Thursday, February 14, 2013

Engkau Maha Agung



Sungguh agung diri Mu Allah, sungguh Penyayang diri Mu Allah. Aku boleh mengungkit amal soleh aku kepada Mu, Engkau tidak Murka, bahkan engkau akan mengabulkan permintaan aku.

Sungguh agung diri Mu Allah, Engkau Raja segala Raja, mahu meminta kepada Mu aku tidak perlukan perantara, bukan seperti raja di dunia. Mahu berjumpa penuh dengan segala perantara, kerenah birokrasi berjela-jela.

Sungguh agung diri Mu Allah. Engkau Malu ketika hamba Mu menadah tangan memohon kepada Mu, Engkau Malu untuk tidak mengabulkan permintaan mereka ketika mereka mengemis kepada Mu. Bukan umpama manusia, yang memandang hina kepada insan yang meminta.

Sungguh agung diri Mu Tuhan, aku berdosa, dan Engkau yang akan menyucikan diri ku, bukan ulama' mahupun ustaz.

Sungguh agung diri Mu Tuhan, ketika aku sedih Engkau sentiasa mendengar luahan hati ku, Engkau tidak Tidur mahupun Mengantuk, sedangkan sahabat-sahabat, aku takut mengadu jika ia mengganggu jiwa hati mereka itu.

Sungguh agung diri Mu Tuhan, ketika aku berdosa sebesar lautan, lalu aku memohon kemaafan Mu, Engkau tidak kedekut memberikan kemaafan seluas lautan, walau permohonan maaf ku hanyalah sebesar telapak tangan.

Sungguh agung diri Mu Tuhan, aku mampu meminta kepada Mu, secara terus tanpa risau Engkau Mendengar atau tidak, kerana Engkau pasti Mendengar apabila aku meminta, Engkau pasti menjawab segala apa yang dipinta.



1 comment: