Wednesday, August 6, 2014

#Pray4Gaza #Boikot

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Tiada hati manusia yang beriman akan redha melihat saudara seIslam di Gaza diserang sebegitu rupa. Manusia yang beriman umpama bangunan, umpama satu tubuh badan, satu sakit semua terasa. Jika kita tidak terasa, ada masalah pada hati nurani kita sebagai seorang Muslim.

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ الْمُسْلِمُونَ كَرَجُلٍ وَاحِدٍ إِنِ اشْتَكَى عَيْنُهُ اشْتَكَى كُلُّهُ وَإِنِ اشْتَكَى رَأْسُهُ اشْتَكَى كُلُّهُ
Nu’man bin Bashir radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Umat Islam Islam umpama satu batang tubuh manusia, apabila sakit matanya, maka sakitlah seluruh tubuhnya, apabila sakit kepalanya, maka sakitlah seluruh tubuhnya.
[Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah wa al-Adab, hadis no: 2586]


Antara perkara yang perlu kita lakukan sebagai seorang Muslim, dan ini tiada kewajaran untuk wujud perbezaan padanya, ialah dengan mendoakan saudara-saudara kita yang sedang dizalimi.

أُمُّ الدَّرْدَاءِ ، قَالَتْ : حَدَّثَنِي سَيِّدِي أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ" مَنْ دَعَا لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ قَالَ : الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ " :
Ummu Darda' radiallahu 'anha berkata: Suami ku memberitahu ku bahawa dia mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam bersabda: Sesiapa yang berdoa untuk saudaranya tanpa diketahui saudaranya, malaikat yang bertugas untuk hal itu akan mengaminkan doa tersebut dan berkata "Untuk kamu jua (seperti yang kamu doakan kepada saudara kamu).
[Sahih Muslim, Kitab ad-Dzikr wa al-Dua’ wa at-Taubat wa al-Istighfar, hadis no : 4920]

Selain daripada berdoa, kita juga diseru untuk membantu dengan menderma dan sebagainya. Salah satu cara yang dikatakan untuk memberikan tekanan kepada Zionis ialah dengan memboikot syarikat-syarikat yang memberikan dana kepada pembentukan negara Israel.

Pertama: Apakah hukum boikot?

Ringkasnya, ia harus. Ada pihak menyatakan ia satu tindakan tidak Islamik. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melakukan transaksi dengan Yahudi dan sebagainya.

Jawapan saya: Kita perlu melihat isu boikot ini isu ibadah mahdah atau ia isu muamalah/keduniaan. Sefaham saya ia isu keduniaan. Maka ia tidak terikat sama ada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam buat atau tidak, sebaliknya ia terika dengat prinsip ada atau tidak larangan untuk boikot? Setahu saya tiada.

Di bawah merupakan petikan beberapa fatwa para ulama’:
Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: Umat Arab dan Islam hendaklah memboikot semua syarikat yang menyokong Zionis dan Israel, tidak kiralah syarikat itu berasal daripada negara mana, dan hendaklah memboikot sesiapa sahaja yang menyokong Zionis dan membantu pembentukan negara Israel.

Fatwa dibawah seliaan Shaikh Salih al-Munajid menyebutkan:
Sesiapa yang memboikot produk golongan kuffar yang memerangi Islam dengan niat untuk tidak menunjukkan sokongan kepada mereka, atau untuk melemahkan ekonomi mereka, akan menerima pahala daripada Allah, Insya-Allah untuk niat baik mereka.

Sesiapa yang meneruskan urusan jual beli dengan golongan kuffar ini di atas bahawa dibenarkan melakukan transaksi dengan bukan Muslim, terutama dalam perkara yang dia perlukan, maka dia tidak berdosa, dan itu tidak mempengaruhi prinsip al-Wala (iaitu setia kepada sesama Muslim) dan al-Bara’ (iaitu berlepas diri daripada bukan Muslim). [ http://islamqa.info/en/20732 ]

Kedua: Boikot hendaklah dengan ilmu. Terlalu banyak senarai produk yang perlu diboikot yang disenaraikan. Persoalannya, adakah kita mahu terus menyebarkan kempen memboikot syarikat-syarikat itu tanpa memeriksa kesahihan berita tersebut. Tidakkah jika kita tersilap kempen, maka kita telah memfitnah pihak-pihak yang tidak bersalah? Ada baiknya kita menghayati surah al-Hujurat ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang beriman. Apabila datang kepada kalian orang fasiq membawa berita. Periksalah agar kerana ditakuti kalian akan menghukum sesuatu kalian dalam keadaan jahil, lalu kalian akan menyesal di atas tindakan kalian. [Al-Hujurat : 6]

Ketiga: Kita hendaklah memahami bahawa boikot ini adalah satu ijtihad politik dan ekonomi. Maka akan sentiasa ada pro dan cons. Maka sewajarnya kita tidak memaksa orang lain menerima pandangan kita.

