Tuesday, August 27, 2013

Cinta Itu Buta (Benarkah?)

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Sudah lama tidak update blog. Dapat cuti raya 6 hari. Merayau-rayau menziarahi keluarga sebelah emak dan abah. Soalan common, "Sudah kahwin kah belum?".

Jumpa kawan-kawan. Hampir semua sudah kahwin, bahkan sudah beranak pinak. Saya dan Aiman saling pandang memandang "Boringnya, raya tahun ini. Kawan semua sudah kahwin.."

Ada juga yang dalam proses, bergelak ketawa, tetapi akhirnya di sebalik ketawa riang dia, ada tersembunyi perasaan kecewa, duka.





Ada kawan saya, jatuh cinta dengan seorang doktor praktikal ketika dia jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Rupa-rupanya, doktor praktikal itu jiran kawan saya itu, rumah dia dekat belakang rumah kawan aku. Maka pendek cerita, kawan saya dan keluarganya meminang si gadis doktor praktikal ini.

Maka, pendek lagi cerita:

1- Keluarga perempuan 'demand' RM 20 ribu.
2- Pihak lelaki minta kurang, keluarga perempuan degil. Akhirnya dapat kurang jadi RM 12 ribu.
3- Kawan saya cakap dekat si gadis ini, mana dia ada duit banyak itu. Keluarga gadis ini pula kata anak kami 'medical doctor'.
4- Akhirnya berlaku pertemuan kali kedua antara ibu bapa kawan saya dan ibu bapa si gadis ini. Hasil ketegasan ibu kawan saya, dapt kurang lagi jadi RM 11 ribu.
5- Balik rumah si gadis ini kena marah dengan keluarga dia sebab tak hadir pertemuan kali kedua, ayah dia kata 'kenapa tak datang tadi, tak pasal-pasal tadi kena kurang lagi RM 1 ribu.

Bila dengar cerita ini, saya dan seorang lagi kawan saya saling pandang memandang. Ada sesuatu kami mahu katakan tetapi tidak terkeluar dari kerongkong kami.

Saya tanya kawan saya: Kau ada apa-apa nak cakap ke? Kawan saya tunjuk isyarat ada tetapi dia kata: Hmmm tak apa lah.

Saya kata: Aku rasa kau nak cakap benda yang sama aku nak cakap.

Saya tanya kawan saya yang sedang hadapi bakal mertua yang minta RM 20 ribu tadi:

Engkau cinta sangat-sangat ke dekat gadis doktor itu?

Kawan saya jawab: Tak pun, minat macam tu sahaja. Masalahnya mak aku suka sangat kat dia.

Saya: Engkau kena sedia, engkau masuk dalam keluarga dia dalam keadaan penuh konflik macam ini. Kalau kau benar-benar sayang kat doktor itu tak mengapa, tetapi kalau kau pun bukan gilakan sangat doktor itu, nasihat aku lagi elok engkau blahh je.

Kawan: Itulah, masalahnya emak aku suka kat dia.


Saya: Hmm susah jua.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kadangkala kita fikir kisah cinta kita lebih complicated, rupa-rupanya ada lagi yang lebih berbelit-belit kisah cintanya.

Seorang sahabat saya lagi, sudah beberapa bulan proses taaruf beliau dengan keluarga si perempuan, sudah bertemu dengan ibu bapa perempuan, bahkan ibu kedua-dua belah pihak sudah saling bertemu bahkan sudah menjadi kawan. Mereka sudah saling berkenalan... Tetapi sebelum sahabat saya itu memulakan langkahnya untuk melamar si gadis, saya pernah menasihati beliau:

