Wednesday, October 1, 2014

Al-Fiqh Al-Manhaji VS Sifat Solat Nabi



~Sifat Solat Nabi VS Al-Fiqh Al-Manhaji~

Sifat Solat Nabi (SSN) susunan Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahullah merupakan sebuah kitab monumental beliau. Ia 'meletupkan' nama beliau dalam dunia Islam. Sebuah kitab yang kecil, tetapi tersebar di merata dunia. Seorang insan yang kariernya membaiki jam, akhirnya Allah muliakan dengan khidmatnya dalam membela sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Buku SSN benar-benar mengubah corak berfikir saya tentang agama. Bahagian paling disukai ialah bahagian mukadimah kitab itu yang mana beliau membawakan kalam-kalam ulama empat mazhab berkaitan kewajipan berpegang kepada dalil. Slogan-slogan popular daripada kalam-kalam Imam 4 mazhab mula tersebar, slogan itu ialah "Apabila sahih sesuatu hadis, itulah mazhab ku", "Apabila bertentangan pendapat ku dengan sunnah, campaklah pendapat ku ke dinding..."


Saya mengkhatamkan buku itu, kemudian Sifat Wudhu Nabi, membaca banyak karangan ulama-ulama dari bumi Mekah dan Madinah. Keyakinan saya bertambah kuat, saya sebarkan kepada rakan-rakan, ajarkan kepada adik-adik remaja di sekolah, atas slogan "Cinta Nabi Ikut Sunnah". Hinggakan adik-adik di sekolah di ajar solat menggunakan fatwa-fatwa Shaikh al-Albani.

Saya mula mencintai kitab-kitab hadis hukum seperti Umdatul Ahkam, Bulughul Maram.

Saya mula mencintai membaca kitab-kitab feqh perbandingan seperti Sahih Feqh as-Sunnah. Saya menjadi manusia yang 'ketagihan' menyelusuri fatwa-fatwa para ulama di www.islamqa.com dan www.islamweb.net.

Tetapi saya mula merasai ada sesuatu yang tidak kena. Apabila pembelajaran feqah sudah mula tidak teratur. Tidak tersusun mana rukunnya, mana sunatnya dan sebagainya. 

Pang! Tatkala membaca nasihat-nasihat ulama Saudi yang saya sanjungi, nasihat mereka, pesanan mereka. Begitu juga pesanan para asatizah. Mereka menasihati kepada pelajar mereka: Pulang nanti ajar kitab feqh tempatan. Jika tempat engkau mazhab Syafie, ajar kitab feqh Syafie, jika tempat kau Maliki, ajar feqh Maliki.