Apakah pendirian saya?

Saya pro-boikot. Ada produk-produk yang saya boikot selepas meneliti kenapa ia perlu diboikot. Tetapi saya ada nasihat kepada rakan-rakan yang pro-boikot.

Di sini saya kongsikan satu status nasihat saya di FB, dan ia menimbulkan rasa kurang senang rakan-rakan yang memboikot. Boleh dibaca di sini:
[Nasihat Buat Pemboikot McD dan sebagainya]

Ini merupakan nasihat daripada seorang saudara kalian yang turut memboikot semampu beliau produk-produk yang menyokong pembinaan negara Zionis Israel.

1- Hendaklah kalian fahami bahawa produk-produk itu adalah halal, tidak haram. Jangan sesekali mengeluarkan perkataan produk itu haram, dan sebagainya.

2- Jauhilah mengeluarkan perkataan-perkataan seperti 'Pekerja McD bekerja dengan pembunuh, tak ada perkemanusiaan dan sebagainya..' Sesungguhnya perkataan sedemikian adalah perkataan hawa nafsu. Mereka bekerja mencari rezeki yang halal, dan bukan hak kita berkata sedemikian kepada mereka.

3- Jauhi sifat-sifat buruk seperti pergi bawa makanan lain dan makan dalam McD, atau saja-saja masuk McD untuk guna tandas mereka atas alasan untuk naikkan kos operasi mereka, atau berkumpul di hadapan kedai mereka. Sesungguhnya mereka membayar sewa untuk premis perniagaan itu, dan tindakan mengganggu kehadiran pelanggan mereka adalah tindakan yang melanggar akhlak Islami dan melanggar hak orang yang sudah membayar sewa untuk premis tersebut.

4- Fahamilah, boikot ini satu ijtihad politik. Ia bukan satu perkara yang qathie/pasti wajibnya. Ia akan sentiasa ada pro dan cons kerana ia satu ijtihad dalam bab keduniaan.

5- Ingatlah, saudara-saudara kita bukan hanya di Gaza, bahkan yang sedang mencari rezeki bekerja itu.

6- Memboikot adalah hak seorang pengguna. Kita sebagai pengguna berhak boikot, dan ajak orang boikot. Tetapi kita tiada hak mengganggu perniagaan orang yang sah dengan berdiri di depan kedai mereka, di pintu kedai mereka, apatah lagi masuk ke dalam premis mereka, atau mensabotaj supaya kos operasi mereka meningkat.

7- Saya memilih boikot, kerana itu hak saya sebagai seorang pengguna.
Inilah pendirian saya. TITIK.
Wallahua'lam.
-Mohd Masri bin Mohd Ramli-

Status di atas saya tulis selepas melihat perlakuan kurang beradab di kalangan pro-boikot; antaranya menggelar pekerja McD dengan gelaran ‘orang tiada kemanusiaan, tak sayang saudara di Gaza’. Menggelar pembeli McD dengan sindiran sedang sumbang peluru bunuh saudara sendiri. Dan lebih melampau, melakukan provokasi dengan membawa makanan luar ke dalam McD, dan ada pula yang mencadangkan mensabotaj McD dengan ramai-ramai guna tandasnya agar kos operasinya meningkat. Lebih lagi ada yang berkumpul di hadapan pintu McD melakukan flashmob. Disebabkan semua ini saya munculkan status di atas sebagai teguran.

Sebagaimana fatwa Shaikh Salih al-Munajid, niat baik kita itu akan memberikan pahala, tetapi apabila ia dilakukan dengan jalan yang salah, ibadah pun boleh menjadi maksiat, jihad boleh menjadi jahat.

Saya juga ada nasihat dan jawapan kepada saudara-saudara saya yang memilih untuk tidak memboikot.

Persoalan 1: Boikot itu satu kezaliman kepada pekedai?

Jawapan: Sebagai seorang pengguna saya berhak memilih untuk membeli atau tidak membeli. Tolaklah isu Gaza, berapa banyak kedai saya tolak sebab saya tak suka produk dia, saya tak suka servis dia, atau saya tak suka orang di sana, atau saya tak suka suasana kedai. Adalah normal saya akan beritahu kawan saya “Jangan pergi kedai ini sebab ABCDEFG”. Adakah semata-mata itu saya menzalimi pekedai dan pekerja di situ? Pasti jawapannya tidak. Itu merupakan hak pengguna. Yang saya bantah di atas ialah sikap kempen boikot yang melampaui batas, tetapi saya tidak menyatakan boikot itu satu kezaliman.

Persoalan 2: Boikot itu bid’ah! Tasyabbuh bil kuffar!
Jawapan: Sudah dijawab di atas, ia isu muamalah, bukan isu ibadah mahdhah.

