Friday, November 22, 2013

Pemuda Janggut Panjang, Seluar Singkat...


Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

“Potonglah janggut itu biar pendek, nampak tua sangat…”[1]

“Memanglah sunnah, tetapi kalau orang susah nak dekat dengan kita buat apa ?...”

“Kau tak segankah pakai seluar singkat atas buku lali ini, ramai ulama kata harus kalau tidak riak..”[2]

Ini semua dialog-dialog yang sering aku dengari. Ibu bapa aku antara yang pernah menegur soal janggut ku. 


Pernah disuruh pendekkan kerana janggut ku tebal. Kadang-kala mereka memberikan contoh ustaz-ustaz dalam televisyen yang berjanggut nipis.

Mereka menyebutkan pula nama seorang ilmuan tempatan yang sangat aku hormati, janggutnya jua tipis. 

Tatkala ia diucapkan, aku hanya senyum dan ketawa sahaja.

Sehinggalah satu saat emak berkata: “Potonglah janggut tu, tengok Dr XXX nipis sahaja, handsome…”

Lalu aku sambil berseloroh menjawab: “Janggut nabi lagi lebat emak…”[3]

Emak berkata: “Itu nabi…”

Aku menjawab sambil ketawa: “Sebab itu kita kena ikut nabi…”

Emak diam.

Aku tahu. Pasti akan ada berkata, mentaati ibu bapa itu wajib, bela janggut itu sunat (bagi yang berpegang ia sunat, saya berpegang ia wajib).

Emak pernah menegur seluar aku yang dipotong atas buku lali. Aku lebih banyak mendiamkan diri, dan kadang-kala baru aku menjawab: Makruh seluar labuh, nabi sallallahu ‘alaihi wasallam larang…”
~~~~~~~~~~~~
Sifir sunat vs wajib itu sangat mudah didendang. Tetapi jika ia semudah itu, Shaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin tidak akan bersusah payah menerangkan tentang hukum I’tikaf di masjid jika ibu bapa tidak benarkan. Kesimpulan beliau, jika I’tikaf itu menyebabkan ada tanggungjawab kepada ibu bapa terabai, maka tinggalkan, jika ibu bapa saja-saja larang tanpa sebarang alasan, tidak wajib ditaati. (baca di sini http://lobaitampin.blogspot.com/2011/08/wajibkah-taati-jika-ibu-bapa-larang.html)

Ia lebih kepada persoalan cinta, taat dan sensitiviti beragama kita.

Sesuatu yang kecil umpama makan dan minum dengan tangan kanan, tetapi ia adalah sesuatu yang besar bagi insan yang mencari redha Tuhannya.

Sensitiviti ini bukan sekadar hadir dengan ilmu, tetapi ia hadir dengan rasa kehambaan dan kecintaan. Berapa ramaikah daripada kita yang mengetahui sekian banyak ayat al-Quran dan sekian banyak sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi praktis kehidupan kita jauh bezanya.

Kita boleh jadi seorang pelajar aliran agama, tetapi minum dengan tangan kiri.[4]

Kita boleh jadi seorang hafiz/hafizah 30 juzuk al-Quran, tetapi pandangan tidak ditundukkan ketika melihat bukan mahram, dan dibela dengan 1001 alasan untuk memudahkan komunikasi.[5]

Tanpa dinafikan, segala yang saya sebut di atas, sebahagiannya adalah isu yang ulama feqah perbahaskan. 

Tetapi, kenapa perlu mempertahankannya untuk diri sendiri, hatta tatkala ibu bapa menyuruh sebaliknya, kerana boleh jadi seseorang itu rasa ‘berdosa’ menukar ganti redha Allah dengan redha ibu bapa. Ia adalah manifestasi kepada cinta kelas pertama, ia merupakan bukti pengorbanan seorang hamba, ia merupakan lambang ketundukan kepada yang Esa. Bukanlah isu besar janggut, seluar singkat, makan dan minum tangan kanan. Tetapi sebab dan kenapa sesuatu itu dilakukan itulah yang menjadikan sesuatu yang kecil di mata manusia tetapi besar di sisi Tuhan.

Hingga akhirnya kita wajar bertanya: Redha siapakah yang kita cari ?

'Aisyah radiallahu ‘anha menulis kepada Mu'awiah radiallahu ‘anhu:
مَنِ الْتَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَاءِ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ
Sesiapa yang mencari keredhaan Allah hinggakan manusia marah kepadanya, cukuplah Allah yang melindunginya daripada manusia tersebut. Sesiapa mencari keredhaan manusia sehingga mendapat kemurkaan Allah , maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia tersebut.
[Sunan at-Tirmizi : 2352]



[2] Isbal merupakan istilah kepada pakaian yang labuh melebihi buku lali. Boleh baca perbahasannya di sini

[3] عَنْ أَبِي مَعْمَرٍ ، قَالَ : قُلْنَا لِخَبَّابٍ : " أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ ؟ قَالَ : نَعَمْ ، قُلْنَا : بِمَ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ ذَاكَ ؟ قَالَ : بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ

Daripada Abi Ma’mar, kami bertanya kepada Khabbab: Apakah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam membaca di dalam solat Zuhur dan Asar. Jawabnya: Ya. Kami bertanya lagi: Bagaimana kalian tahu hal tersebut? Khabbab menjawab: (dengan melihat) pergerakan janggutnya. [Sahih al-Bukhari: 708]

[4]
عَنْ جَدِّهِ ابْنِ عُمَرَ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ
 "

‘Abdullah Ibn ‘Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kalian makan, makanlah dengan tangan kanannya, apabila dia minum, minumlah dengan tangan kanannya. Sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya. [Sahih Muslim : 3771]

[5] قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ……
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan". (30) Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya

1 comment:

  1. Alhamdulillah satu semangat yg kuat
    Smoga mnjdi inspirasi buat saya utk ttp
    Brpegang dijln sunnah

    ReplyDelete