telah curang dan menghampiri zina.

Wahai ustazah, bacalah ini, luahan hati seorang Muslimah yang berasa terhina dengan novel Sebarkan Cinta-Mu... Ya luahan seorang Muslimah, yang hatinya lembut seperti hati ustazah. Dia juga adalah kaum hawa tetapi dihina oleh ustazah sendiri...

Muslimah itu menyampaikan:
Assalamu'alaikum....
Saya ingin ucapkan terima kasih atas usaha penghasilan buku SKM. Saya terasa sangat-sangat terbela. Pernah suatu ketika dahulu, setelah membaca buku SCM, saya rasa tersangat-sangat sedih. Sebagai seorg wanita yg redha dengan poligami, saya rasa sangat terhina sekali. Tetapi itu beberapa tahun lalu, waktu itu juga saya berharap ada seseorang yang akan bangkit membetulkan hal ini.

Point yang akak mahu kongsikan ialah, novel SCM hanya membela nasib isteri pertama. Isteri kedua dan anak-anak mereka seolah-olah jadi second class, perosak keluarga.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nasihat saya kepada ustaz dan ustazah khususnya, serta semua manusia umumnya. Bertaqwalah kepada Allah. Kerana taqwa itu adalah benteng tidak kira anda membujang atau berkahwin, bermonogami atau berpoligami, isteri tua atau isteri muda, duda ataupun janda... Akhirnya taqwa yang akan membezakan kita semua.
________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

1 comment:

  1. Alhamdulillah syukur kpd Allah atas nikmat poligami yg mendidik nafsu

    ReplyDelete