Tuesday, August 27, 2013

Permulaan Kehidupan Beragama

(seluar singkat)
Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Hari ini aku mahu menulis tentang transformasi kehidupan beragama yang aku lalui. Boleh jadi juga ia dilalui oleh ramai kawan-kawan di luar sana. Aku melihat ia satu gerak kehidupan yang normal.

Aku bermula sebagai kanak-kanak biasa. Pakai seluar pendek, malas pergi masjid. Didikan agama yang aku terima ialah di rumah. Emak aku mengajar aku mengaji. 

Ketika umur aku 11 tahun. Aku mula banyak ke masjid, kerana dipaksa emak aku. Pernah waktu Asar aku tengah tidur dan mengeliat kemalasan untuk ke masjid, emak aku memaksa juga aku bangun daripada tidur, dan solat di masjid. Keluarga aku keluarga biasa-biasa, bukan orang-orang kuat beragama, bukan juga keturunan ulama'.




Tatkala darjah 6. Aku melakukan satu transformasi ekstrim. Pemikiran aku menjadi ekstrim setelah membaca beberapa buku. Aku tidak mahu menyebutkan nama-nama buku tersebut kerana nanti disalah fahami. Aku mula memakai serban. Ia bukanlah satu perbuatan tercela. Ia mulia, mahu mencontohi pakaian nabi. Ekstrimnya aku, ketika itu aku membawa tasbih ke sekolah. Di sekolah aku jarang nak gelak-gelak dengan kawan aku. Kenapa? Kerana entah buku apa yang aku baca dia kata orang beriman jarang ketawa. 

Selalu bercakaran dengan rakan-rakan kerana aku asyik menegur mereka hatta benda yang tidak salah pun. Tapi kata orang, ekstrim tidak bertahan lama, ia kekal sementara sahaja. Lalu aku hanya bertahan menjadi ekstrim boleh jadi sebulan sahaja.

Aku kembali ke dunia asal, tetapi sudah menjadi rutin ke masjid, berserban. Ikuti kuliah di masjid. Masjid adalah madrasag agama ku. Aku tidak masuk sekolah rendah agama. Aku hanya belajar agama di masjid, mengaji waktu petang di rumah ustazah yang juga jiran aku. Di masjid aku mengaji kitab sehingga aku tamat sekolah menengah. Antara kitab yang aku pelajari ialah kitab Tasawwuf, tak ingat apa namanya, Tajul 'Arus lebih kurang begitu, Al-Hikam. Kalau kitab aqidah pula Usul Tauhid pun aku lupa siapa nama ulama' Melayu yang mengarangnya, Zadul Muta'alim pula kitab Fiqh. Dan adalah beberapa kitab lagi yang aku lupa namanya.

Kitab-kitab itu semua kitab jawi lama. Kertas kuning, tulisan kecil-kecil, tiada perenggan, tiada noktah. Di situlah pengajian agama aku.

Tingkatan 1 aku masuk Tunku Besar Secondary School (TBSS). Tiba-tiba lepas seminggu di sana, abah aku tanya, nak masuk kelas aliran agama tak di SMK Tampin. Aku okey sahaja. Abah aku guna kabel, orang lain masuk awal kena interview, aku masuk macam tu sahaja. Aku masuk seminggu lewat.

Aku buta Bahasa Arab, tulis nombor jawi pun tak betul. Ustazah-ustaz yang ajar ingat aku dulu sekolah rendah agama. Ustazah sebut "Qum" (maksud dia 'bangun'), aku tak faham. Aku pandang kawan sebelah, dia cuit aku, suruh aku bangun. Ooo baru aku tahu itu suruhan suruh aku bangun. Ustazah suruh aku tulis tarikh di papan hitam, waktu tu aku nak tulis nombor 6. Aku dah keliru, macam mana nombor 6 ni sebab dia adalah terbalik nombor 2 dalam jawi. Aku keliru mana satu 2, mana satu 6. Lalu silap tulis, 6 jadi 2. Ustazah pandang je, dia tak komen apa, dia padam lepas tu dia betulkan. Malu gila!

Ketika itu aku seorang fanatik Parti Islam. Bayangkan ruangan tazkirah di kelas aku, dipenuhi dengan tazkirah Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Cikgu hanya menggeleng kepala. Nak ditegur, aku degil semacam. Pantang PAS dicabar, aku bersuara. Pembentangan subjek agama di dalam kelas, mana yang dapat, aku tibai kerajaan, kawan-kawan aku pun ada yang bengang.