Akhirnya, saya kembali membuka kitab-kitab feqh mazhab al-Syafie, al-Fiqh al-Manhaji, Matan Abi Syuja dengan dalilnya, Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab.

~~~~~~~
Argh tulis panjang-panjang ini untuk apa? Sebenarnya saya mahu adik-adik semua, agar jangan mengulangi kesilapan yang saya pernah lalui.

Elok diselusuri pokok masalah:

1) Kenapa yang tengah semangat sunnah seakan-akan menolak mazhab?
Antara sebabnya ialah tatkala ustaz-ustaz yang mengajar feqh mengikut mazhab Syafie, sering memomokkan jangan tanya dalil. Orang awam ikut sahaja apa kata mazhab.

Bukan semua tetapi SEBAHAGIAN asatizah begitu.

Benar, dalam Adab Pemberi Fatwa dan Peminta Fatwa ada disebutkan "Jangan tanya dalil". Tetapi, dengan rendah diri, saya memohon bertanya: Terlalu konkritkah adab ini sehingga ia perlu dipatuhi 100%? Mampukah disekat anak muda tengah semangat cinta sunnah daripada bertanyakan dalil? Sukar sangatkah para asatizah bila mengajar feqh ibadah khususnya untuk membawakan dalil? Kenapa takut sangat dengan soalan "Apa dalilnya ustaz?"

Akhirnya ia membuatkan kami anak muda ketika itu rasa benci, rasa feqh mazhab ini jauhkan kami daripada sunnah, lantaran asyik dihenyak sebagai kurang adab kerana bertanyakan dalil. Lalu kami lebih mencintai buku-buku aliran 'Salafi' kerana ulama-ulamanya membawakan dalil. Kami lebih puas dengar kuliah ustaz-ustaz 'Sunnah' kerana mereka bawa dalil, bahkan mereka tiada masalah tatkala kami bertanya, mempersoal dengan soalan "Apa dalilnya ustaz?", mereka sangat suka soalan sebegitu.

2) Lalu disebabkan hal yang pertama, maka anak-anak muda seperti kami lebih cenderung kepada aliran yang dipanggil 'tajdid', 'salafi', 'sunnah' dan sebagainya. Kami pegang erat-erat apa yang kami pelajari kerana 'Kami ada dalil'. Kami pegang fatwa ulama tanah haram erat-erat kerana 'Kami ada dalil'. Kami ajar kitab shaikh al-Albani kepada adik-adik sekolah, walau ada pihak sekolah marah, sampai bab gerak jari waktu tasyahud pun kami ajar, kerana 'Kami ada dalil'.

Hingga akhirnya kami berani berkata 'Pendapat ini kuat, pendapat ini lemah' kerana 'Kami ada dalil'.

Hingga kami seolah-olah pemegang kunci 'Sunnah', dalil semua dalam genggaman kami, orang lain tiada dalil. 

TURN BACK.....

Asatizah berganti asatizah, hingga ada asatizah 'SUNNAH' yang berkeras wajib pegang mazhab Syafie. Kami tersentak. Beliau menegur. Beliau kata: Siapa kata belajar feqh mazhab jauh dari sunnah? Shaikh salafi di Mesir, Saudi, semua nasihat suruh mengaji guna feqh mazhab!

Guru kami berkata lagi: Engkau mengaji tak habis, sesedap rasa kata mazhab menjauhkan daripada sunnah.

Ni tengok Matan Abi Syuja', Dr. Mustafa al-Bugho sudah isi dalilnya. Engkau pi baca matan feqah yang ringkas sahaja, memanglah tidak jumpa dalil. Pergilah buka kitab feqah mazhab yang ada dalil.

Kami terdiam....

Akhirnya, dan akhirnya. 
Saya merenung kembali. Hal ini perlu diperbetulkan. Saya bertanya kepada rakan-rakan mengaji tentang rukun solat, rukun wudhu... Ramai tak mampu menjawab. Kami sekadar tahu itu sunnah dan ini sunnah.

2 point di atas cukup menjadi satu muhasabah kepada kita. Adik-adik muda yang tengah semangat bukan sengaja, mereka perlu diperbetulkan dengan segera, tetapi bukan dimusnahkan semangat cinta sunnah mereka dengan dimarahi "Kau siapa mahu tanya dalil-dalil?". 

Sahabat-sahabat yang seangkatan saya, masih belum terlambat untuk kembali menyusun agar kefahaman kita tersusun rapi. Adik-adik yang sedang melalui fasa semangat cinta sunnah, masih belum terlambat menyusun strategi. Anda mampu menjadi pencinta sunnah sejati, dalam masa yang sama anda mampu menguasai ilmu feqah asas dengan rapi, bukan lagi sekadar itu sunnah, ini sunnah. Percayalah, tiada pertembungan antara mazhab dan sunnah. Ia bukan sekadar isu dalil itu sahih atau tidak, banyak kes ialah bagaimana memahami dalil itu sendiri.


Dan, para asatizah yang mengajar jua, janganlah mudah melabel anak muda ini tidak beradab apabila mereka bertanya "Di mana dalilnya?" "Apa hujahnya?". Jika ustaz-ustaz terus bersikap begini, maka anak-anak muda yang cinta sunnah ini akan terus tenggelam dengan dunia mereka sendiri kerana mereka sudah alergik dengan feqh mazhab lantaran sikap asatizah yang mengajar itu sendiri.

Percayalah, sunnah tetap dijunjung walau kita mula mengaji feqah secara bersistem menggunakan kitab feqh mazhab. Belilah kitab al-Fiqh al-Manhaji, bacalah ia, carilah guru mengaji jika mampu. Percayalah, saya bukan sedang berdusta. Kita akan menyesal jika tidak memperbetulkan keadaan yang berlaku sekarang.
________________________
Mohd Masri Mohd Ramli
Operational Manager
Al Kahfi Services

QURAN TERJEMAH PER KATA
Sebuah Tafsir al-Quran yang memaparkan bukan sekadar terjemahan, tetapi mempersembahkan tafsiran bagi setiap patah perkataan al-Quran. Ini kerana Tafsir tidak sama dengan Terjemahan. Terjemahan hanya memindahkan bahasa sesuatu perkataan. Berlainan dengan Tafsir yang menjelaskan kekaburan bagi sesuatu makna perkataan. Di sinilah letaknya kelebihan Tafsir Al-Qur'an Per kata ini berbanding terjemahan-terjemahan al-Quran yang lain. Tafsiran ditulis terus dibawah setiap lafaz arabnya. Terjemahan penuh disertakan di bahagian tepinya. Dilengkapi juga dengan asbab nuzul (sebab turun ayat) dan nota kaki bagi memperjelaskan lagi maksud sesuatu tafsiran. Klik sini untuk membeli secara online

No comments:

Post a Comment