Saturday, July 13, 2013

Maksud Hadis 'Puasa Itu Milik Aku'

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :  ” كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : ” إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي ، لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ : فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ، وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ ” .
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Setiap amalan anak adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu syahwat dan makan minum kerana Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada wangian kasturi.  [Sahih Muslim, Kitab Puasa, Bab Fadhilat Puasa, hadis no:1952]
Kenapakah Allah membezakan antara puasa dan ibadah yang lain? Kenapa pahala ibadah puasa suatu yang misteri, tidak disebutkan jumlahnya?

Pendapat pertama: Puasa itu Sabar
Mari kita lihat ayat al-Quran yang berikut:
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.
[az-Zumar 39:10]
Persamaan yang ada pada hadis qudsi dan ayat di atas ialah ganjaran pahala puasa sama seperti ganjaran sifat sabar, iaitu pahala tanpa batas. Lalu apakah hubungan puasa dengan sabar itu sendiri. Terdapat banyak penafsiran ulama kenapa pahala puasa itu wujud tanpa batas.
Persoalan ini terjawab apabila kita melihat sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
عَنْ رَجُلٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ ، قَالَ : عَدَّهُنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَدِي أَوْ فِي يَدِهِ ، التَّسْبِيحُ نِصْفُ الْمِيزَانِ ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ يَمْلَؤُهُ ، وَالتَّكْبِيرُ يَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ، وَالصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ ، وَالطُّهُورُ نِصْفُ الْإِيمَانِ
Seorang lelaki daripada Bani Sulaim berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengira-ngira dengan tangannya; Tasbih (Subhanallah) itu separuh daripada timbangan mizan, Alhamdulillah pula memenuhi timbangan itu, Takbir (Allahuakbar) pula mengisi apa yang ada antara langit dan bumi. Puasa itu separuh daripada kesabaran. Bersuci itu separuh keimanan. [Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat (Doa), hadis no: 3465, hadis hasan]
Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menghuraikan dalam Lathoif al-Maarif:
يكون استثناء الصوم من الأعمال المضاعفة فتكون العمال كلها تضاعف بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف إلا الصيام فإنه لا ينحصر تضعيفه في هذا العدد بل يضاعفه الله عز و جل أضعافا كثيرة بغير حصر عدد
Amalan puasa terkecuali daripada amal-amal yang dilipat gandakan. Kesemua amalan yang lain digandakan pahalanya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Sesungguhnya pahala puasa tidaklah dibataskan gandaan pahalanya, bahkan Allah akan menggandakan pahalanya dengan gandaan yang banyak tanpa ada batasan.
Kata Al-Imam Ibn Rajab lagi:
والصبر ثلاثة أنواع : صبر على طاعة الله و صبر عن محارم الله و صبر على أقدار الله المؤلمة .وتجتمع الثلاثة في الصوم فإن فيه صبرا على طاعة الله و صبرا عما حرم الله على الصائم من الشهوات و صبرا على ما يحصل للصائم فيه من ألم الجوع و العطش و ضعف النفس و البدن و هذا الألم الناشىء من أعمال الطاعات يثاب عليه صاحبه
Sabar itu ada tiga jenis: (Pertama) Sabar dalam mentaati Allah. (Kedua) Sabar daripada melakukan perkara yang Allah haramkan. (Ketiga) Sabar atas segala musibah yang mendatang. Ketiga-tiga jenis sabar ini berkumpul dalam ibadah puasa. Dalam ibadah puasa terdapat kesabaran dalam mentaati Allah, sabar dalam menghadapi perkara yang Allah haramkan ke atas orang berpuasa daripada nafsu syahwatnya, dan bersabar atas apa yang akan menimpa seseorang yang berpuasa seperti kelaparan, dahaga, lemahnya tubuh badan. Semua penderitaan ini yang berpunca daripada ketaatan kepada Allah akan membuahkan pahala kepada pelakunya.
Gandaan pahala puasa tanpa batas di atas hakikatnya umum untuk semua jenis puasa tidak kira dalam bulan Ramadhan atau pun luar Ramadhan. Lalu, jika di luar Ramadhan digandakan tanpa batas, tanpa ragu lagi, pahala puasa Ramadhan berganda-ganda lebih besar.
Al-Imam Ibn Rajab menukilkan beberapa kalam ilmuan Islam dalam hal ini:
و ذكر أبو بكر بن أبي مريم عن أشياخه أنهم كانوا يقولون : إذا حضر شهر رمضان فانبسطوا فيه بالنفقة فإن النفقة فيه مضاعفة كالنفقة في سبيل الله و تسبيحة فيه أفضل من ألف تسبيحة في غيره
Abu Bakar bin Abi Maryam meriwayatkan daripada guru-gurunya bahawa mereka pernah berkata: Apabila masuknya bulan Ramadhan, bergembiralah dengan bersedekah. Sesungguhnya sedekah pada bulan Ramadhan iti digandakan pahalanya seperti pahala yang orang di jalan Allah. Tasbih dalam bulan Ramadhan lebih afdhal daripada seribu kali tasbih di tempat lain.