Persoalan 3: Kalau setakat engkau sahaja boikot, mana berkesan..
Jawapan: Sebab tu lah kami buat kempen boikot.

Persoalan 4: Kalau kau nak boikot, konsisten lah, boikot semua benda Yahudi, US dan sebagainya.
Jawapan: Engkau dan kawan-kawan pro-boikot bersatu atas satu manhaj. Tak faham objektif boikot. Kempen boikot bukan sebab pemilik syarikat itu Yahudi, Kristian atau Muslim. Boikot dilakukan kepada mana-mana syarikat yang menyalurkan dana kepada negara Zionis Israel.

Kedua, adakah sebab tidak mampu buat semua maka terus tidak buat langsung?

Persoalan 5: Kau nak kata semua pelanggan McD, pekerja McD berdosa, haram?

Jawapan: Pernah saya kata haram? Pernah saya kata berdosa? Jawapan ini juga untuk kalian yang anti-boikot dan pro-boikot yang sudah melampaui batas sehingga keluar fatwa kata haram makan McD! Biar saya cakap pendirian saya berdasarkan fatwa-fatwa yang saya baca dan saya yakini. Tak berdosa. Tak haram. Sudah saya sebutkan ia ijtihad yang melibatkan isu politik dan ekonomi. Akan sentiasa ada pro dan cons nya. Apabila situasinya begitu, mana boleh sesuka hati kata berdosa dan haram.

Yang pro-boikot pasti berkata: Mestilah haram sebab bantu bunuh umat Islam. Ini jawapan saya:

- Kita beri duit beli makan McD, bukan untuk suruh mereka beli peluru. Pekerja dapat gaji sebab mereka kerja di McD, bukan sebab mereka jadi tentera Zionis.

-Saya mahu tanya balik:

- Apa hukum beli baju-baju berjenama? Kalau lihat iklan mereka sebahagian besar tidak syariah compliance. Adakah kita bersubahat dengan iklan mereka yang papar perempuan pakai bikini dan sebagainya?

- Apa hukum kerja dekat RTM, Media Prima, Astro, bukankah dalam TV itu ada seribu satu maksiat, maka siapa kerja situ hatta tukang sapu bersubahat dengan maksiat?

- Apa hukum beli topup daripada syarikat telco yang mana syarikat-syarikat ni dalam iklan dia letak gambar perempuan buka aurat. Tak subahat ke?

- Apa hukum pergi beli barang di 7 Eleven, dan pasaraya yang jual arak. Tak subahat ke, sebab bila kita beli, mereka dapat untung, dan dengan untung mereka terus berniaga, dan salah satu perniagaan mereka ialah arak. Tak subahat ke?

- Apa hukum beli majalah, surat khabar, dalam tu kan banyak benda mengarut?

- Banyak syarikat taja program maksiat, taja konsert, pekerja syarikat tu bersubahatlah kan anjur maksiat?

Ingat halal haram ini kat celah jari ke? Ingat senang ke nak tuduh orang bersubahat. Semangat biar dengan ilmu. Jangan sebab perangai kita orang menyampah dengan kempen boikot.

Nasihat akhir saya untuk yang anti-boikot: Anda berhak tidak memboikot, tetapi tidak perlu melabel pemboikot sebagai bodoh sebagaimana sebahagian ustaz-ustaz buat. Dan tidak sepatutnya anda melakukan provokasi dengan makan di McD, kemudian upload gambar dengan niat provokasi mereka yang boikot. Makan McD hukumnya paling hebat pun harus sahaja, sedangkan yang boikot bak kata Shaikh Salih al-Munajid, bila niat betul, buat cara betul, dapat pahala. Benda dapat pahala walau tak wajib, hukumnya apa? Sunat.


Begitulah sedikit perkongsian saya.
________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services




QURAN TERJEMAH PER KATA
Sebuah Tafsir al-Quran yang memaparkan bukan sekadar terjemahan, tetapi mempersembahkan tafsiran bagi setiap patah perkataan al-Quran. Ini kerana Tafsir tidak sama dengan Terjemahan. Terjemahan hanya memindahkan bahasa sesuatu perkataan. Berlainan dengan Tafsir yang menjelaskan kekaburan bagi sesuatu makna perkataan. Di sinilah letaknya kelebihan Tafsir Al-Qur'an Per kata ini berbanding terjemahan-terjemahan al-Quran yang lain. Tafsiran ditulis terus dibawah setiap lafaz arabnya. Terjemahan penuh disertakan di bahagian tepinya. Dilengkapi juga dengan asbab nuzul (sebab turun ayat) dan nota kaki bagi memperjelaskan lagi maksud sesuatu tafsiran. Klik sini untuk membeli secara online

No comments:

Post a Comment