Di sekolah menengah tidak ada apa-apa yang baru. Cuma ustazah aku meminjamkan aku sebiji buku bertajuk "Mencari Khilafah Yang Hilang" tulisan Dr. Abdullah Azzam (semoga Allah mengurniakan beliau syahid). Aku tidak kenal siapa Dr. Abdullah Azzam. Ustazah memanggil aku, dia hulurkan buku itu dan suruh aku baca. Aku baca, menarik.

Saat itu, aku mula pula tertarik dengan kisah-kisah Mujahidin di Chechnya, Kashmir dan lain-lain. Ketika itu hidup aku macam biasa, minat aku tidak mengubah diri aku. Aku seperti budak lelaki yang lain ketika itu. Gila dengan game komputer. Aku sibuk main game FIFA walau PMR dah dekat. Sampai bila cikgu tanya apa rahsia dapat 9A PMR, aku jawab selamba 'Main FIFA'.

Masuk tingkatan 4. Aku dah gila internet, selalu godek-godek info-info agama dalam internet. Lalu tersangkut aku di laman al-ahkam.net. Aku mula kenal bid'ah sunnah. Aku tertarik pula. Waktu tu aku dah mula praktis sendiri-sendiri, waktu tingkatan 5 aku dah mula solat gerak-gerak jari waktu tasyahud, sampai kawan aku naik pelik.


-Paling kanan-
Paling zahir, ketika tingkatan 5, lambang Islam yang aku pertahankan ialah janggut aku. Cikgu dok paksa cukur, aku boleh buat bodoh sahaja. Hanya aku cukur bila nak duduk peperiksaan SPM, takut tak boleh masuk dewan exam. Sedihnya, cikgu-cikgu yang suruh cukur ialah Melayu, yang buat tak kisah ialah cikgu Cina yang selalu cakap tentang Islam dengan aku. Ustaz-ustazah diam sahaja, menyuruh cukur tidak, menggalak bela janggut pun tidak.

Ketika tingkatan 5 juga aku dilantik menjadi ketua pelajar, mengambil alih tampuk kepimpinan yang beberapa kali berubah kerana masalah disiplin. Di situ konflik bermula, dalam jahil-jahil aku, aku cuba Islamisasi badan pengawas. Aku ditentang geng-geng lama. Masakan tidak, mereka sudah lama menjadi pengawas, sedangkan aku baru, dan tiba-tiba terus naik jadi ketua. Siapa nak ikut cakap aku?

Dalam orientasi pengawas, mereka beri pengawas baru gelaran-gelaran, aku tidak setuju. Aku kata itu tidak Islamik, sebab menghina. Mereka kata itu sudah dilakukan sejak dahulu. Aku bantah. Mereka tetap tak ikut kata aku. Seminggu sebelum orientasi bermula, aku membuat pengumuman, semua mesti pakai pakaian menutup aurat. Pengawas junior ikut, sekali pengawas senior perempuan pakai baju lengan pendek. Aku tegur dalam mesyuarat, mereka membantah. Waktu itu pengetua, cikgu-cikgu semua ada. Aku bertegang urat dengan pengawas yang membantah, cikgu-cikgu terdiam, aku panas hati.

Pengawas-pengawas senior mendapat arahan agar aku tidak dilibatkan dalam aktiviti orientasi. Aku hanya berkuasa ketika di dalam surau, ketika tazkirah, dan ketika solat. Pengawas senior dengan nama gelaran digantung di leher masuk ke surau, dipaksa memakai tag itu sepanjang masa termasuk solat. Aku keluar arahan, waktu solat aku tak nak nampak semua tag tu. Waktu itu fikiran aku ialah punya tak senonoh waktu solat pun nak gantung nama-nama gelaran yang hodoh di leher.
Lalu, dalam badan pengawas aku selalu clash dengan pengawas-pengawas lama. Tetapi ada beberapa orang yang selalu sokong aku, kesemuanya perempuan.

Di zaman itu juga, pengawas mula memberi tazkirah di perhimpunan. Aku selalu diberi tugas bertazkirah kepada pelajar Muslim dan Non-Muslim. Sekolah aku masyarakat majmuk. Itu mungkin satu peluang yang Allah berikan pada aku, hinggakan tazkirah aku berisi ayat al-Quran dan al-Hadis dipuji penolong kanan yang bukan Islam, katanya walau ia datang dari sumber Islam. Isi kandungannya adalah universal. Syukur pada Allah sebab jadikan aku bijak memilih isi tazkirah. Aku banyak fokus pada akhlak, adab sehingga tazkirah itu non-Muslim boleh terima walau isinya wahyu Ilahi. Ada sekali, selesai perhimpunan, dua pelajar perempuan India datang jumpa aku, dia kata "Saya suka tazkirah abang tadi, bagus", aku senyum sahaja, tak tahu nak jawab apa.