قال النخعي : صوم يوم من رمضان أفضل من ألف يوم وتسبيحة فيه أفضل من ألف تسبيحة و ركعة فيه أفضل من ألف ركعة فلما كان الصيام في نفسه مضاعفا أجره بالنسبة إلى سائر الأعمال كان صيام شهر رمضان مضاعفا على سائر الصيام لشرف زمانه و كونه هو الصوم الذي فرضه الله على عباده
Imam an-Nakhaie pula berkata: Puasa sehari di bulan Ramadhan lebih baik daripada puasa seribu hari. Bertasbih dalam bulan Ramadhan lebih afdhal sebanyak seribu kali bacaan tasbih. Satu rakaat solat dalam Ramadhan lebih afdhal daripada seribu rakaat di luar sana. Ibadah puasa itu sendiri secara zatnya menggandakan puasa pelakunya berbanding amal-amal yang lain. Berpuasa di bulan Ramadhan lebih afdhal daripada segala jenis puasa. Ini kerana kemuliaan waktu itu (iaitu bulan Ramadhan) dan kemuliaan puasa yang Allah wajibkan ke atas hamba-hambanya.
Pendapat kedua: Puasa Ibadah Rahsia Seorang Hamba dan Tuhan
إن الصيام سر بين العبد و ربه لا يطلع عليه غيره لأنه مركب من نية باطنة لا يطلع عليها إلا الله و ترك لتناول الشهوات التي يستخفي بتناولها في العادة …….
Puasa itu adalah rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya. Tiada seorang pun tahu yang dia berpuasa atau tidak kerana ia bergantung kepada niat hatinya. Tiada yang mengetahui kecuali Allah. Seorang hamba itu (apabila berpuasa) dia meninggalkan kehendak nafsu syahwatnya yang mana kebiasaannya dia secara sembunyi-sembunyi melakukannya.
 فإن من ترك ما تدعوه نفسه إليه لله عز و جل حيث لا يطلع عليه غير من أمره و نهاه دل على صحة إيمانه و الله تعالى يحب من عباده أن يعاملوه سرا بينهم و بينه
Sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan kehendak nafsunya kerana Allah, bukan kerana yang lain. melainkan kerana suruhan dan larangan Allah. Ia menunjukkan betapa murninya keimanan dia dan Allah cinta kepada hamba-hambaNya yang bergaul denganNya secara rahsia antara mereka dan Allah.
و أهل محبته يحبون أن يعاملوه سرا بينهم و بينه بحيث لا يطلع على معاملتهم إياه سواه حتى كان بعضهم يود لو تمكن من عبادة لا تشعر بها الملائكة الحفظة
Orang yang mencintai Allah suka agar hubungan cintanya berlaku secara rahsia antara mereka dengan yang mana tiada seorang pun yang mengetahui tentang hubungan mereka.  Sehingga sebahagian mereka suka jika ibadah mereka tidak diketahui oleh malaikat yang mencatat amalan.
Pendapat ketiga: Pahala Puasa Tidak Terhapus Sebagai Kafarah Dosa
Al-Imam Ibn Rajab berkata:
و أما على الرواية الثالثة : فالإستثناء يعود إلى التكفير بالأعمال.
Pengecualian puasa daripada ibadah-ibadah lain adalah berbalik kepada persoalan kafarah kepada dosa-dosa yang dilakukan.
Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra merekodkan ulasan Al-Imam Sufyan bin Uyainah kepada hadis di atas:
Seorang lelaki telah bertanya kepada al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah:
يَا أَبَا مُحَمَّدٍ فِيمَا يَرْوِيهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ : كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ” ،
Wahai Abu Muhammad! Terangkan kepada aku tentang hadis nabi sallallahu ‘alaihi wasallam daripada Allah: Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik aku dan akulah yang akan membalasnya.
فَقَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ : هَذَا مِنْ أَجْوَدِ الأَحَادِيثِ وَأَحْكَمِهَا إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ يُحَاسِبُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَبْدَهُ ، وَيُؤَدِّي مَا عَلَيْهِ مِنَ الْمَظَالِمِ مِنْ سَائِرِ عَمَلِهِ حَتَّى لا يَبْقَى إِلا الصَّوْمُ فَيَتَحَمَّلُ اللَّهُ عَنْهُ مَا بَقِيَ عَلَيْهِ مِنَ الْمَظَالِمِ ، وَيُدْخِلُهُ بِالصَّوْمِ الْجَنَّةَ .
Al-Imam Ibn ‘Uyainah menjawab: Ini merupakan hadis yang paling pemurah isi kandungannya. Apabila berlakunya hari kiamat, Allah akan menghisab amalan hambanya. Kezaliman akan dihukum dengan semua amalan pelakunya dijadikan kafarah kepada dosa kezaliman tersebut tanpa tinggal sedikit pun kecuali puasa. Lalu Allah bertolak ansur dengan pahala puasa yang berbaki daripada kezaliman tersebut. Lalu pelaku kezaliman itu dimasukkan ke dalam syurga kerana pahala puasa tadi.
Imam Ibn Rajab lalu menyimpulkan:
: أن الصيام لله عز و جل فلا سبيل لأحد إلى أخذ أجره من الصيام بل أجره مدخر لصاحبه
Sesungguhnya puasa adalah milik Allah. Tidak ada jalan bagi seorang pun untuk merampas pahala puasa. Bahkan pahala puasa itu akan kekal bersama pemiliknya.
Sumber:
Lathoif al-Maarif oleh Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali (Maktabah Syamilah)

________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

No comments:

Post a Comment