"Fikir betul-betul, sudah bersediakah fizikal, mental, kewangan, ilmu..."
"Kalau kau sudah mulakan langkah ini, nasihat aku jangan sesekali berpatah balik.."
"Jangan kecewakan dia. Perempuan hatinya lain, mereka sangat setia. Jika kau sudah berani berjumpa ibu bapanya, cintanya akan bertambah kuat. Jangan tinggalkan dia tanpa sebarang sebab, jangan batalkan apa yang kau sudah mulakan sesuka hati, ada hati yang yang akan kecewa nanti..." (bukan dialog sebenar tetapi inilah lebih kurang nasihat saya)

Lalu, Syawal kali ini. Aku mendapat tahu hubungan mereka sudah diputuskan.. Si lelaki mahu fokus kepada belajar dan menghafaz al-Quran. Aku? Terdiam. Lalu aku mengulangi nasihat yang sama kepada si lelaki tadi. Itu hak beliau, cuma aku mengingatkan apa yang pernah aku sebut dahulu. Perempuan itu adalah adik seseorang, anak seseorang. Kita juga pasti tidak suka perkara yang sama dilakukan kepada adik atau kakak kita.

Tetapi, sekurang-kurangnya sahabat saya mengundurkan diri selepas berasakan diri tidak bersedia daripada sudut kewangan, dan dia jua berhasrat untuk menamatkan hafazan al-Quran. Ya, kesungguhan sahabat saya untuk menghafaz al-Quran sangat kuat. Bahkan, dia meminta keizinan ibu bapa untuk extend pengajiannya di UIA kerana mahu tamatkan hafazan al-Quran dengan seorang shaikh di UIA. Lepas mengetahui hal ini, saya hubungi jua sahabat perempuan tadi melalui rakan-rakannya, dan melalui emel. Mahu tahu bagaimana keadaan dia. Kita tahu, cinta kadang-kadang buat manusia buta. Tetapi alhamdulillah, kedua-dua sahabat saya ini, lelaki dan perempuan, orang yang kuat mengaji agama, menghadiri majlis ilmu. Mereka menerima itu sebagai qadha' dan qadar Allah. Alhamdulillah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Seorang sahabat yang Hafizah mencari seorang lelaki yang juga Hafiz. Sungguh sukar untuk membantu. Beliau aktivis dakwah. Sudah pasti yang dicari lelaki yang berjiwa dakwah jua. Ya, ramai lelaki soleh. Ramai lelaki berilmu. Tetapi untuk mencari lelaki yang menepati pakej ini : Akhlak Baik + Berpegang Kepada Manhaj As-Sunnah + Berilmu + Mempraktiskan Islam dalam kehidupan + Aktivis dakwah + Hafiz al-Quran..

Pasti ramai berkata: Jangan memilih sangat! Semudah itu berkata. Beliau Muslimah berilmu, Muslimah yang sudah dilatih menjadi aktivis masyarakat khususnya dalam dakwah sesama Muslimah. Beliau memerlukan seorang suami yang memahami dakwahnya, seorang suami yang jua aktivis dakwah agar mereka dapat bersama-sama membentuk masyarakat, di samping kewajipan kepada keluarga.

Sebagai insan yang bergerak bersama-sama Muslimah ini dalam aktiviti dakwah, saya kira sangat sedih jika beliau akhirnya menikahi lelaki yang tidak memahami aktivismenya, lelaki yang tidak memahami kenapa si Muslimah ini perlu menyibukkan diri, meluangkan masa, memenatkan badan untuk mendidik Muslimah-Muslimah yang lain.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Complicated bukan? Kerana itu saya, sangat tidak sedap hati apabila orang sekeliling bila melihat kami yang bujang ini, dan Muslimah-Muslimah yang masih dara ini, mereka dengan senang berkata:

1) Kenapa tidak menikah. Itu sunnah. Enta tak mahu ikut sunnah kah?
2) Jangan memilih sangat, terimalah seadanya.....
3) Rezeki di tangan Allah, Insya-Allah lepas nikah Allah murahkan rezeki (apabila kita menjawab kewangan belum kukuh).