Selain aku, sahabat sekelas aku juga bangun bertazkirah di pentas perhimpunan. Alhamdulillah, aku rasa ia sebenarnya petunjuk Allah agar kami semua memilih jalan dakwah di masa hadapan walau wadah yang berbeza. Zaman itu juga ada cikgu asyik memerli aku, sebab aku ketua pengawas, tetapi langgar undang-undang sekolah setiap hari. Tahu undang-undang apa? Larangan bela janggut.
-Kata-kata aluan dalam majalah sekolah-


-Gambar kontroversi dalam majalah sekolah. Ketua Pengawas berjanggut. Ia jadi isu, kelam kabut semua, nak tarik balik majalah sudah diedarkan-
(bersambung)

Sambungan (1 Januari 2013)


Di zaman sekolah, aku merupakan pembaca ta'lim di masjid Aleyah Kg. Kuala Ina. Setiap petang aku akan usahakan tiba di rumah sebelum Asar, kerana selepas solat Asar aku akan membacakan hadis-hadis nabi s.a.w daripada kitab Fadhail A'mal.


Yang 'train' aku ialah senior aku. Dia budak kampung aku jua, dia Karkun (Tabligh). Dia yang ajar aku pakai seluar singkat atas buku lali bila solat. Selepas itu aku baca dalam komik apa entah, kartun itu sebut pakai seluar bawah buku lali itu pakaian Yahudi.


Sejak hari itu aku terus pakai seluar singkat. Seluar sekolah aku gulung supaya tidak bawah buku lali. Cikgu-cikgu main perli kata sekolah banjir ke? Kawan perempuan aku pernah perli aku, dia cakap : Tidak payahlah nak ikut sunnah sangat!


Tetapi 'alim-alim' kucing itu aku ada awek jua. Budak perempuan ini aku kenal sejak aku tingkatan 1 lagi. Satu kelas dengan aku, tetapi aku tidak pernah berbual dengan dia. Aku ada emel dia, tetapi tidak pernah berhubung.

-salah seorang daripada di atas adalah si DIA-
Hinggalah keputusan PMR keluar. Aku tanya result dia. Dia jawab, sejak hari itu kami mulai rapat. Sampai ke satu tahap setiap minggu kami akan saling hantar e-mel antara satu sama lain. Hinggalah pada bulan April 2003. Aku emel dia cakap dekat dia aku suka dia. Sekali dia pun suka dekat aku.

Waktu itu keadaan makin parah, kami saling berhubung antara satu sama lain melalui emel hampir SETIAP HARI. Cinta beruk kami diketahui rakan-rakan. Ustaz, ustazah, cikgu sekolah semua tahu. Kisah cinta yang popular di sekolah.


Sebenarnya sampai ke hari ini ada sesuatu yang aku sesali, kenapa tidak ada seorang ustaz atau ustazah yang datang kepada aku, dan beritahu aku apa yang aku sedang lalui itu haram. Termasuk mendekatkan diri kepada zina. Ya, tiada seorang pun nasihati aku. Bahkan semua macam redha pula, boleh siap perli-perli aku dengan dia waktu di sekolah. Pendek kata cinta kami kekal sampai peperiksaan percubaan SPM 2004. Maksudnya cinta monyet itu berjalan selama setahun setengah.


Bila putus, frust menonggeng. Aku bila ingat balik akan ketawa seorang-seorang. Macam mana bodohnya kami berdua ketika itu. Layan jiwang karat gila-gila. Tetapi di sekolah itu kamilah yang paling Islamik. Nauzubillah! Aku selalu bagi tazkirah di perhimpunan sekolah, dia pun sama.


Waktu itu kawan-kawan aku ramai ada boyfriend dan girlfriend. Benda itu normal untuk kami. Akhirnya Allah putuskan jua hubungan kami selepas bergaduh kerana selisih faham.


Aku dan dia kekal kawan biasa.....


Tamat SPM



Zaid, Aiman, Aku

Aku kerja dengan ayah aku. Ayah aku kontraktor kecil, jadi aku buat kerja-kerja kontrak. Cangkul tanah, angkat simen. Cuma ayah aku tidak benarkan aku buat kerja-kerja yang perlu penelitian contoh ikat batu, pasang marmar. Jadi aku lebih banyak buat kerja-kerja kasar. Gaji ayah aku bayar RM 20 sehari. Kawan-kawan aku Dzafaruddin dan Zaid pun kerja dengan ayah aku jua.


