Sudah lama saya tak berhadapan dengan kelompok Ahbash atau kelompok yang telah dipengaruhi oleh pendakwah-pendakwah Ahbash.
Tetapi, isu ini timbul semula.
Pertama, saya akui sebahagian ayat saya tulis itu mungkin menimbulkkan kekeliruan pembaca hingga ada sangkaan saya menghalalkan liwat, bahkan hal ini tempiasnya kena kepada guru kami Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Begitu juga, dengan mesej pendek saya dalam ruangan chat kenapa saya enggan takwil ayat sifat sebagaimana Imam an-Nawawi dan Imam Ibn Hajar. Lalu saya jawab saya mahu ikut Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebab setahu saya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak takwil. Jawapan itu akhirnya dimanipulasi sama ada kerana silap faham atau sengaja diputar belit, kononnya saya kafirkan Al-Imam Ibn Hajar.
ISU LIWAT.
Ringkasnya: Saya berpegang HARAM LIWAT ISTERI SENDIRI. Jika isteri sendiri pun haram liwat, maka orang lain lagilah haram. Jadi tidak perlu pusing-pusing kenyataan saya.
Forum itu sedang bincang isu apa saya tak ingat, sudah lama sangat.
Maka dalam forum itu saya hanya sekadar kongsi bahawa ada segelintir kecil ulama benarkan menggauli isteri pada duburnya. Saya hanya sebut ada pendapat ulama kata begitu, bukan maksudnya saya setuju.
Ya saya akui, saya silap, sebab dengan post sebegitu, manusia yang ikut hawa nafsu, akan ambil post saya, lalu berhujah bolehlah dia liwat isteri sebab ada ulama kata boleh. Dan post itu sendiri sudah jadi bahan fitnah sebab ada orang printscreen sehingga natijah yang tersebar ialah: Saya kata liwat halal, DrMaza kata liwat halal. Sedangkan saya berpegang ia haram, DrMAZA berpegang ia haram, bahkan petikan buku beliau itu, beliau masukkan isu liwat isteri dalam isu KHILAF YANG DITOLAK.
Lalu pihak forum nampak ada mudharat, ada orang akan ambil post saya kata ia halal, dan ada orang akan fitnah DrMAZA. Maka benda itu dipadam. Orang tanya kenapa tidak jawab di forum sahaja. Saya mahu tanya: Kalau kami jawab di situ pun, adakah orang yang screenshot akan sebarkan jawapan kami? Jika mereka mahu tahu jawapan kami, mereka boleh tanya dalam forum tu, boleh pertikai jawapan kami, dan tanya maksud kami, tetapi apa yang mereka buat ialah screenshot separuh. Sedangkan di bawah tulisan saya itu ada reply daripada rakan-rakan seforum yang menasihati jawapan saya bahaya, akan disalah guna. Dan saya akui benda tu silap saya, sebab walau saya pegang ia haram, orang akan manipulasi post saya.
Okey, di bawah ini ialah screenshot daripada buku Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bertajuk: Membela Islam: Tanggungjawab dan Disiplin.
Isu liwat isteri itu Dr. Mohd Asri letakkan bawah subtopik: CONTOH KHILAF YANG DITOLAK.
Isu saya kafirkan Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani:
Ya, saya akui ayat pendek saya itu menimbulkan kekeliruan hingga orang boleh faham saya kata Al-Hafiz Ibn Hajar kafir. Isu ini saya pernah jawab dahulu lagi, waktu baru timbul.
Ia berkaitan isu sifat-sifat Allah. Di mana Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani cenderung kepada aliran takwil dalam manhaj aqidah Asyairah. Saya cenderung kepada aliran isbatkan sifat tanpa takwil atau aliran itu sekarang dikenali sebagai salafiah.
Ringkasnya:
1- Saya berkeyakinan bahawa haram dan dosa besar bahkan murtad dan syirik sesiapa yang menyamakan Allah dengan makhluk.
2- Isu 1 di atas ialah isu pokok, di mana aliran Asyairah dan Salafiah setuju bahawa Allah tidak sama dengan makhluk.
3- Lalu, pada kaedah bagaimana mahu faham dalil berkaitan sifat Allah lah berlakunya pertembungan. Aliran Asyairah menyatakan bahawa perlu ditakwil agar tidak menyamakan Allah dengan makhluk. Manakala aliran salafiah menyatakan, kita tidak perlu takwil, sebab selama ini banyak sifat kita tetapkan tanpa takwil, dalam masa yang sama kita yakin ia tidak sama dengan makhluk. Contoh, sifat Allah mendengar, Allah melihat, Allah hidup. Semua sifat itu kita Imani tanpa takwil, maka aliran salafiah kata begitu jualah untuk dalil-dalil sifat Allah yang lain.
4- Sebab itu sebahagian ulama menyatakan perbezaan dalam isu 3 ialah isu furu’ aqidah. Kedua-dua aliran setuju Allah tak sama dengan makhluk.
5- Dalam hal sifat-sifat Allah ini, saya lebih cenderung kepada aliran Salafiah iaitu kita sifatkan Allah tanpa takwil, dalam masa yang sama kita berkeyakinan sifat Allah tidak sama dengan makhluk. Dan saya juga tidak mengkafirkan aliran Asyairah apatah lagi Imam Ibnu Hajar kerana saya berpegang ia isu furu’ Aqidah.
Saya selalu baca buku-buku ulama salafiyyin semasa. Mereka semua tak setuju dengan Imam Ibn Hajar dan Imam an-Nawawi dalam bab-bab sifat. Tapi ulama-ulama salafiyyoon ini berlaku adil. Ketidaksetujuan tak menjadikan mereka membakar kitab-kitab berharga karangan kedua-dua tokoh asyairah ini. Fathul Bari adalah antara kitab paling menjadi rujukan utama. Dekat Arab Saudi lagilah banyak pengajian kitab Bulughul Maram.
Saya petik sikit kata-kata beberapa tokoh salafiyyin di era kini. Apa komentar mereka kepada Imam Ibn Hajar dan Imam an-Nawawi.
Kata Shaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin:
“Sesungguhnya al-Imam an-Nawawi dan Imam Ibnu Hajar adalah dua ulama yang benar dan berjasa besar kepada umat Islam. Jika mereka pernah melakukan kesalahan dalam mentakwilkan teks-teks, maka hal itu tidak boleh mengabaikan keunggulan-keunngulan yang ada pada kedua-dua mereka. Kita tidak boleh menganggap bahawa pendapat mereka tidak berdasarkan ijtihad yang serius atau dengan takwil yang sebarangan meskipun dalam pendapat keduanya terkadang ada kesalahan, semoga Allah mengampuni mereka berdua. Untuk itulah apa yang mereka telah berikan (berupa ilmu yang tertuang dalam hasil karya), memang terdapat kegunaan dan kita harus mengakuinya. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya amal yang baik dapat menghilangkan amal yang jahat.” (Hud 11:114).
Apa yang kita lihat bahawasanya mereka berdua termasuk Ahlus Sunnah wa al-Jamaah, terbukti dengan cara mereka mengamalkan sunnah rasul serta merealisasikan apa yang ada di dalam sunnah tersebut. Akan tetapi mereka berbeza di dalam ayat-ayat sifat, hadith-hadithnya atau sebahagian lain tentang kebaikan Ahl as-Sunnah, maka kita mohon kepada Allah agar mereka tetap bermuamalah dengan keampunanNya.” (Kitab al-Ilm)
Apa pula kata Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani:
“Maka saya katakan, siapa yang menuduh seorang Muslim sebagai ahli Bid’ah, boleh jadi muslim itu ahli Bid’ah. Akan tetapi jika tidak, penuduh itu sendiri yang ahli Bi’dah. Ini adalah realiti yang saya sebutkan tadi. Sesungguhnya para pemuda kita membid’ahkan para ulama’ namun merekalah (para pemuda) yang terjatuh di dalam bid’ah.”
Kata al-Albani lagi:
“Oleh kerana itu kami menasihati para pemuda untuk berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah sesuai dengan pengetahuan mereka dan tidak menuduh orang lain di mana mereka tidak memiliki ilmu, kefahaman dan bahkan kemaslahatan. Seperti imam an-Nawawi, dan al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqalani. Kita katakan, berikanlah kami hari ini di dunia Islam orang-orang yang seperti mereka…”
“Adapun orang-orang yang disebut bersamanya seperti Imam an-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan selainnya. Demi Allah! Merupakan satu kezaliman jika mengatakan mereka sebagai ahli Bid’ah. Saya tahu bahawa mereka mengikut mazhab al-Asyairah, akan tetapi mereka tidak berniat menyalahi al-Quran dan as-Sunnah. Mereka mengikut kerana ada dua sebab: Pertama, bahawa (Abu al-Hasan) al- Asyaari mengatakan hal itu, sedangkan dia menyatakan hal itu pada masa awalnya dan sesudah itu dia menariknya kembali. Kedua, mereka menduganya betul sedangkan tidak.”
Sheikh Abd Allah al-Ghunaim ditanya: “ Apakah kesalahan seorang ulama dalam masalah-masalah aqidah mengharuskan untuk tidak mengambil faedah daripada ilmu dan buku-bukunya.?” Jawab sheikh al-Ghunaim:
“Tidak ada perbezaan antara kesalahan dalam aqidah mahupun furu’. Jika seorang manusia salah sedangkang dia adalah seorang mujtahid dan niatnya baik, maka dia dimaafkan dan mendapat pahala ijtihad. Ada pun jika dia tidak berhak berijtihad dan berbicara berdasarkan ketidaktahuan, maka ini tidak dimaafkan baik di dalam masalah aqidah mahupun yang lainnya. Sedangkan jika dia mengetahui kebenaran dan menyalahinya serta dia berniat untuk mengajak melakukan bid’ah-bid’ah yang besar misalnya, maka mereka itu berbeza dengan yang lain. Adapun jika maksudnya benar namun dia tidak diberi petunjuk padanya, maka dia seorang mujtahid yang tidak berniat melakukan apa yang dia lakukan. Kedudukannya seperti yang diungkapkan Rasulullah SAW: “Jika seorang hakim memutuskan perkara lalu dia berijtihad dan dia benar maka baginya dua pahala. Jika dia salah, maka baginya satu pahala dan kesalahan itu dimaafkan.” (Muzil al-Ilbas, ms 250)
{ dipetik daripada buku Hafiz Firdaus Abdullah, Marilah Berkenalan Dengan Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah, ms 147-153).
Semoga kita semua diberi petunjuk oleh Allah. Semoga lidah kita dan jari-jari yang menaip ini dipelihara daripada mencela para ulama. Semoga Allah memelihara kita daripada jenayah takfir. Semoga Allah mengmpunkan dosa-dosa kita dan seluruh umat. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua. Semoga Allah mengampunkan mereka yang menyebarkan fitnah ini. Amin! Amin! Amin!
Wassalam.
No comments:
Post a Comment