Soalan-soalan ini mungkin di tanya untuk berbasa-basi, tetapi ia akhirnya hanya melukakan jiwa sahabat kita sendiri. Setiap insan ada cerita mereka yang sendiri, mereka mungkin senyum, ketawa dengan soalan yang diajukan, tetapi boleh jadi ceria mereka untuk menyembunyikan kecewa yang ada dalam jiwa.

~~~~~~~~~~~~~~~~~

POLIGAMI??


Satu isu yang sensitif. Saya baru khatam buku Sebarkan Cinta-Mu susunan Ustaz Fatimah Syarha, dan saya sedang melakukan proof-reading buku Sebarkan Kebenaran-Mu susunan Kapten Hafiz Firdaus Abdullah. SKM merupakan buku yang menjawab SCM khususnya dalam bab poligami.

Jujurnya, sudah lama saya tidak membeli buku karya Kak Fatimah Syarha. Buku terakhir dibeli ialah Pemilik Cinta-Ku Selepas Allah dan Rasul. Tetapi kali ini, saya membeli jua SCM kerana untuk berlaku adil dalam proses proof-reading.

Tidak mengecewakan. Buku SCM Kak Fatimah sarat dan padat dengan ilmu dan fakta. Saya mungkin berbeza pandangan dengan beliau dalam bab poligami ini. Ringkasnya, Kak Fatimah berpegang ia hukum asalnya sekadar harus/mubah sahaja, dan lebih utama satu suami satu isteri. Manakala saya berpegang bahawa poligami hukum asalnya adalah sunnah/digalakkan. Ia memang isu yang diperdebatkan ulama'. Cuma kita semua sepakat, ia akan kembali kepada syarat yang Allah berikan. ADIL.

Kapten Hafiz ada menulis sebuah buku ringkas berkaitan poligami

Hanya sahaja, saya suka jika kaum lelaki menghentikan gurau senda dalam bab poligami, terutamanya para ustaz. Ia sangat menyakitkan hati kaum Hawa. Berbincanglah bab poligami dengan ilmu dan serius agar ia lebih dihormati. Jangan tambahkan persepsi negatif itu dengan kita yang suka berlawak tentangnya. Isteri-isteri nabi sallallahu 'alaihi wasallam turut saling cemburu antara satu sama lain. Jadi, itu memang fitrah perempuan untuk suaminya adalah miliknya sahaja. Jadi raikanlah cemburu mereka ini dengan tidak menjadikan isu poligami sebagai bahawa gelak tawa. Jika mahu bercakap tentangnya, cakaplah dengan penuh hormat dan ilmu.

Allah sudah takdirkan, dalam keluarga saya ada pengalaman poligami yang zalim, dan ada poligami yang adil. Allah takdirkan jua sekeliling saya ada pengamal poligami yang soleh-soleh serta isteri-isteri yang menerima poligami. Jadi sudut pandang saya sedikit berbeza, sedangkan jika melihat apa yang berlaku kepada kakak saya, saya sewajarnya membenci poligami.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sungguh cinta itu buta. Tetapi itu bukan matlamat kita. Jangan jadikan ia sebagai gandingan kepada Allah,




________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

2 comments:

  1. Perkongsian yang mantap.

    Dan, nasihat yang (Y);

    "Fikir betul-betul, sudah bersediakah fizikal, mental, kewangan, ilmu..."

    "Kalau kau sudah mulakan langkah ini, nasihat aku jangan sesekali berpatah balik.."

    "Jangan kecewakan dia. Perempuan hatinya lain, mereka sangat setia. Jika kau sudah berani berjumpa ibu bapanya, cintanya akan bertambah kuat. Jangan tinggalkan dia tanpa sebarang sebab, jangan batalkan apa yang kau sudah mulakan sesuka hati, ada hati yang yang akan kecewa nanti..."

    ReplyDelete
  2. Kisah yang baik untuk dijadikan teladan. Memang complicated kalau isu cinta ini yang penuh berliku. Kembali kepada asas. Agama

    ReplyDelete