Aku pernah tolong ayah aku bina bengkel kereta, buat longkang masjid, cat parking masjid, pasang batu dekat tiang masjid. Tempat paling lama aku kerja ialah di TANAH KUBUR. Ayah aku dapat kontrak bina pondok letak barang-barang di kubur, aku pun ikut sama. Setiap hari pergi kubur. Kerja aku angkat simen, batu bata, sebab kubur itu atas bukit, tiada jalan untuk kenderaan, jadi semua kena angkat manual guna kereta sorong.


Mula Menjadi Salafi


Sambil-sambil kerja itu aku diajak oleh seorang pakcik di kampung aku untuk pergi ikut dia mengaji di Brisu.  Kami mengaji di Madrasah Darul Hadis Brisu dan di markaz-markaz PAS sekitar Alor Gajah. Aku sempat mengaji kitab Aqidah Wasathiah dan Fathul Majid, tetapi sekejap sahaja. Sebab apa sekejap?

Aku mengaji di madrasah Salafi/Wahabi/Kaum Muda. Jadi aku terikut-ikut dengan style mereka. Kemuncaknya apabila aku jadi imam di masjid aku baca basmalah perlahan. Pernah aku jadi imam, lepas aku beri sahaja salam, seorang jemaah bangun dan menyatakan solat semua tidak sah kerana mazhab Syafie menyatakan wajib Basmalah baca kuat. Ketika itu umur aku baru 18 tahun, bayangkan, aku terdiam seorang diri di sejadah imam.


Orang kampung tidak berani tegur apa yang aku buat. Tetapi mereka mula menceritakan hal itu kepada ibu bapa aku. Sejak hari itu, ayah aku putuskan aku tidak boleh lagi mengaji di Brisu. Sebab macam-macam benda pelik aku buat. Sedih tidak terkira. Tetapi silap aku.


Waktu itu aku sudah aktif dengan mailing-list Alfikrah. Aku cerita hal itu. Ramai kawan-kawan senior AlFikrah seperti Tuan Hasan Tuan Lah (THTL), Doktor Imraan (Abulwafaa) menasihati aku jangan gopoh. Mereka kata aku perlu fokus menuntut ilmu, jangan buat benda-benda pelik yang menaikkan kemarahan orang kampung.


Walaupun mengaji sekejap, benda itu melekat dalam jiwa aku. Sebelum aku mengaji di situ sebenarnya aku sudah mula terpengaruh dengan aliran Salafi. Ketika di sekolah lagi aku sudah solat dengan jari aku digerak-gerak ketika tasyahud. Ini semua hasil pembacaan aku di internet. Laman web salafi Indonesia www.almanhaj.or.id aku sudah kenal sejak aku tingkatan 5. Laman web Al-Ahkam, mailing-list AlFikrah, laman web Kapten Hafiz Firdaus semua aku layari sejak zaman aku sekolah.


Ketika itu majalah I adalah majalah kesukaan aku. Setiap bulan aku beli guna duit belanja sekolah yang ayah aku beri. Ketika itu juga nama Dr. MAZA, Kapten Hafiz Firdaus sedang meningkat naik. Aku membaca tulisan-tulisan mereka. Aku mula tertarik. Aku menonton VCD debat Dr MAZA VS Astora Jabat ketika aku masih sekolah menengah. Debat itu berlangsung di Dewan Pengajian al-Qayyim, sebelah rumah Dr. MAZA.


Semua pembacaan ini mula membentuk otak aku. Aku sudah mula tidak hadir kenduri arwah, tidak hadir majlis bacaan Yasin malam Jumaat, tidak hadis majlis berzanji di masjid. Pemikiran Sunnah dan Bid'ah sudah melekat semakin kuat dalam otak aku selepas SPM.


Buku Pedoman Bermazhab Kapten Hafiz Firdaus aku baca ketika aku baru habis SPM. Buku beliau Jihad di Jalan Allah ketika aku di tingkatan 5.


Ibu bapa aku tidak kisah aku habis duit beli buku. Lepas SPM, duit gaji aku, habis aku gunakan untuk beli buku sahaja.


Hinggalah akhirnya aku dapat tawaran ke UIA. Aku kecewa, aku apply IRK, tetapi yang aku dapat ekonomi.


Aku cerita kepada kawan-kawan di Alfikrah, mereka nasihati aku, sampai di Matrik PJ, aku kena cari Ustaz Mazslee Malek.


(bersambung)


Sambungan 27 Ogos 2013


Ketidak setujuan ibu bapa terhadap manhaj yang aku pegang tidak melunturkan keyakinan aku. Masakan bisa aku luntur ketika mana keyakinan ke atas manhaj salafi adalah kerana keyakinan pada hujah, keluar dari kelompok taksub dan fanatik.
Aku melangkah masuk ke matrikulasi UIAM di Petaling Jaya. Aku sebenarnya memohon untuk mengambil jurusan Ilmu Wahyu, tetapi akhirnya ekonomi yang aku dapat.

http://motivasiminda.files.wordpress.com/2007/02/maszlee_malik_2.jpg
Di bumi matrik, orang pertama yang aku kenal ialah al-Fadhil Ustaz Maszlee Malek. Sebenarnya pada minggu pertama aku sudah jumpa beliau, cuma aku tidak mengenalinya. Ketika itu beliau ragging aku. Aku masuk ke pejabat IRK tanpa memakai tali leher, lalu dia menyuruh aku memakai tali leher, selepas itu baru membenarkan aku masuk ke dalam pejabat untuk urusan tertentu.


Aku hanya mengetahui itu Ustaz Maszlee tatkala mana menghadiri kuliah hadis 40 yang beliau sampaikan. Lalu aku menjadi murid tetap yang menghadiri kuliah beliau.

Aku memulakan kerja dakwah aku seorang diri. Ketika itu Nisfu Sya'ban atau Isra' Mi'raj (aku tidak ingat mana satu), aku bekerja menampal poster menghuraikan bid'ahnya beberapa amalan di malam tersebut. Natijahnya, ketika aku memasang poster terakhir, dengan dibantu seorang rakan yang baru dikenali, aku ditahan fellow kolej kerana menampal poster tanpa keizinan pihak berwajib.

Di situ aku bermula. Aku mula dibawa ke kuliah-kuliah yang disampaikan oleh Dr. Mohd Asri di Masjid Bulat Petaling Jaya, di masjid al-Ghufron TTDI, dan sebagainya.

Semester kedua, aku dipelawa seorang sahabat menyertai Mahallah Representative Council (MRC). Kami ditempatkan di dalam satu dorm, agar mudah kami bermesyuarat. Kami terdiri daripada pelbagai aliran, Tablighi, Ikhwani, PAS, ABIM, Salafi dan sebagainya. Kami merancang pelbagai program tarbiah. Aku ditugaskan menguruskan kuliah-kuliah. Kami juga terlibat dalam program Pro-Palestin.

http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash1/hs502.ash1/29717_10150184372690531_594025530_12792002_6358716_n.jpg
Kenangan Ketika Palestinian Week di matrik UIA PJ
Ketika itu, seminggu dua kali iaitu setiap hari Isnin dan Khamis kami menganjurkan majlis berbuka puasa secara berjemaah di Mahalah Abu Bakar.

Ketika itu juga, ada sahabat-sahabat mengajak aku menyertai aliran Haraki/Ikhwani, menyertai usrah, tetapi entah hati saya ketika itu tidak berminat.

Isu Wahabi/Salafi meletus di Matrik PJ lantaran seorang penceramah di masjid yang sangat tegar memerangi aliran ini, bahkan hingga ke tahap memaki dan memberi gelaran-gelarang yang buruk ketika berceramah di masjid.

Kemuncaknya, pendokong aliran ini di matrik PJ menganjurkan majlis di dewan UIA PJ dengan mengundang tokoh yang disebut tadi, dan seorang tokoh yang berkongsi idea yang sama, tetapi terkenal dengan kelembutan dan tawadhu'nya.

Aku kepanasan. Aku membuat risalah, bahkan aku dan beberapa rakan lain bertanyakan soalan yang gagal dijawab kedua tokoh tadi. Cuma malam itu memberikan sedikit kesan negatif kepada aku. Boleh jadi kerana terlalu marah, aku meninggikan suara ketika mengemukakan fakta membantah pembohongan kedua-dua ahli panel di dalam majlis tersebut. Aku dilihat kurang ajar. Ia, memang silap aku. Alhamdulillah, rakan-rakan aku yang lain bertanya dan mempersoal fakta dengan penuh adab sopan.

Kesan selesainya majlis itu, aku dipanggil fellow mahalah kerana beliau mendapar laporan tindakan aku malam tersebut.


(Bersambung)

________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

T : 013-2506391

1 comment: